Thursday, December 9, 2021

Masa depan dunia terletak pada persaingan Amerika-China

Sejak ketiadaan Soviet Union pada tahun 1990, AS muncul sebagai kuasa besar tunggal pentadbiran George Bush menampilkan Orde Baru Dunia.

Other News

Minggu lalu akhbar Apple Daily di Hong Kong menghentikan operasinya.

Para penulis di akhbar yang dikenali sering mengkritik China di Hong Kong juga menarik diri.

Kesemuanya dirasakan kerana undang-undang keselamatan negara yang dikuatkuasakan.

Apple Daily dikenali sebagai akhbar yang bersikap menyokong gerakan pro-demokrasi di Hong Kong.

Undang-undang itu pula diperkenalkan oleh Republik Rakyat China untuk memelihara suasana keselamatan di wilayah itu termasuk menghalang demonstrasi yang dianjurkan oleh gerakan pro-demokrasi.

Setakat ini, dengan penahanan ramai aktivis pro-demokrasi, keadaan di Hong Kong adalah terkawal dengan gerakan itu kelihatannya lumpuh.

Perjuangan pro-demoktasi Hong Kong adalah untuk mengekalkan kebebasan di wilayah itu seperti yang termaktub dalam perjanjian antara China dengan Britain ketika mana pulau itu dikembalikan kepada Beijing.

Tetapi pada waktu sama gerakan pro-demokrasi Hong kong menjadi alat bagi kuasa-kuasa Barat untuk mengenakan tekanan terhadap China.

Perkara ini mudah difahami kerana ia sering digunakan oleh Barat.

Demokrasi merupakan nilai baik yang dikehendaki oleh manusia tetapi pada waktu sama, ia mudah digunakan oleh pihak lain untuk turut membawa agenda mereka.

Itulah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS).

Maka terhadap China, AS menggunakan isu hak asasi manusia bagi menekannya.

Selain Hong Kong, tiga perkara lain yang turut dijadikan isu ialah soal Uighur, Tibet dan Taiwan.

China membalas balik dengan menyatakan bahawa Hong Kong, Xinjiang dan Tibet adalah soal dalam negeri yang AS mahu campur tangan.

Baginya Barat mahu menguasai China dengan meneruskan agenda penjajahan yang mereka lakukan sebelum Perang Dunia Kedua.

Ketika itu kuasa-kuasa asing iaitu Britain, Perancis, Jerman, Rusia dan Jepun masuk ke China untuk membahagikan wilayah sesama mereka.

Barat tidak pun mempedulikan kedaulatan negara China atau mengambil berat soal hak asasi manusia.

Perang propaganda antara Barat dan China kini semakin meningkat.

Mereka menggunakan saluran pelbagai media, daripada internet sampailah ke buku untuk mengemukakan hujah.

Maka dari pihak Barat dapat dilihat tajuk-tajuk yang menceritakan keburukan Parti Komunis China dan Republik Rakyat China.

Ada yang melihat bahaya China dari sudut ideologi komunis.

Tidak kurang pula yang melihatnya dari sudut perkauman, iaitu satu bentuk fobia China atau Sinofobia.

Barat bermaksud AS dan negara-negara kulit putih iaitu Eropah, Kanada, Australia dan New Zealand.

Mereka juga mempunyai sekutu yang bimbang pada kebangkitan dan kemaraan China iaitu Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Filipina.

Negara-negara lain di Asia Tenggara yang turut bimbang dengan China mengambil sikap berkecuali dan berusaha mengimbangi antara pengaruh AS dan China.

Dunia kagum dengan kemajuan China, daripada membasmi kemiskinan yang luas dalam waktu singkat hinggalah mampu melancar roket ke bulan.

China juga menjadi penggerak kepada ekonomi dan teknologi global dalam akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21.

Dengan kekuatan baru itu, China mula menampilkan kedudukannya di dunia, yang kini didominasi oleh AS, iaitu sejak Soviet Union runtuh.

Usaha China merangka jalan sutera baru dengan laluan laut global dialu-alukan banyak negara membangun.

Tetapi pada waktu sama ia mencurigakan pelbagai pihak apabila China menegaskan tuntutan wilayah lautnya di Laut China Selatan dengan bukan sahaja membina bangunan di pulau-pulau di situ, malah menghantar bala tentera laut ke situ.

Sedangkan bahagian-bahagian laut itu turut dituntut oleh pelbagai negara Asia Tenggara.

Maka tiba-tiba disedari China bukan saja mahu memperbaiki kehidupan rakyatnya tetapi juga mahu menjadi negara kuasa besar yang berkemungkinan mampu menyaingi AS, iaitu menggantikan peranan Soviet Union dahulu.

Sejak ketiadaan Soviet Union pada tahun 1990, AS muncul sebagai kuasa besar tunggal pentadbiran George Bush menampilkan Orde Baru Dunia.

Tanpa Soviet Union, muncul pula kuasa serantau yang berani mencabar AS ketika itu, iaitu Iraq, Iran, Syria, Libya dan Korea Utara.

AS dapat menundukkan negara-negara itu kecuali Iran dan Korea Utara.

Tetapi kedua-duanya dalam keadaan tertentu dapat dikawal.

Kemudian muncul pencabar dalam bentuk kumpulan pengganas iaitu Al-Qaeda dan Isis.

Mereka juga dapat dikawal.

Tetap Rusia kemudiannya kelihatan bangkit kembali apabila Vladimir Putin menggantikan Boris Yeltsin sebagai presiden.

Moscow melihat AS dengan tidak berpuas hati dengan kejatuhan Soviet.

Kelihatannya AS mahu Rusia tidak menjadi Soviet Union yang mencabar dominasi mereka.

Maknanya permusuhan AS terhadap Rusia bukan kerana fahaman komunisme semata-mata.

Tetapi ia lebih kepada membendung Rusia.

Sebab itu AS meluaskan keanggotaan Pertubuhan Persidangan Atlantik Utara, Nato meliputi negara-negara bekas komunis.

Bagi Rusia, ini adalah keterlaluan.

Maka Rusia bertindak balas dengan campur tangan ke dalam Belarus dan Ukraine serta mengambil wilayah Crimea.

Rusia bangkit mencabar AS.

Tetapi negara itu tidak sekuat Soviet Union dahulu.

Negara yang boleh mencabar AS ialah China, dan bukannya Rusia.

Malah ada pemerhati yang sudah menyebut mengenai Perang Dingin Baru.

Dari tahun 2019 hingga 2021, hubungan AS dengan China tidak baik.

AS di bawah Donald Trump sememangnya tidak baik dengan China.

Tetapi tengok gayanya, keadaan sedemikian akan terus berlaku di bawah Joseph Biden.

Sememangnya isu-su seperti Taiwan, Hong Kong, Uighur, Tibet dan Laut China Selatan merupakan bahan yang dijadikan tekanan oleh AS terhadap China tetapi terdapat isu-isu baru yang melibatkan sains dan teknologi seperti virus Covid-19 dan pengintipan dengan menggunakan peranti-peranti telekomunikasi.

Secara umumnya, China masih jauh ketinggalan dengan AS dari segi kekuatan tentera.

Tetapi AS kelihatannya mahu memastikan supaya China tidak akan mencabarnya.

AS mempunyai negara-negara sekutu yang setia di seluruh dunia.

Tetapi China tidak mempunyai sekutu.

Ia hanya mempunyai negara-negara sahabat yang boleh membantunya menentang AS.

Untuk berlaku Perang Dunia, sama ada panas atau dingin, ia memerlukan negara-negara blok seperti mana apa yang berlaku dahulu.

Ada Blok Barat yang diketuai AS dan Blok Timur yang dipimpin oleh Soviet Union,

Apabila ditanya sama ada Rusia hendak membentuk pakatan China bagi menghalang dominasi AS, Putin menjawab bahawa negaranya tidak mempunyai hasrat sedemikian.

Baginya, pertembungan blok adalah sesuatu yang berlalu dan tidak akan berlaku lagi.

Sememangnya tidak dapat dibayangkan lagi akan berlaku pertembungan senjata antara China dan AS.

Kedua-duanya akan mengelak peperangan kerana kesannya pada dunia amat buruk.

Tetapi perang propaganda dan diplomasi akan berterusan yang boleh menjejaskan juga keharmonian dunia.

Kebanyakan negara tentu tidak mahu memihak pada mana-mana kuasa itu.

Kedua-dua, AS dan China amat berpengaruh dan memberi kesan pada semua negara bukan saja dari segi ekonomi dan pertahanan tetapi juga budaya dan ilmu pengetahuan.

Maka masa depan dunia bergantung pada hubungan baik antara AS dan China.

Namun dunia boleh tergelincir kepada peperangan atas perkembangan yang tidak disangka-sangka.

Itulah apa yang berlaku menjelang Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles