- Iklan -
Kolum

Mengapa tiada kesepakatan guna lambang PH pada PRU15?

Ketika Anwar bertanding di Port Dickson, lambang PH dan bukannya PKR digunakan dalam pilihan raya kecil itu.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Sepatutnya ia bukan satu isu.

Pakatan Harapan (PH) bila bertanding pilihan raya umum nanti akan menggunakan lambang mereka yang didaftarkan, iaitu simbol delta berwarna putih berlatar belakangkan warna merah dengan tulisan “Harapan” berhuruf besar.

Lambang ini digunakan dalam pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia, ketika PH masih menjadi kerajaan persekutuan.

Jadi, ia bukan masalah, dan bukan merupakan isu.

Namun begitu, pada awal minggu lalu, timbul cadangan supaya PH menggunakan lambang PKR iaitu mata biru muda yang diapit dengan relang warna merah di kiri dan kanannya.

Sementara itu timbul pula cadangan supaya setiap parti anggota menggunakan lambang masing-masing dalam pilihan raya umum nanti.

Ini bermakna DAP menggunakan lambang roket dan Amanah memakai simbol mercu bukitnya.

Kepentingan bagi ketegasan dalam menggunakan lambang seragam untuk semua calon PH mendorong DAP Johor dalam mesyuaratnya minggu lalu menegaskan pendirian mereka terhadap isu ini.

Di samping mengisytiharkan Johor adalah sebuah negeri barisan hadapan baginya, parti itu juga mahu supaya calon PH menggunakan lambang gabungan itu.

Maknanya, kalaulah isu lambang tidak penting, maka tidaklah sampai mesyuarat DAP Johor membincangkan perkara itu dan membuat rumusan pendirian terhadapnya.

Jadi perkara ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak sekata di kalangan pendokong PH terhadap lambang mana yang hendak digunakan pada pilihan raya akan datang.

Melalui media sosial, ada penyokong PH melahirkan kekecewaannya kerana anggota gabungan itu berbeza pandangan mengenai lambang.

Tidakkah itu perkara kecil?

Sedangkan banyak perkara besar yang berlaku minggu lalu untuk menjadi perhatian.

Umpamanya keadaan negara yang tidak baik dengan angka jangkitan virus Covid-19 yang masih tinggi.

Kedudukan ekonomi negara yang mencurigakan.

Kehidupan rakyat yang belum kembali normal.

Minggu lalu juga diwarnai dengan pertemuan ketua-ketua parti dengan Yang di-Pertuan Agong.

Termasuk ketua PH sendiri, Anwar Ibrahim.

Serta laporan Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Semua perkara itu adalah isu besar berbanding pemilihan lambang untuk calon PH pada pilihan raya umum nanti.

Sedangkan pilihan raya umum hanya dapat diadakan apabila Darurat berakhir dan ancaman wabak Covid-19 sudah reda beserta imunisasi rakyat Malaysia sudah dapat mencapai 80 peratus.

Namun begitu, hakikatnya, soal lambang bukan suatu perkara kecil.

Ia membawa makna besar terhadap PH dan calon perdana menterinya, Anwar.

Kejayaan menentukan simbol PH bagi pilihan raya dengan cepat dan tepat boleh menentukan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Keputusan menentukan lambang itu dengan tepat dan cepat perlu dibuat sekarang, dan bukannya menanti bila keadaan terdesak dan keadaan begitu hampir kepada pilihan raya umum.

Buat pertama kali dalam sejarah, gabungan pembangkang menang pilihan raya umum pada tahun 2018.

Juga buat pertama kali gabungan pembangkang menggunakan satu lambang dalam pilihan raya.

Ia bukan kebetulan tetapi suatu perancangan dan kesedaran terhadap “kuasa fokus.”

Maknanya sesuatu perkara yang diberikan fokus mampu meraih kejayaan.

Mahathir sedar tentang perkara ini, dan beliau menekankan bersungguh-sungguh kepentingan menggunakan satu lambang bersama.

Beliau berusaha untuk mendaftarkan PH, memastikan reka bentuk lambangnya bagi digunakan dalam pilihan raya.

Usaha Mahathir dihalang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak.

Bukan saja Bersatu dihalang bertanding tetapi juga PH sebagai gabungan serta penggunaan lambangnya.

Suatu taktik hodoh di Malaysia, sebagai sebuah negara demokrasi.

Kepentingan penggunaan satu lambang ini mendorong Mahathir untuk menerima simbol PKR bagi semua calon PH.

Ia tidak menjadi masalah bagi calon dari Bersatu kerana mereka bertanding atas tiket PKR.

Ini kerana Bersatu tidak dapat didaftar.

Ia juga tidak mendatangkan masalah bagi calon Amanah kerana lambang mereka belum begitu luas dikenali.

Sememangnya adalah lebih baik bagi mereka menggunakan lambang PKR.

Tetapi ada masalah bagi DAP kerana lambang roket begitu sebati dengan penyokong-penyokongnya, dan ia sudah lama ada, lama sebelum PKR ditubuhkan.

Namun begitu, DAP sedia mengorbankan lambangnya demi perpaduan dan kejayaan PH.

Tetapi itupun hanya di semenanjung kerana DAP Sarawak dan Sabah tetap menggunakan lambang roket dalam PRU14 itu.

Apa yang Mahathir percaya itu ternyata mendatangkan hasil.

Penggunaan satu lambang membolehkan penyokong-penyokong Bersatu, PKR, DAP dan Amanah melangkaui sentimen parti masing-masing bagi memberikan kemenangan.

Tentulah apabila kerajaan PH tumbang pada tahun 2020, ramai pengundi-pengundi lambang mata PKR kecewa kerana mandat mereka dikhianati oleh panji-panji baru Perikatan Nasional (PN), berwarna biru tua yang sama warna dengan BN dan tidak pernah ditandingkan dalam mana-mana PRU.

Pada PRU akan datang, setakat ini dijangka bahawa BN akan bertanding sendiri dengan menggunakan lambang dacing mereka.

Sementara lambang PN ialah bulan bintang seperti yang ada pada bendera Malaysia.

Ia adalah seperti lambang MCA dengan ditambah bulan sabit.

Tetapi untuk pilihan raya, ia akan menggunakan perkataan bertuliskan Perikatan Nasional dengan huruf besar.

Parti-parti komponen PN seperti Bersatu dan Gerakan tentu tidak mempunyai masalah menggunakan lambang PN.

Lambang Bersatu belum dikenali ramai.

Gerakan pula menggunakan lambang BN sejak tahun 1974.

Tetapi yang bermasalah ialah PAS.

Tentu keberatan bagi penyokong-penyokong PAS untuk melepaskan lambang mereka terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Tetapi mengapa ada cadangan supaya PH menggunakan lambang PKR, dan bukannya logo gabungan itu dalam PRU akan datang?

Hujah utamanya ialah lambang PKR adalah lebih terkenal berbanding simbol PH.

Dalam hal ini ada benarnya.

Dari satu segi lain, dihujahkan pula mengapa perlu menggunakan lambang PKR sedangkan PH sudah berdaftar dengan lambangnya sekali.

Lagipun lambang PH pula sudah digunakan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Hujah ini pun ada benarnya.

Tetapi ada perkara lebih mendalam di sebalik sentimen pemilihan lambang mana hendak digunakan untuk PRU akan datang.

PH dan lambangnya didaftar ketika Mahathir menjadi ketuanya.

Ia juga digunakan dalam pilihan raya kecil semasa Mahathir menjadi perdana menteri.

Ketika Anwar bertanding di Port Dickson, lambang PH dan bukannya PKR digunakan dalam pilihan raya kecil itu.

Tetapi PH sendiri dan lambangnya itu berkait dengan Mahathir.

Walaupun PH pada mulanya terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah tetapi yang membawa gabungan itu menjadi kerajaan adalah apabila Bersatu menyertainya dan Mahathir mengetuainya.

Dari satu segi PH ada sinonim dengan Mahathir walaupun kini beliau tidak menganggotainya.

DAP dan Amanah memberikan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Mereka tidak lagi menyokong Mahathir untuk memegang jawatan itu.

Sungguhpun begitu, DAP dan Amanah tidak menganggap PKR sebagai parti dominan seperti Umno dalam BN.

Walaupun PKR adalah parti paling besar dalam PH, tetapi komponen-komponennya adalah setaraf.

Dalam hal ini, mereka lebih bersedia menggunakan lambang PH, dan bukannya logo PKR.

Ini kerana apabila menggunakan lambang PKR untuk PH, identiti dan kedudukan DAP dan Amanah tenggelam pada bayangan parti itu.

Lebih-lebih lagi imej PKR sudah banyak tercalar dengan tumbangnya kerajaan PH dahulu.

Ini adalah kerana ia berlaku apabila sebahagian ahli parlimen PKR lompat keluar untuk menubuhkan kerajaan PN.

Sementara itu, walaupun DAP dan Amanah dipandang utuh dengan perjuangan, tetapi mereka juga dilihat naif kerana gagal untuk menjangka dan menghalang tumbangnya kerajaan PH.