- Iklan -
Kolum

Budak kerbau

“Kita akan dapat kerbau.” Abah aku bercakap pendek.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku ingat lagi satu petang emak aku membawa pulang berita gembira.

Berita ini sampai setelah kami sekeluarga menetap hampir tiga tahun di Sekolah Umum Batu Serambai.

“Pakcik Jaafar dan Kak Jah… nak beri kita sejenjang sawah,” kata emak aku.

“Beri macam mana mak?” Aku mahu penjelasan.

“Sawah dia luas. Takde sapa nak buat sawah. Dia ajak kita buat sawah. Bayarlah apa yang patut.” Emak aku menambah cerita.

Aku kenal Pakcik Jaafar dan Kak Jah ini. Mereka ayah dan ibu kepada Usop kawan sedarjah aku.

Pakcik Jaafar bekas tentera sama seperti abah aku. Kak Jah pula emak saudara kepada Cikgu Jaaman yang kini menjadi guru besar di sekolah emak aku di Batu Serambai.

Jadi kami semuanya sekampung dan sekeluarga.

Abah aku setelah berhenti dari menjadi askar menubuhkan satu kumpulan “geng” lama.

Mereka ini semuanya bekas askar.

Mereka lima orang bersetia kawan untuk sesama bantu membantu dalam projek buat kebun sayur dan juga buat sawah.

Kebun sayur “geng askar” ini dibuat di tanah antara sekolah dengan rumah Raja Husin.

Tanah ini milik Raja Husin. Tuan tanah amat senang hati kerana tanah setengah ekar ini diusahakan.

Jika tidak tanah ini terus menjadi belukar tempat aku main Perang Jepun.

Geng askar ini menjadikan keluarga kami rapat.

Sesekali ketika bergotong royong di sawah Pakcik Mail, kami akan makan tengah hari ramai-ramai di tengah sawah.

Sawah Pakcik Mail ini tidak jauh dari sawah yang keluarga aku buat.

Sawah yang abah dan emak aku usahakan tidak luas.

Dalam hitungan orang Negeri Sembilan sawah ini satu jenjang.

Berapa luas aku pun tidak tahu. Hasil padi tidak sampai 300 gantang.

Padi yang kami tuai ini menghasilkan beras kampung.

Beras padi kampung lebih wangi dari beras yang kami beli di kedai Kuala Klawang.

Sawah oh sawah. Aku tidak mungkin jadi “aku” kalau tidak kerana sawah.

Sawah dan lopak-lopak padi inilah yang membina perwatakan aku hingga aku mendewasa seperti aku wujud hari ini.

Jenjang sawah kami tak jauh dari sungai. Di kiri, di kanan dan di hadapan jenjang sawah orang lain.

Sawah kami di belakang sawah Raja Husin. Sawah kami menjadi sempadan ke sungai.

Melintas sungai ialah kebun getah dan dusun orang kampung termasuk dusun durian Pakcik Jaafar.

Bersawah ketika emak dan abah aku ke sawah masih belum moden.

Menanam padi hanya setahun sekali.

Cangkul dan rembeh masih alat utama untuk ke sawah.

Sudah ada mesin tolak moden jenis Kabota buatan Jepun.

Jentera besar sedikit daripada mesin tolak potong rumput ini boleh disewa untuk membajak tapi tak ramai yang menggunakannya.

Ini kerana sawah tidak luas dan tidak memerlukan jentera.

Jangan silap faham, turun ke sawah juga ada disiplin dan peraturan.

Ianya wajib dilakukan dengan masa dan ketika yang tepat.

Waktu dan tarikh ini bukan mengikut kalender atau arloji.

Kalender dan arloji ini konsep moden yang lahir daripada revolusi industri.

Konsep masa orang Melayu berpandukan alam.

Konsep masa orang Melayu pun lahir daripada bersawah.

Sawah bermusim justeru masa dan waktu Melayu berpandukan musim.

Membuat sawah inilah yang melahirkan budaya Melayu.

Melayu wujud kerana sawah. Asas budaya Melayu asli lahir dari membuat sawah.

Aku amat yakin akan bab ini.

Apatah lagi bila aku menganut dan menggunakan pandangan Karl Marx.

Pandangan kaum Marxis untuk menganalisa masyarakat adalah melalui pembuatan.

Pembuatan adalah kunci kehidupan manusia.

Manusia membuat maka manusia wujud.

Melayu buat sawah maka budaya Melayu adalah budaya sawah.

Wataknya budaya Melayu ialah semi feudal dan semi konservatif.

Air yang masuk ke sawah tak boleh aku tahan.

Air ini wajib berjalan terus untuk mengalir ke sawah yang lain.

Air ini bukan milik peribadi.

Air seperti udara adalah milik semua.

Semua orang kampung, semua warga tahu air sungai dan air bonda bukan milik peribadi.

Betul tali air lalu ke dalam sawah Raja Husin, ke sawah aku.

Betul sungai melintas dalam tanah Pakcik Jaafar, tapi sungai, tali air dan bonda masih milik bersama.

Mustahil air diswastakan.

Bersawah melahirkan semangat kekitaan yang maha kuat lagi ampuh untuk orang Melayu.

Sikap dan budaya setia kawan dan kekitaan inilah yang aku alami ketika aku membesar dalam sawah.

Dari sinilah timbulnya sikap dan semangat gotong royong.

Sawah padi menyusun orang Melayu untuk pandai bekerjasama, bijak tolong menolong.

Bila musim hujan sampai ertinya permulaan musim ke sawah.

Air sungai akan ditutup.

Empangan batu di Ulu Klawang ditutup agar air akan masuk ke bonda.

Ketika inilah waktunya sawah wajib mula dikerjakan.

Parit, pembetung dan laluan air memulakan bergotong royong, laluan air wajib dibaiki.

Sawah dicangkul dan dibajak, tolong menolong. Hari ini sawah aku, esok sawah kau.

Inilah sikap “geng askar” yang abah aku menjadi anggota.

Sesudah talian air mantap benih padi akan disemai.

Aku ingat lagi kami menyemai benih padi di kawasan tanah lapang di sebelah rumah.

Tanah ini milik sekolah. Abah aku berkebun di sini dan menjadikan tapak semaian benih padi.

Tapak semaian wajib dijaga kerana ketika ini burung pipit dan burung tempua berkeliaran.

Ketika menunggu benih bercambah dan membesar sawah dibajak sekali lagi.

Kali ini rumput rampai dan jerami batang padi musim lepas dilanyak dalam lumpur untuk dijadikan baja.

Kemudian masuk musim mengubah.

Musim mengubah bermakna anak padi diubah dari tapak semaian untuk ditanam ke dalam sawah yang kini selut berlumpur.

Biasanya ini tugas orang perempuan.

Agak sulit, membongkok untuk menanam.

Benih padi wajib ditanam tersusun rapi, jarak yang betul agar padi hidup subur.

Ketika ini emak aku akan turun ke sawah di waktu petang.

Pagi emak aku mengajar. Kami adik beradik hanya mengekor sama, buat ramai.

Dua minggu setelah mengubah, anak padi menjadi tegap dan subur.

Sebulan kemudian masuk musim merumput.

Merumput ini amat menarik kerana lopak sawah penuh dengan air.

Dalam lopak air ini ada puyu dan haruan.

Sampai hari ini aku masih belum tahu dari mana puyu, sembilang, haruan dan katak ini datang.

Ketika sawah berlumpur dan agak kering dibajak, semua hidupan ini tak nampak batang hidung.

Tiga bulan setelah anak padi ditanam mereka berkeliaran dalam sawah.

Kalau dalam lubuk aku faham mereka sentiasa ada di sana.

Tapi yang tiba-tiba pelbagai ikan berada dalam lopak sawah, dari ceruk mana mereka datang.

Ketika ini juga di permatang sawah akan ada pacat.

Dalam sawah pula akan ada lintah. Dari mana mereka datang?

Inilah soalan ilmiah yang aku sendiri tidak memiliki ilmu untuk menjawab.

Kerana pacat dan mensiang yang tumbuh permatang sawah pernah aku pernah membuat satu cadangan.

Aku anggap cadangan aku ini amat bijak.

“Mak kenapa kita tak simen aje permatang? Senang kita nak berjalan, tak calar balar … tak gatal kaki terkena mensiang.”Cadangan bijak aku.

“Bilo kau kayo nanti… kau bueklaaa.”

Ini jawapan dari Tok Wan Rahmah aku yang sesekali datang juga ke sawah membawa kail untuk mencuba nasib di lubuk di tengah sawah.

Aku ingat lagi sesudah musim merumput ketika menunggu padi bunting bersusu, banyak burung Wak Wak datang mencari belalang.

Abah aku amat bijak.

Selalu abah aku berjaya dapat memerangkap dua tiga ekor Wak Wak untuk digoreng.

Musim pertama kami ke sawah padi naik ke kepok hampir 200 gantang.

Kepok padi kami di belakang rumah sebelah reban ayam.

Kami sekeluarga gembira.

Aku tak tahu berapa ringgit sewa sawah yang perlu dibayar pada Pakcik Jaafar.

Biasanya emak atau tok wan aku akan menyuruh aku menjemur padi sebelum hari Rabu.

Ini kerana pada hari Rabu mesin padi akan sampai dari Peradong.

Ini mesin milik Syarikat Kerjasama Pesawah Jelebu.

Kampung Peradong dijadikan pusat padi bagi daerah Jelebu.

Mesin padi ini bergerak dari kampung ke kampung di seluruh Jelebu mengikut hari yang ditetapkan.

Selepas musim menuai setiap minggu mesin padi akan sampai.

Kemudian dua minggu sekali atau bila pelanggan kurang, tarikh baru akan diumumkan.

Tapi emak aku tetap dengan budaya Melayu.

Kami masih ada lesung kayu.

Lesung penumbuk padi bukan lesung kaki.

Emak aku juga membeli alat pengipas padi yang dibuat daripada papan.

Alat ini untuk mengangin padi sebelum di jemur.

Baru nak masuk musim kedua keluarga aku ke sawah, abah aku pula membawa satu lagi berita baik.

“Kita akan dapat kerbau.” Abah aku bercakap pendek.

“Kerbau apa pulak?” Aku menyoal.

“Kerbau kerajaan… kerajaan bagi pada orang kampung yang buat sawah. Ini rancangan kerajaan untuk bantu orang kampung. Bila kerbau dah beranak, kita pulangkan anaknya kepada kerajaan. Ibu kerbau kita punya…kerbau milik kita.”

Penerangan jelas dari Cikgu Zaleha.

“Berapa ekor? Siapa lagi dapat? Bila nak dapat?”

Aku menembak satu per satu soalan dengan tidak sabar menunggu jawapan.

Dua minggu kemudian pada petang Sabtu sebuah lori dari Jabatan Pertanian Jelebu sampai.

Lori ini membawa lapan ekor kerbau.

Lori ini berhenti depan padang sekolah.

Lapan keluarga dipilih.

Dari apa yang aku dengar, kerbau ini didatangkan dari Kelantan.

Umur kerbau ini betingkah.

Ada yang agak tua kerana tanduknya panjang melintang.

Ada yang masih dara tanduknya pendek menjulur.

Siapa orang kampung yang dapat kerbau itu aku tidak ingat lagi.

Tapi aku tidak akan melupakan Raja Deraman dan anaknya Ujang.

Raja Deraman juga mendapat seekor kerbau.

Kerbau dara sama sebaya dengan kerbau aku.

Keluarga Raja Deraman ini duduk di sebelah rumah Raja Husin tak jauh dari rumah aku.

Ujang ini setahun lebih muda dari aku.

Aku tidak dapat tuliskan di sini betapa gembiranya aku pada petang itu.

Keluarga aku mendapat seekor kerbau.

Orang Kampung Batu Serambai dapat kerbau di beri oleh kerajaan.

Di kampung kami tidak pernah ada kerbau.

Jadi langkah kerajaan ini adalah permulaan dengan harapan kerbau lapan ekor kerbau ini akan membiak.

Kerbau aku ini bertindik hidung.

Telinganya ada angka.

Hidungnya ada cincin.

Aku hanya membawa tali untuk menarik kerbau ini pulang.

Kandang kerbau beratap zink yang abah aku sediakan lebih awal terletak di bawah pokok jambu sebelah tandas tidak jauh dari tapak semaian padi.

Petang itu aku dengan penuh kegembiraan membawa sang kerbau ke kandangnya.

Malam itu sesudah makan keluarga kami bersidang.

Persidangan untuk mencari nama yang sesuai untuk kerbau ini.

“Kembang namanya… hidung dia kembang dan harap dia akan berkembang membiak.”

Cadangan dari Cikgu Zaleha. Semua bersetuju.

“Isam…. kobao ni kau jaga… jangan lupo… ni kobao kerajaan.” Tok wan aku memberi ingatan.

Semenjak malam itu aku menjadi budak kerbau.

Kawan dan teman baik aku ialah Ujang anak Raja Deraman.

Kami berdua ada kerbau.

Setiap petang balik dari sekolah selepas makan aku akan membuka tali Kembang.

Aku akan tarik Kembang ke kawasan yang banyak rumput.

Aku mula belajar mengenal kawasan lapang di sekeliling kampung.

Juga mengenal kawasan kebun getah yang berumput.

Ujang ada aku bertukar-tukar maklumat.

Kami saling bantu membantu.

Kadangkala aku membawa buku cerita untuk dibaca ketika kerbau aku makan rumput.

Aku wajib menunggu Kembang kenyang meragut rumput dalam satu dua jam. Ini membosankan. Buku cerita memadamkan kebosanan.

Kadang kala aku ikat Kembang di tepi sungai yang banyak rumput dan aku mandi dalam sungai.

Sebagai budak kerbau aku wajib kreatif untuk membunuh kebosanan.

Pulang dari meragut aku wajib memasang api untuk mengasapkan kandang.

Asap ini untuk menghalau nyamuk dan agas dari menyerang Kembang.

Ramai tak sedar malah aku sendiri juga terperanjat bila aku memahami perangai Kembang.

Kerbau bukan macam lembu terberak di mana rasa nak terberak.

Kerbau memiliki sifat yang bersih. Kerbau akan keluar dari kandang dan terberak di luar kandang.

Badan kerbau berlumpur kerana ada sebab.

Bukan kerana kerbau pengotor.

Kulit kerbau tidak berbulu seperti kambing atau lembu.

Justeru kerbau senang menjadi mangsa nyamuk dan agas.

Kulit kerbau tidak kasar.

Kerbau suka berlumpur kerana lumpur di badan menjadi alat pendinding dari serangan nyamuk.

Lumpur juga jadi pendingin dari panahan cahaya matahari.

Pada awalnya aku tak sedar perkara ini.

Setiap petang sebelum masuk kandang aku akan membawa Kembang ke bonda.

Di sini aku akan membersihkan semua lumpur.

Aku mahu Kembang mandi dan dilihat bersih.

“Biarkan berlumpur. Nyamuk tak datang.”

Ujang memberi penerangan.

“Kobao kito ni daro lagi.” Ujang memberi penjelasan.

“Belum bunting lagi ko.” Aku bertanya.

“Bolom kono lagi… kampong kito mano ado kobao jantan… di Komin ado laaa… bolom berancuk mana nak bunting.”

Ujang menerangkan seolah-olah dia pakar binatang.

Sesekali aku lihat ke pantat Kembang.

Betulkah Kembang masih dara.

Dalam hal ini aku kurang arif.

Tapi aku mahu Kembang bunting.

Aku merasa ini satu masalah besar.

Di kampung Batu Sarambai hanya ada lapan ekor kerbau dan semuanya betina.

“Komin ado banyak kobao.” Ujang memberi maklumat.

Ujang meyakinkan aku kerbau jantan pasti ada.

Kampung Kemin ini sebatu lebih jauhnya dari kampung kami.

Kampung ini mengarah ke pekan Kuala Klawang.

Sawah di kampung ini juga agak luas.

Aku menyimpan harapan agar Kembang akan jumpa jantan dari Kampung Kemin.

Tanpa jantan Kembang aku tidak akan bunting.

Selagi tak beranak Kembang bukan milik aku.

Kembang akan terus jadi milik Jabatan Pertanian.

Waktu bermain aku kini tidak sebebas sebelum aku ada Kembang.

Kembang kini termasuk dalam sebahagian daripada jadual harian aku.

Tali yang mengikat hidung Kembang itu juga sedang mengikat aku sama.

Aku dan Ujang sedang menunggu musim sawah selesai.

Bila musim sawah selesai, padi semua dituai, sawah akan menjadi padang.

Aku akan lepaskan Kembang.

Aku mahu Kembang pecah dara.