- Iklan -
Rencana

Desakan PH adalah sikap binatang politik

Kelompok itu bagaikan menangguk di air keruh dengan cuba memutar-belit kenyataan Istana Negara seolah-olah Parlimen patut dibuka sekarang juga.

Muhammad Faiz bin Na'aman
3 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Pakatan Harapan (PH) mengibarkan bendera gabungan politik itu sambil menaiki motor. Pentadbiran PH jatuh selepas siri pertikaian dalaman mengenai kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dipersoalkan pemimpinnya. Gambar: AP
Penyokong Pakatan Harapan (PH) mengibarkan bendera gabungan politik itu sambil menaiki motor. Pentadbiran PH jatuh selepas siri pertikaian dalaman mengenai kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dipersoalkan pemimpinnya. Gambar: AP

Gesaan Pakatan Harapan (PH) melalui Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan kononnya jika Parlimen tidak dibuka dalam waktu terdekat merupakan niat sebenar kelompok “binatang politik” tersebut di negara ini.

Kelompok itu bagaikan menangguk di air yang keruh dengan cuba memutar-belitkan kenyataan Istana Negara seolah-olah Parlimen patut dibuka sekarang juga tanpa mengira situasi wabak Covid-19 yang masih mengganas di luar sana serta mengancam semua pihak tanpa mengira siapa.

Kenyataan Istana Negara semalam bertepatan dengan kenyataan perdana menteri sebelumnya bahawa Parlimen akan dibuka secepat mungkin dalam bulan September atau Oktober setelah kadar vaksinasi kebangsaan mencapai sasaran tertentu serta setelah kes-kes baru Covid-19 dapat diturunkan dengan drastik. Tiada titah dari Agong agar Parlimen dibuka sekarang juga ketika darurat sedang berlangsung hingga 1 Ogos nanti.

Kelompok binatang politik dalam negara ini sengaja menjadikan kenyataan Istana Negara semalam sebagai modal untuk mengalihkan perhatian rakyat di negara ini yang sedang bergelut dengan penularan wabak berskala global serta kesan Covid-19 terhadap ekonomi, di mana kerajaan Malaysia sedang berusaha bersungguh-sungguh hampir 24 jam bersama para petugas barisan hadapan untuk menjayakan agenda pemulihan negara sambil mengimbangi tuntutan pelbagai pihak.

Kenyataan dari Istana Negara semalam juga langsung tidak menyebut bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Perikatan Nasional (PN) sekarang gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya malah tiada pula dilayan sebarang cadangan untuk membentuk Mageran (Majlis Gerakan Negara), pilihan raya umum (PRU) dalam waktu terdekat atau sebarang bentuk penukaran kepimpinan negara sedia ada.

Sesungguhnya Agong dengan segala kebijaksanaannya, amat memahami realiti semasa negara ini yang memerlukan kerjasama semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing demi rakyat, bukan demi kepentingan peribadi, apatah lagi bermain politik di kala negara amat memerlukan kestabilan politik dalam menghadapi bencana besar seperti sekarang.

Amatlah tidak bertanggungjawab kelompok binatang politik tersebut yang mahu Parlimen dibuka sekarang sungguhpun mereka tahu kadar vaksinasi nasional belum mencapai liputan 50% populasi negara. Sedangkan mereka tahu kadar vaksinasi yang sedang diusahakan kerajaan makin hari makin meningkat pantas. Tidak bolehkah mereka bersabar sedikit masa lagi?

Jika Parlimen dibuka sekarang, bukan saja ahli-ahli Parlimen, sama ada yang sudah menerima vaksin atau belum, terdedah dengan varian-varian baru Covid-19 yang lebih ganas, malah semua pihak yang terpaksa hadir ke Parlimen, dari tukang cuci, pengawal keselamatan, hinggalah kepada staf parlimen serta para pegawai kementerian yang berkaitan, lebih kurang dalam seribu nyawa akan terdedah dengan wabak tersebut.

Kita tidak mahu kelak nanti wujud pula kluster Parlimen yang mengorbankan nyawa terutama mereka yang berada dalam kelompok berisiko tinggi akibat mempunyai penyakit-penyakit kronik yang lain. Cadangan sidang parlimen secara maya atau hibrid pula mempunyai keterbatasan yang tertentu memandangkan ia pertama kali dicadangkan, maka sudah tentu ia mengambil masa untuk direalisasikan agar tiada masalah teknikal yang berbangkit di kemudian hari.

Andai kata wujud kluster Parlimen oleh mereka yang hadir ke Parlimen sekarang atau masalah teknikal ketika sidang secara maya, maka sudah tentu ia akan dijadikan pula modal politik oleh kelompok binatang politik ini tadi. Rakyat Malaysia rata-ratanya sudah muak melihat aksi-aksi riuh rendah dalam Dewan Rakyat berserta sikap tidak profesional dan tidak ikhlasnya beberapa ahli Parlimen yang selama ini hanya bertikam lidah tanpa sebarang objektif yang benar-benar memberi manfaat ke arah bangsa dan negara.

Muhammad Faiz Bin Na’aman adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow