- Iklan -
Rencana

Pemimpin utama pembangkang setuju kerajaan PN kekal?

Tiada gunanya menang ke atas lawan politik jika kepentingan rakyat dan negara jadi tebusan.

Mahdzir Ibrahim
2 minit bacaan
Kongsi
Pertemuan Kabinet pertama ketika penubuhan kerajaan gabungan Perikatan Nasional. Gambar: Bernama
Pertemuan Kabinet pertama ketika penubuhan kerajaan gabungan Perikatan Nasional. Gambar: Bernama

Minggu lalu, lebih tepat lagi antara 8-10 Jun. Suasana politik Malaysia kembali rancak apabila para pemimpin pembangkang satu persatu mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyembah takzim perihal suasana politik, ekonomi dan pandemik ketika ini.

Keprihatinan Agong memanggil tujuh ketua-ketua parti politik utama negara ini menjadi simbol kekuatan dan kelangsungan sistem Raja Berperlembagaan di negara yang kita cintai ini. Dirgahayu Tuanku!

Hingga hari ini ketika tulisan ini ditulis, suasana politik terus aktif dengan pelbagai andaian dan pandangan dalam kalangan rakyat menjelang pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan Majlis Raja-Raja yang dijadualkan akan berlangsung pada 16 Jun ini.

Namun yang pasti dan sangat jelas, pemimpin utama pembangkang yang pada awalnya dijangka akan mengusulkan perubahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), rupa-rupanya tidak berlaku.

Lebih awal daripada itu pada Mei 2021, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi jaminan desakan partinya agar Parlimen dibuka (Dewan Rakyat bersidang) tidak akan menyokong mana-mana usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Manakala Presiden PKR Anwar Ibrahim menyatakan kepada umum sejurus selepas pertemuan dengan Agong bahawa perbincangan cadangan perubahan kerajaan juga tidak menjadi perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

Kemudian Dr Mahathir Mohamad, pengerusi Pejuang mencadangkan Majlis Pemulihan Negara yang mana inti utama cadangan ini juga bukan bertujuan untuk menggantikan kerajaan PN.

Ini semua kenyataan rasmi dari pimpinan utama pembangkang.

Manakala kita juga ambil maklum akan “perbincangan-perbincangan tepi” oleh wakil-wakil kanan parti pembangkang bahawa, mereka sebulat suara bersedia dan bersetuju untuk menumpukan segala usaha menghadapi Covid-19 dan memberi peluang kepada kerajaan PN kekal memerintah dan mengurus situasi negara ini sehingga tamat penggal pemerintahan.

Daripada kesemua kenyataan dan latar ini, adalah jelas bahawa pembangkang sebulat suara untuk memberi kerjasama kepada kerajaan PN untuk mengurus pandemik Covid-19 dengan tuntas tanpa ada gangguan politik.

Saya ucap tahniah kepada pembangkang atas inisiatif ini.

Saya merasakan bahawa di sebalik pelbagai perbezaan, kebencian dan masalah antara pemimpin pembangkang ini, satu suara jelas dimuktamadkan.

Tiada gunanya menang ke atas lawan politik jika kepentingan rakyat dan negara jadi tebusan.

John F. Kennedy pernah berkata kepada rakyat Amerika “My fellow Americans, ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country”.

Kita Melayu ada caranya, dan kerajaan PN sentiasa memahaminya;

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.

* Mahdzir Ibrahim ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow