- Iklan -
Rencana

Armada berkhidmat demi masyarakat, demi negara tercinta

Sukarelawan Bersatu bergerak di seluruh negara bagi melicinkan usaha vaksinasi kerajaan.

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Armada membantu penduduk kampung mendaftarkan vaksin.
Sukarelawan Armada membantu penduduk kampung mendaftarkan vaksin.

Armada Bersatu telah mempergiatkan lagi agenda “politik khidmat” dalam menterjemah tekad siasah anak muda antara lain berteraskan kebajikan dengan menyahut iltizam Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal yang menggerakkan kempen 100 jam sukarelawan vaksin.

Bersyukur ke hadrat Allah SWT, kempen yang dimulakan oleh beliau sejak 7 Jun 2021 yang menyasarkan pertambahan sukarelawan seramai lebih 300 orang sukarelawan Armada sedia ada kepada 5,000 sukarelawan Armada (melibatkan jumlah sasaran 30 orang sukarelawan dari 191 bahagian seluruh Malaysia) telah dipergiat dengan jayanya, jumlah ini dijangka akan ada pertambahan dengan sokongan kerjasama dari Srikandi Muda Malaysia dari segenap pelusuk tanah air.

Armada Bersatu setiap bahagian (Parlimen) dengan kerjasama Srikandi Muda diperuntukkan untuk berkhidmat di kawasan Parlimen masing-masing sekurang-kurangnya 100 jam bagi membantu masyarakat setempat, tidak semestinya melalui sistem sukarelawan yang telah ditetapkan pihak kerajaan namun perlu memastikan ada kerjasama (yang telah dibina) dengan pemantauan agensi-agensi terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Malah Armada segenap peringkat bersetuju untuk menginfakkan masa dan harta atas kerja sukarelawan ini tanpa mengharapkan insentif dengan terlibat secara langsung melalui program sukarelawan anjuran kerajaan seperti MyVac atau organisasi seperti Salam Alliance yang ada memberikan sedikit elaun atas khidmat kesukarelawan.

Pertambahan jumlah sukarelawan Armada adalah begitu ketara melalui inisiatif secara dalaman ini. Melalui bantuan pelbagai agensi, juga selain inisiatif tersendiri. Armada dari Perlis hingga ke Sabah telah mula berkhidmat di pusat pemberian vaksin (PPV), selaku sukarelawan bukan kesihatan.

Ada yang membantu golongan warga emas, golongan kurang upaya, ada yang jaga parkir, malah di kebanyakan bahagian terutamanya di luar bandar telah mula melakukan inisiatif mendaftarkan vaksin kepada warga emas dan pelbagai golongan di kampung-kampung kawasan masing-masing.

Armada Bersatu akan terus membumi dalam tekad kami membantu misi negara dan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin untuk negara Malaysia mencapai imuniti kelompok. Doa kami juga buat Malaysia.

Mari terus menyokong kami, Armada Bersatu.

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah ketua Penerangan Armada Nasional

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow