Saturday, June 12, 2021

Ejen Israel di Iran

Filem ini membawa kita kepada dunia gelap Tehran di mana golongan T20 mereka berpesta dalam kompleks kediaman tersorok, meminum arak, mencemuh ulama, menari bagai kerasukan; dan apabila keluar ke dunia, berpura-pura Islami.

Other News

Sebelum pandemik Covid-19 melanda, Yuval Adler, salah seorang pengarah filem terkenal di Israel sempat membikin sebuah filem dengan judul The Operative.

Ada beberapa aspek yang menarik mengenai filem ini.

Salah satunya ialah, ia memberi kita satu kerangka dan kefahaman bagaimana dan apa yang ada dalam benak Israel terhadap Iran.

Maka pilihan Adler untuk mengadaptasi The English Teacher, sebuah novel karangan Yiftach Reicher Atir, yang merupakan bekas Jeneral tentera Israel menjanjikan satu perspektif berbeza.

Hasilnya ialah sebuah filem yang sarat resah psikologi seorang perisik yang terbawa-bawa dengan dunia risikannya, sebuah filem mengenai hubungan antarabangsa yang kompleks, sebuah filem genre perisikan-thriller yang tegang dan sebuah filem cinta yang mendera.

Bagi membolehkan filem ini menangkap perhatian sinema global, Adler memilih Diane Kruger sebagai protagonis, seorang pelakon yang diberi tumpuan serius di Eropah, tetapi sedikit terabai di Hollywood.

Menurut saya, The Operative tidak kelihatannya ingin menjejakkan kaki di Amerika, berdasarkan pilihan pelakon yang ditampilkan.

Justeru menghukum The Operative menurut neraca Hollywood tentulah cuai.

Kruger membawakan watak Rachel, merupakan pusat naratif filem ini.

Di awal filem kita diperkenalkan dengan Thomas, pesara perisik lakonan Martin Freeman.

Rachel menelefoninya dan memberitahu, “Ayahku meninggal dunia, sekali lagi.”

Lantas meletakkan telefon. Sebagai penyedia dan mentor Rachel, Thomas membawa kita kembali kepada dunia perisikan yang ditinggalkannya.

Setiap insiden berbentuk imbas kembali yang diselak selapis demi selapis.

Kita didorong menonton bagaimana Thomas mengasuh dan merencanakan Rachel sebagai perisik di Tehran, iaitu dengan memakai topeng seorang guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah antarabangsa untuk anak-anak hartawan Iran.

Sosok Rachel yang tiada kaitan dengan Amerika Syarikat, lahir di Australia dan membesar di banyak negara di Eropah, serta anak perempuan seorang sejarawan Yahudi kiri adalah sangat tepat memandangkan identitinya tidak akan dihidu di Iran.

Kerja asas Rachel adalah untuk memerangkap sebuah firma barangan letrik di Iran agar beroperasi di Eropah.

Hal ini bukan mudah kerana kebanyakan syarikat Iran menjauhkan diri dari perniagaan antarabangsa kerana sekatan ekonomi terhadap negara mereka.

Rancangan Mossad ialah supaya firma tersebut kemudiannya menerusi sebuah syarikat Jerman menjualkan komponen senjata nuklear kepada tentera Iran.

Komponen itu akan dimuatkan alat pengesan.

Dengan itu Israel akan dapat menyusup masuk dalam pasukan ketenteraan Iran.

Lihat, tidakkah jengkel cara perisikan begini?

Bulan demi bulan, sendirian dan sudah mulai berbaur dalam masyarakat; Rachel perlahan-lahan menyukai Tehran lantaran mengenali budaya Iran dan kemudian berkenalan dengan bapa saudara seorang muridnya, Ali yang bernama Farhad (lakonan Cas Anvar).

Rachel dan Farhad dalam filem The Operative.

Tugas Rachel ialah supaya Farhad mengupahnya sebagai penerjemah dan dari situ Rachel boleh menyarankan firma Farhad itu membuka bisnes di luar.

Di sinilah terjadinya kompleksiti naratif apabila Farhad menggoda Rachel, dan Rachel tertawan dengan Farhad.

Di sela itu kita dibawa kepada Rachel yang berulang alik ke Eropah (dengan alasan menziarahi ayahnya yang tidak sihat), termasuk bagaimana ia diterima oleh ejen Mossad di Israel.

Sebagai sebuah filem risikan, elemen penting tentunya pembinaan babak suspen.

Ini disuguhkan sekurang-kurangnya di dua babak besar.

Rachel terpaksa membunuh seorang pengawal asal Uzbek di kilang Farhad, kemudiannya kita dibawa kepada operasi Rachel paling sulit iaitu memandu sebuah trak penuh letupan ke dalam sempadan Iran dari Turki.

Rachel tercedera dalam operasi itu, dan setelah menyedari dilayani dengan begitu baik oleh Farhad, dia juga mendapati trak yang dibawanya digunakan untuk membunuh sekeluarga saintis nuklear Iran.

Ia merupakan titik penting perubahan Rachel yang kemudian rasa tertipu apabila Mossad tidak mahu melibatkannya lagi setelah Farhad terpengaruh untuk membuka urus niaga di Jerman.

Tambahan pula Rachel sudah hamilkan anak Farhad dan terpaksa menggugurkan kandungannya.

The Operative membawa kita kepada dunia gelap Tehran di mana golongan T20 mereka berpesta dalam kompleks kediaman yang tersorok, meminum arak, mencemuh para ulama, menari bagai kerasukan; dan apabila keluar ke dunia, berpura-pura Islami.

Rachel seorang penyamar mengalami lapis samaran dalam masyarakat yang juga penuh kepura-puraan.

Itu puncanya Rachel memahami Iran meski tidak boleh berbahasa Parsi.

Tentu sahaja Rachel akan berpihak kepada objek dan subjek risikannya memandangkan Farhad ternyata mencintainya, dan dia telah begitu memesrai masyarakat Tehran ketika di situ dalam keadaan keseorangan.

Adaptasi yang dilakukan Adler agak tidak kemas, memandangkan ia mesti berpulang balik dengan pelbagai adegan risikan, sambil perlu mengimbangi emosi psikologi Rachel yang berat.

Adler juga harus membuang banyak muatan wacana politik antarabangsa yang asalnya ada dalam novel.

Bukan itu sahaja, untuk memuatkan pelbagai adegan suspen dalam sebuah filem sekitar dua jam bukanlah mudah.

Justeru ada bahagian dalam naratif rasa senteng dan kadang mendadak hilang.

Kebanyakan penonton berasa terpinga-pinga dengan pengakhiran The Operative, pun penghabisan tergantung begini adalah terbiasa pada sinema Eropah dan Iran sendiri.

Apa pun filem ini sangat menarik dan Kolja Brandt berjaya merakam latar Tehran utara yang penuh maksiat itu.

Gubahan kostum oleh Hamada Atallah juga begitu menjadi memandangkan bukan mudah untuk memberi gambaran golongan T20 Iran yang fesyennya sedikit berlebihan.

Bantuan muzik Frank Ilfman memberikan mood tegang yang diperlukan pada beberapa adegan perisikan yang mencemaskan.

Lakonan Diane Kruger (seorang penerima anugerah pelakon terbaik di Cannes) begitu berimbang, dan kita dapat merasakan kepayahan, ketakutan dan juga kekesalannya dalam banyak keadaan.

Kruger berbeza dari lakonannya dalam Inglourious Basterds. Manakala Cas Anvar, pelakon Kanada keturunan Parsi berjaya memasukkan dirinya dalam diri seorang Farhad.

Cuma Anvar kelihatan tidak lepas dari peranan yang pernah dibawanya sebagai Dodi al-Fayed dalam Diana.

Memang The Operative bukan sangat filem yang baik untuk standar Pesta Filem Berlin (2019), akan tetapi bagi pengekor politik antarabangsa, ia menjelaskan kepada kita bagaimana Mossad (badan perisikan Israel) beroperasi di dalam Iran, dan boleh mensasarkan tokoh politik mahupun saintis nuklear Iran.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Previous article2 cadangan untuk kerajaan
Next articlePada suatu masa

Related Articles