Thursday, August 5, 2021

Selamatkah Parlimen untuk bersidang? Bukan susah, tapi keselamatan penting

Titah Yang di-Pertuan Agong agar diadakan sidang Parlimen "secepat mungkin" perlu diperhalusi secara realistik.

Other News

Poin utama saya kali ini ialah jangan ambil mudah soal keselamatan nyawa ketika melawan wabak Covid-19 ini.

Tanpa sidang Parlimen pun, beberapa orang kakitangan Parlimen didapati positif Covid-19 baru-baru ini. Tanpa ada orang lalu-lalang. Hanya beberapa orang kakitangan yang hadir – pun ada yang positif Covid-19. Bahkan bagi mereka yang sudah mendapat 2 dos vaksin juga tidak kebal dari dijangkiti, walaupun kesannya adalah ringan.

Titah Yang di-Pertuan Agong agar diadakan sidang Parlimen “secepat mungkin” perlu diperhalusi secara realistik.

Pertama, negara sedang berada di bawah SOP perintah kawalan pergerakan sehingga 28 Jun 2021. Tiada rentas negeri. Rakyat yang tidak bekerja dalam “essential services” diperintahkan “stay at home”.

Majlis rasmi dan sosial tidak dibenarkan. Pergerakan terbatas setakat 10km. Macam-macam had dan peraturan, semuanya untuk menyekat penularan wabak.

Menjayakan sidang Parlimen pada tempoh dan waktu ini – sebenarnya memberikan mesej yang salah kepada rakyat tentang pematuhan SOP. Akan berlaku pergerakan rentas negeri dari seluruh pelusuk negara. Dari zon merah dan zon hijau.

Penganjuran majlis akan melibatkan “crowd” orang ramai – bukan sekadar 220 ahli parlimen sahaja, bahkan mungkin 3 atau 4 kali ganda jumlah kerana harus melibatkan pegawai dan kakitangan. Nanti timbul pula kluster kayangan dan tuduhan double standard. Kalau Parlimen boleh dibuka, kenapa tidak dibuka masjid sekali?

Keduanya, Sidang Parlimen yang ingin dilaksanakan secara “hybrid” fizikal dan maya misalnya, memerlukan penambahbaikan sistem atas talian yang selamat untuk semua 220 ahli parlimen yang ramai terpaksa bersidang dari pejabat di luar parlimen.

Kaedah berkongsi dokumen (sharing documents) dan pengundian (voting) dan segala-galanya perlu dilihat secara teliti, dan pastinya perlu dinaiktaraf. Difahamkan, proses perolehan sedang dijalankan oleh pihak Parlimen dan sudah pastilah, ianya tidak boleh diselesaikan overnight, bak cogak mudah Najib Razak dan Asyraf Wajdi.

Ketiganya, soal pindaan peraturan mesyuarat. Banyak perkara kena diteliti. Banyak negara seperti Brazil, Finland, Latvia, Afrika Selatan dan Sepanyol pun kena bentang semula prosedur baru. Parlimen New Zealand dan United Kingdom telah menukar “standing orders” bagi membenarkan persidangan dilakukan secara maya.

Sememangnya telah dipersetujui di kalangan ketua dan wakil parti politik Malaysia bahawa sidang akan datang bersifat “hybrid”. Semuanya perlu melalui proses dan peraturan.

Kerajaan nampaknya komited dan tidak lari dari prinsip demokrasi berparlimen serta tanggungjawab melaksana sidang Parlimen setelah semua urusan berkaitan selesai dan tidak ada perkara berbangkit dan boleh menjadi isu di kemudian hari, terutamanya hal menjaga nyawa manusia.

Pelaksanaan Sidang Parlimen selepas tarikh 1 Ogos 2021 tidak boleh dianggap “tidak relevan”. Apakah hanya dengan perbezaan tarikh dan hari; kepentingan Parlimen hilang sama sekali? Notis untuk memanggil sidang Parlimen secara tertib di bawah peraturan sedia ada adalah 28 hari campur 5 hari iaitu sebanyak 33 hari.

Mari kita fikir secara realistik dan bersangka baik. Sidang parlimen berisiko meragut nyawa. Jangan kompromi soal nyawa.

Rudi Hairi Aziz adalah pembaca MalaysiaNow

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles