- Iklan -
Rencana

Dana politik dan cukai

Adakah dana politik yang diterima oleh seseorang ahli politik itu dikenakan cukai?

Kamarul Khairy
3 minit bacaan
Kongsi

Apabila sebut sahaja tentang cukai pendapatan pasti akan ada yang berkerut dahi memikirkan adakah mereka perlu isytiharkan pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Hakikatnya bukan sahaja rakyat biasa yang sering menghadapi masalah dalam pelaporan pendapatan mereka ini, malah terdapat juga ahli-ahli politik yang mungkin berhadapan dengan kekeliruan dalam mengambilkira jumlah pendapatan yang layak dikenakan cukai semasa pemfailan cukai mereka.

Dalam hal ini, antara persoalan yang timbul ialah, adakah dana politik yang diterima oleh seseorang ahli politik itu dikenakan cukai? Atau ada juga yang mahukan kepastian, mengapakah dana politik perlu disumbangkan terus ke akaun parti politik? Adakah pendapatan dan dana yang diterima dari luar negara juga boleh dikenakan cukai? Artikel ini akan cuba mengupas semua persoalan ini secara ringkas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Secara amnya, Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) jelas menetapkan bahawa setiap pendapatan yang terakru atau diperolehi atau terbit dari Malaysia akan dikenakan cukai pendapatan.

Kategori pendapatan seseorang ditentukan menurut Seksyen 4 ACP 1967 iaitu:

  1. Seksyen 4 (a) – Perniagaan atau Profesyen;
  2. Seksyen 4 (b) – Penggajian;
  3. Seksyen 4 (c) – Dividen, Faedah atau Diskaun;
  4. Seksyen 4 (d) – Sewa, Royalti atau Premium;
  5. Seksyen 4 (e) – Pencen, Anuiti atau Bayaran Berkala Lain;
  6. Seksyen 4 (f) – Lain-lain Perolehan atau Keuntungan

Adakah dana politik boleh dikenakan cukai?

Persoalan ini pernah dijelaskan oleh Menteri kewangan di Parlimen pada 21 Julai 2020 ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan. Menurut beliau, secara dasarnya, semua pendapatan (termasuk sumbangan derma politik) yang diterima oleh persatuan (parti) politik adalah dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras dengan Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) (No 22) 2002 – PU(A) 208/2002 (Perintah Pengecualian) yang berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran 2001. Perintah pengecualian ini diberikan oleh menteri kewangan berdasarkan kepada seksyen 127(3)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Jawapan bertulis Menteri Kewangan ini juga secara jelas menyatakan bahawa, pengecualian tersebut hanya terpakai kepada sumbangan yang diberikan kepada parti politik sahaja dan tidak terpakai untuk dana politik yang disumbangkan secara terus kepada mana-mana pihak selain daripada parti politik.

Ini juga bermaksud, jika ada mana-mana ahli politik yang menerima sumbangan politik terus ke akaun mereka tanpa melalui akaun parti politik, sumbangan itu tidak layak menikmati pengecualian cukai di bawah Perintah Pengecualian tersebut.

Walaubagaimanapun, jika ahli politik tersebut menerima dana daripada parti politik yang telah mendapat pengecualian cukai, bagi tujuan menjalankan aktiviti politik parti yang berkenaan, dana yang diterima tersebut juga tidak akan dikenakan cukai.

Adakah pendapatan yang diterima oleh parti dan ahli politik dari luar negara dikenakan cukai?

Menurut Perenggan 28, Jadual 6 ACP 1967, pendapatan dari luar Malaysia adalah dikecualikan daripada cukai. Penentuan sama ada suatu pendapatan diperolehi daripada luar negara atau tidak adalah bergantung kepada fakta setiap kes. Fakta yang diambilkira dalam menentukan sama ada pendapatan dari luar negara itu dikecualikan cukai atau tidak ialah kewujudan aktiviti yang dijalankan oleh pembayar cukai di luar negara yang menghasilkan pendapatan yang diterima.

Sebagai contoh, jika aktiviti pemberian perkhidmatan dijalankan di luar Malaysia dan pendapatan daripada perkhidmatan tersebut diremitkan kembali ke Malaysia, pendapatan yang diremitkan itu dikecualikan di bawah perenggan 28 Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967. Contoh lain ialah jika sejumlah wang disimpan di luar negara dan menghasilkan pendapatan faedah, faedah yang dibawa atau diremit balik ke Malaysia layak mendapat pengecualian.

Untuk membuktikan suatu pendapatan adalah diperolehi daripada aktiviti yang dijalankan di luar negara, seseorang pembayar cukai perlu mengemukakan bukti yang berkaitan. Sekiranya tiada bukti atau keterangan yang boleh menyokong sumber pendapatannya di luar negara, maka pembayar cukai tersebut tidak layak untuk menikmati pengecualian cukai.

Daripada jawapan menteri kewangan ini serta rujukan kepada Akta Cukai Pendapatan 1967, jelas menunjukkan bahawa setiap pembayar cukai yang mempunyai pendapatan yang layak dikenakan cukai perlu mengisytiharkan pendapatan yang mereka terima dan seterusnya membayar bahagian cukai yang dikenakan. Sumber pendapatan tersebut sama ada ia sah atau tidak di sisi undang-undang bukanlah persoalannya.

Sekiranya seseorang individu atau syarikat menerima wang yang bukan merupakan sebahagian daripada pendapatannya, dia perlu mengemukakan bukti dan membuat pengisytiharan supaya tidak dianggap sebagai duit yang layak dikenakan cukai oleh LHDN.

Bagi dana politik pula, walaupun dana politik tidak tergolong dalam kategori yang boleh dikenakan cukai, namun dana berkenaan hendaklah disalurkan ke dalam akaun parti politik dengan dokumen yang sah dan prosedur yang telus dan tidak wajar dimasukkan ke dalam akaun peribadi ahli politik tanpa maklumat yang terperinci.

Sememangnya operasi parti politik memerlukan sumbangan derma terutamanya daripada penyokong atau ahli parti masing-masing. Namun, bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyelewengan, dana politik berkenaan hendaklah disalurkan ke dalam akaun parti politik bagi meningkatkan ketelusan sistem dana politik dan seterusnya mewujudkan persekitaran politik yang jujur dan beramanah.

Dalam hal ini, dokumen yang sah termasuk maklumat penderma, jumlah yang disumbangkan, parti politik yang terlibat, sumber kewangan yang berkenaan, ke mana ia dibelanjakan dan lain-lain lagi hendaklah disimpan dengan rapi bagi memudahkan semakan pihak berkuasa jika perlu.

Kamarul Khairy adalah pembaca MalaysiaNow

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow