- Iklan -
Rencana

SAM bantah projek perlombongan terbaru dekat Tasik Chini

Aktiviti perlombongan mesti dihentikan dan empangan kecil yang menjejaskan ekosistem semula jadi Tasik Chini perlu dirobohkan.

Meenakshi Raman
2 minit bacaan
Kongsi
Penebangan hutan di sekeliling Tasik Chini mengubah suasana sekitar. Gambar: Facebook
Penebangan hutan di sekeliling Tasik Chini mengubah suasana sekitar. Gambar: Facebook

Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah projek perlombongan di sekitar Tasik Chini. Ekosistem semula jadi Tasik Chini dan kawasan persekitarannya telah dieksploitasi dan dimusnahkan sejak beberapa dekad yang lalu. Kini hanya komitmen Kerajaan Negeri Pahang sahaja yang mampu memulihkan semula Tasik Chini yang semakin nazak.

Eksploitasi dan pemusnahan Tasik Chini bermula apabila dibina satu empangan kecil di Sungai Chini pada tahun 1995. Dari semasa ke semasa, Tasik Chini dan kawasan persekitarannya diancam pula dengan pelbagai aktiviti terutamanya pembalakan, perlombongan dan perladangan.

Pembinaan empangan kecil dan aktiviti-aktiviti tersebut bukan hanya telah memberi impak kepada ekosistem semula jadi dan kualiti alam sekitar Tasik Chini dan kawasan persekitarannya tetapi telah juga menjejaskan kehidupan dan sosio-ekonomi masyarakat yang tinggal di persekitaran Tasik Chini terutamanya masyarakat Orang Asli.

Isu dan masalah yang berbangkit masih berlarutan bagaikan tiada kesudahan.

SAM dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) serta Persatuan Pengusaha Pertanian Kecil Felda Chini (CISNET) sering kali mengemukakan aduan kepada Kerajaan Negeri dan agensi-agensi yang berkaitan tetapi dukacita tidak pernah mendapat maklum balas positif untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Disamping itu, SAM juga telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah untuk menyelamatkan Tasik Chini iaitu dengan mengadakan pertemuan bersama masyarakat setempat, perbincangan bersama pihak berkepentingan, tinjauan lapangan dan mengadakan sidang media.

Malah dimaklumkan pada tahun 2012, masyarakat Orang Asli Tasik Chini pernah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia agar menghentikan segala aktiviti yang boleh memusnahkan Tasik Chini dan kawasan persekitarannya.

Kini SAM mengulangi lagi gesaan kepada kerajaan Pahang agar tindakan segera perlu dilakukan untuk menyelamat Tasik Chini dan kawasan persekitarannya.

Antara tindakan segera yang perlu dilakukan ialah semua aktiviti perlombongan mestilah dihentikan dan empangan kecil yang menjejaskan ekosistem semula jadi Tasik Chini hendaklah dirobohkan.

Tindakan selanjutnya pula, SAM menggesa kerajaan negeri mewartakan keseluruhan Tasik Chini dan kawasan persekitarannya sebagai kawasan perlindungan kerana ianya merupakan salah satu kawasan sensitif alam sekitar.

Disamping itu, kerajaan negeri perlulah mengiktiraf Tasik Chini dan kawasan persekitarannya sebagai kawasan tradisi masyarakat Orang Asli.

Sekiranya kerajaan negeri masih tidak memberi komitmen untuk memulihara serta menghentikan segala kegiatan yang boleh memusnahkan ekosistem semula jadi Tasik Chini dan kawasan persekitarannya termasuk cadangan perlombongan yang terbaru, dibimbangi pengisytiharan Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) akan ditarik balik.

Meenakshi Raman adalah presiden Sahabat Alam Malaysia

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow