- Iklan -
Kolum

Memandang ke depan, untuk bangkit secepat mungkin

Apabila memandang ke belakang, ternyata banyak kesilapan yang dilakukan oleh negara ini, baik oleh kerajaan mahupun rakyat.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ramai orang melihat Pelan Pemulihan Negara dengan pandangan skeptik dan memberikan ulasan sinis terhadapnya.

Terutamanya dalam kalangan penyokong pembangkang yang tentunya sentiasa mencari salah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pembangkang pula bukan sahaja terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan penyokong-penyokong Dr Mahathir Mohamad, tetapi juga kalangan orang Umno yang mana antara pemimpun mereka adalah anggota kerajaan PN.

Maka bertungkus lumuslah pendukung PN mempertahankan dasar kerajaan terutama dari kalangan penyokong PAS.

Kelihatannya mereka lebih aktif.

Bukan soal dasar-dasar kerajaan dalam melawan wabak Covid-19 ini saja tetapi juga mengenai isu kenyataan Majlis Raja-raja supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Sememangnya penyokong PAS kelihatan lebih aktif berbanding Bersatu.

Mungkin oleh kerana penyokong PAS lebih tegar, lebih ramai dan lebih berpengalaman.

Sementara penyokong Umno yang sepatutnya turut membela kerajaan PN kelihatan pula sebahagiannya turut bergelagat seperti pembangkang.

Saranan supaya diadakaan sidang Parlimen secepat mungkin menimbulkan keterujaan dalam kalangan peminat perkembangan politik di negara ini.

Di pihak pembangkang, mereka mahu sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Sementara di pihak kerajaan PN, kelihatan nada mereka adalah hendak melengah-lengahkannya.

Semuanya membawa kesan politik iaitu pihak pembangkang kelihatannya hendak menunjukkan bahawa kerajaan PN tidak cukup majoriti untuk terus memerintah.

Sementara pihak kerajaan berusaha untuk menghalang dirinya tumbang.

Maka berlakulah perang mulut melalui posting dalam media sosial antara penyokong kedua-dua pihak.

Dalam keadaan begini, pemimpin DAP, Lim Kit Siang mencadangkan supaya diadakan moratorium politik untuk setahun supaya negara dapat menumpukan usaha melawan Covid-19.

Maknanya tiada sebarang kerajaan baru selagi tidak ada sesiapa mempunyai majoriti kuat.

Sentimen yang sama juga terserlah dalam cadangan Mahathir supaya diwujudkan pentadbiran seperti Majlis Gerakan Negara.

Ia juga berbentuk moratorium politik untuk tumpukan perhatian negara kepada melawan Covid-19.

Istilah Mageran itu kemudian diubah kepada Majlis Pemulihan Negara.

Beberapa hari kemudian, kerajaan PN pun melancarkan Pelan Pemulihan Negara.

Sementara Majlis Raja-Raja juga bersetuju supaya kerajaan sepatutnya berada dalam keadaan stabil.

Anwar Ibrahim pula dalam ulasannya terhadap kenyataan Majlis Raja-Raja antara lain menekankan soal ketelusan dalam usaha kerajaan melawan Covid-19 supaya maklumat sebenar dapat diketahui rakyat dengan usaha mencari penyelesaian dilakukan secara inklusif, iaitu melibatkan semua pihak.

Keadaan ini hanya boleh berlaku apabila Parlimen dapat bersidang semula.

Antara perkara penting yang hendak diketahui adalah kedudukan sebenar wabak Covid-19 di negara ini.

Serta semua perkara mengenai vaksin, daripada pembelian, pemerolehan dan penyampaiannya.

Suasana sekarang ini berlaku apabila angka jangkitan Covid-19 naik mendadak dengan proses vaksinasi yang lambat.

Rebutan orang ramai untuk mendapatkan suntikan AstraZeneca yang berakhir kemarahan rakyat.

Kerajaan PN dilihat gagal mengatasinya walaupun darurat diisytiharkan.

Maka masalah Covid-19 bukan lagi menjadi soal politik yang merupakan isu untuk digunakan oleh pembangkang.

Ia sudah menjadi isu rakyat yang nyawa dan kehidupan mereka terancam.

Lebih-lebih lagi dengan adanya varian baru Covid-19 seperti Alpha, Betta, Gamma, Delta dan Kappa.

Keadaan ini juga menjadi suatu tekanan pada orang ramai apabila kesan dari PKP penuh menjejaskan pendapatan, dengan ramai yang terus tiada sumber kewangan.

Bagi rakyat, tidak ada jalan lain.

Mereka perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara, patuhi PKP penuh dan SOP bukan kerana takut disaman tetapi dengan kesedaran terhadap virus Covid-19 dan varian-variannya, dapatkan vaksinasi dan sentiasa mengikuti perkembangan wabak ini supaya tidak ketinggalan maklumat.

Ini kerana perkembangan baru sentiasa berlaku.

Fakta mengenai wabak ini, serta dasar serta peraturan kerajaan cepat berubah.

Dalam pada itu, orang ramai perlu meningkatkan kemahiran mengenal berita palsu untuk menolak dan tidak menularkannya.

Akhir sekali tetapi penting ialah tidak terpengaruh dengan gerakan anti-vaksin.

Kesedatan mengenai wabak ini penting.

Dengan kesedaran ini, orang tidak akan mempertikaikan mengapa masjid tidak dibenarkan untuk digunakan.

VIP dan selebriti juga tidak akan menggunakan pengaruh mereka untuk menutup pelanggaran SOP jika mereka mempunyai kesedaran.

Seharusnya setelah setahun negara ini menghadapi wabak ini, kesedaran terhadapnya meningkat.

Bagaimanapun dengan kenaikan mendadak angka jangkitan selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, adalah dipercayai kesedaran ini turut berleluasa.

Kini sebahagian orang ramai berasa lebih takut pada virus ini berbanding hanya bimbang disaman.

Namun dalam menghadapi keadaan kritikal ini, rakyat perlu berfikiran positif.

Iaitu memandang ke depan supaya negara dapat bangkit secepat mungkin.

Keadaan negara sememangnya sudah terjejas dengan ancaman wabak ini belum selesai sejak setahun yang lepas.

Apabila memandang ke belakang, ternyata banyak kesilapan yang dilakukan oleh negara ini, baik oleh kerajaan mahupun rakyat.

Berbanding dengan negara-negara lain, Malaysia tidak mencapai kedudukan yang membanggakan dalam usaha melawan Covid-19.

Itu belum dikira sudut ekonomi.

Ada satu masa, orang ramai hidup seperti normal sedangkan wabak Covif-19 belum ditundukkan.

Rupa-rupanya bagi mengatasi wabak ini tidak cukup dengan pematuhan SOP.

Pada masa itu diserukan vaksin terbaik adalah pematuhan SOP.

Tetapi realitinya, manusia terutama di Malaysia sukar untuk berdisiplin bagi mematuhi SOP.

Walaupun seruan itu benar tetapi ia tidak realistik.

Dorongan psikologi dan sosial membawa mereka melanggar SOP.

Itu belum dikira dengan keperluan ekonomi.

Seruan pada orang ramai dengan doa dan slogan seperti “Stay Safe” hanya enak diucapkan tetapi ia tidak bermakna jika sebarang tindakan praktikal dan realistik tidak dilakukan.

Antara tindakannya adalah menguatkan semangat dan bersikap positif untuk menjalani hidup seharian dengan selamat.

Jadi vaksin ini merupakan kaedah terbaik.

Itupun ia tidak memberi perlindungan sepenuhnya.

Ini kerana selepas adanya vaksin, pematuhan terhadap SOP perlu diteruskan.

Dalam melaksanakan program imunisasi pula, ada rakyat yang tidak mengambil kira perkara ini dengan serius.

Mereka tidak hadir janji temu yang ditetapkan.

Apa yang berlaku biarlah menjadi pelajaran dan sempadan.

Untuk menyalahkan sesiapapun hanya menambah sikap negatif pada seseorang.

Betapa ramai orang sudah terkorban dan terjejas kerana Covid-19.

Maka tumpuan adalah pada masa akan datang.

Dalam keadaan PKP penuh pastinya banyak cabaran juga ketika seseorang berada di rumah.

Maka perlu dipastikan keselesaan mental dan kesihatan fizikal.

Tetapi keselesaan mental hanya dapat dicapai dengan kedudukan ekonomi rumah yang mencukupi.

Iaitu sesuatu yang tidak dapat dinikmati oleh ramai orang yang pendapatannya terjejas akibat PKP penuh.

Memang keadaan sedang sukar.

Seperti sukarnya hidup bagi generasi-generasi manusia dahulu ketika menghadapi suasana bencana dan peperangan.

Wabak Covid-19 adalah suatu bencana.

Suatu nasib yang tidak baik bagi generasi yang menghadapi virus Covid-19 ini.

Tetapi ia tetap perlu dihadapi dan hidup mesti diteruskan.

Segala bencana pasti ada penghujungnya.

Azam yang kuat untuk selamat bagi kelangsungan hidup adalah pegangan baik sementara menunggu bencana ini berlalu.

Dengan menganggap bencana ini merupakan ujian, maka hasilnya akan menguatkan perwatakan seseorang apabila tempoh bencana ini berakhir.