Thursday, August 5, 2021

Penubuhan jawatankuasa teliti persidangan Parlimen tanda tekad ‘good governance’

Kenyataan Guan Eng dan beberapa pemimpin pembangkang juga menggambarkan seakan perdana menteri menolak titah diraja untuk mengadakan sidang Parlimen.

Other News

Armada Bersatu mengecam mainan sentimen politik hasutan yang dimainkan dalam kalangan pemimpin utama parti pembangkang di kala kerajaan benar-benar bertungkus-lumus menjayakan Pelan Pemulihan Negara demi rakyat Malaysia.

Kenyataan terkini yang seleweng dan dilihat berniat jahat untuk mengelirukan orang awam terkait jawatankuasa pembukaan Parlimen dikeluarkan oleh Lim Guan Eng di laman Facebook beliau.

Kenyataan Lim dan beberapa pemimpin pembangkang juga menggambarkan seakan perdana menteri menolak titah diraja untuk mengadakan sidang Parlimen.

Langsung tidak timbul perihal menyanggah titah diraja, malah secara terang-terangan terlebih dahulu sebelum Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong menitahkan cadangan untuk Parlimen bersidang, pada pembentangan Pelan Pemulihan Negara, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri menjelaskan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen bermula sekitar bulan September atau Oktober.

Jangkaan pembukaan Parlimen yang dicadangkan perdana menteri juga bertepatan dengan proses perundangan serta berperlembagaan mengikut ketetapan mesyuarat.

Umum perlu tahu, menjelang pembukaan Parlimen, perlu difahami secara jelas bukan sahaja terdapat proses menurut undang-undang dan mengikut Perlembagaan yang perlu dipatuhi.

Beberapa perkara seperti notis 28 hari yang perlu dikemukakan kepada ahli mesyuarat sebelum bersidang mengikut perundangan ditambah ruang bagi penghantaran soalan dan penyediaan jawapan oleh setiap ahli dewan dalam memacu hala perbincangan perlu diatur rapi, utamanya atas titah diraja yang mahu Pelan Pemulihan Negara dilaksankan dengan jaya.

Bukan main buka saja Parlimen, ini bukan lawatan sekolah!

Apatah lagi mesyuarat JKKK!

Meneliti keadaan semasa, kelaziman setiap kali adanya sidang Parlimen bukan sekadar ahli Parlimen yang hadir, malah melibatkan pegawai-pegawai kepada menteri kabinet, pegawai ahli parlimen, petugas media serta petugas-petugas parlimen yang lain selain petugas kesihatan yang sedang bertungkus lumus diperlukan untuk pengurusan pemberian vaksin, disebabkan terpaksa memberikan fokus kepada ahli Parlimen yang mahu meneruskan birokrasi, maka sejumlah besar petugas kesihatan juga perlu ditempatkan untuk pantau perjalanan Parlimen.

Perlu diingatkan, selain frontliners, bukan semua petugas Parlimen, pegawai menteri malah pegawai ahli Parlimen sudah dapatkan vaksin kerana fokus kita selama ini kepada barisan hadapan dan warga emas selain baru memasuki fasa seterusnya pemberian vaksin melibatkan 18 tahun ke atas.

Justeru sebuah jawatankuasa ditubuhkan sebuah bagi meninjau pengurusan hal pembukaan Parlimen yang secara komited juga ingin dibantu kerajaan di bawah teraju Muhyiddin.

Jawatankuasa ini penting dalam menentukan bentuk persidangan sama ada bersemuka dengan SOP tertentu atau secara hibrid dengan melihat samada bertepatan dengan lunas Perlembagaan.

Jawatankuasa ini juga penting kerana melibatkan wakil pembangkang dan wakil kerajaan serta profesional bukannya tindakan satu hala pihak kerajaan, ini adalah tanda tekad “good governance”.

Pun begitu penelitian perlu dilakukan dalam meletakkan fokus utama kepada rakyat melalui pelaksanaan “rapid” Pelan Pemulihan Negara.

Parlimen adalah institusi membuat dasar dan undang-undang negara.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen mematuhi segenap lapisan perundangan dan peraturan berkaitan yang perlu dipatuhi agar ia tidak menjejaskan keabsahan dan integriti badan perundangan ini.

* Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah ketua penerangan Armada Bersatu

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles