- Iklan -
Kolum

Penipu ada di semua zaman, tempat

Lantaran itu, keupayaan dan kemahiran untuk mengelak ditipu adalah juga sebahagian daripada sifat manusia.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Usaha untuk melawan Covid-19 ini menjadi bertambah sukar bila ada orang menipu dan tidak jujur.

Terdapat orang menipu untuk memperoleh apa yang dikehendaki.

Sama ada untuk mendapatkan kebenaran merentas negeri atas tujuan peribadi atau menipu jenis perniagaan mereka bagi mendapatkan kelulusan untuk terus beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebahagiannya terbongkar, ada juga yang terlepas.

Orang yang menipu untuk mendapatkan wang kelihatannya lebih ramai.

Dari zaman dahulu hinggalah sekarang.

Pelbagai cara menipu termasuk menggunakan agama.

Tetapi ada juga yang menipu kerana seronok.

Golongan ini tidak memperoleh sebarang keuntungan tetapi hanya keseronokan sendiri.

Sebab itu timbul berita palsu dalam media sosial.

“Hoax” disebarkan setiap hari.

Adakalanya tertanya juga, rajinnya orang seperti ini mereka-reka berita.

Tetapi perbuatan menipu, tidak bercakap benar dan tidak jujur bukan saja dilakukan oleh orang biasa.

Ada kalanya ia dilakukan oleh oleh orang berjawatan dan berpengaruh.

Ada kalanya tidak sengaja.

Tetapi banyak kali pula ia sengaja dan dilakukan atas tujuan tertentu.

Mungkin atas nama kepentingan awam.

Atau untuk tujuan politik tertentu.

Mungkin manusia ini tidak terlepas daripada menipu.

Ada yang kecil. Tidak kurang pula berbentuk besar.

Jika seseorang itu didapati menipu, maka kepercayaan orang lain terhadapnya juga terjejas.

Bila banyak kali ia akan terhakis dan akhirnya hilang wibawa.

Masyarakat tidak akan bersih sepenuhnya daripada penipuan.

Tetapi jika ia berlaku dengan meluas, baik dari kalangan rakyat mahupun kerajaan, maka masyarakat sukar berfungsi.

Pelbagai institusi dan undang-undang untuk mengurangkan penipuan dan ketidakjujuran.

Malah agama juga berusaha untuk mengurangkan perbuatan menipu ini.

Tetapi manusia turut menggunakan agama untuk menipu.

Pada zaman kerajaan Abbasiyah iaitu sekitar pertengahan 1220-an, seorang penulis gelap, Jamaluddin Al-Jawbari dipanggil oleh emir kerajaan Artuqiah bernama Ruknuddin Maudud.

Pada masa itu pemerintahan Artuqiah terletak di kawasan yang sekarang ini ialah Turki selatan.

Kerajaan ini terletak di bawah kekhalifahan Abbasiyah.

Al-Jawbari dianggap sebagai seorang penulis gelap kerana beliau menulis kitab mengenai perkara-perkara tersembunyi daripada perhatian masyarakat.

Dia sering datang berlegar-legar di Istana Maudud dan dikenali sebagai orang yang bergaul dengan lapisan masyarakat gelap.

Apa yang dimaksudkan dengan masyarakat gelap adalah orang seperti penggemis, penipu, ahli nujum palsu dan orang sufi yang mencuri dari lampu masjid sampailah pada tombol pintu masjid.

Kadang-kadang pintu masjid pun mereka curi.

Nama sebenar Al-Jawbari ialah Jamaluddin Abdul Rahim ibni Umar.

Al-Jawabari adalah nama kampungnya yang terletak di pinggiran Damsyik.

Kampung itu masih ada tetapi hampir musnah dalam perang saudara Syria baru-baru ini.

Al-Jawbari rajin berjalan.

Beliau pergi ke Maghribi dan juga Hijaz termasuk Mekah dan Madinah.

Dia juga pergi ke Iraq, Iran sampailah ke India.

Dalam perjalanannya beliau berkawan dengan ahli alkimia, penceramah yang kerjanya menakutkan orang tentang kiamat yang hampir tiba, tabib-tabib dan penipu-penipu yang menampilkan diri sebagai alim dan warak.

Beliau mengkaji 300 kitab mengenai ilmu hitam, ilmu alam semula jadi, kalau sekarang ia disebut sebagai sains, dan juga sebuah buku teks sihir bernama Kitab Ilusi.

Ia dikatakan karya Plato, tetapi sebenarnya tidak.

Al-Jawbari sendiri menulis kitab mengenai bintang-bintang dan geomansi, iaitu ilmu pengaruh kedudukan bentuk alam terhadap manusia.

Tetapi karya-karyanya itu kini tidak ditemui.

Emir Ruknuddin meminta Al-Jawbari mengumpulkan maklumat mengenai cara-cara orang menipu, daripada orang yang mengaku warak, tabib-tabib palsu hinggalah kepada peminta sedekah.

Beliau menyiapkan kitab itu pada tahun 1232 tetapi pada masa itu kerajaan Artuqiah digulingkan oleh penakluk dari kerajaan Ayubiah.

Ruknuddin ditawan dan dijadikan tahanan.

Kerajaan Ayubiah yang pemimpinnya merupakan keturunan Salahuddin Al-Ayubi menguasai kawasan yang luas, meliputi Mesir, Palestin, Hijaz hingga ke sempadan Turki.

Pusat pemerintahan mereka terletak di Kaherah. Tetapi mereka masih berada di bawah kekhalifahan Abbasiyah di Baghdad.

Kitab Al-Jawbari itu bernama Kitab al-Mukhtar fi kashf al-asrar bermaksud Kitab Mengandungi Satu Himpunan Mengenai Pendedahan Rahsia.

Pada tahun 2020, New York University Press menerbitkan terjemahan kitab ini dengan tajuk The Book of Charlatans dalam edisi dwi-bahasa.

Terjemahan ini dilakukan oleh Humphrey Davies.

Buku ini mendedahkan rahsia penipu profesional di Timur Tengah khususnya di Mesir dan Syria pada zaman itu.

Melalui 30 bab, antaranya ia mendedahkan mereka yang mendakwa sebagai nabi hinggalah kepada orang yang mengaku kena penyakit kusta dan peniaga yang mengubah warna kuda untuk mendapat keuntungan lebih.

Di dalamnya juga diceritakan mengenai cara membuat dakwat ghaib, batu permata palsu dan ubat-ubat palsu.

Ada satu kisah di mana seorang yang menampil diri sebagai warak mengambil kelip-kelip dan dijahitnya dalam serban.

Apabila orang ramai melihat di atas kepalanya ada cahaya, maka disangka orang itu adalah wali.

Masa kekhalifahan Abbasiyah dianggap sebagai Zaman Keemasan Islam.

Kota Baghdad dan Andalusia yang berada di bawah keluarga Umaiyah melahirkan pelbagai jenis ilmuwan dalam pelbagai bidang.

Ia merupakan masyarakat penuh warna-warni.

Dari satu sudut, buku ini dapat menggambarkan kehidupan seharian dalam masyarakat di wilayah itu.

Ada yang baik, dan ada yang jahat.

Tentu saja kerja-kerja tipu bukan saja berlaku dalam masyarakat Islam.

Masyarakat tamadun lain turut menyaksikan perkara sama.

Perkataan hoax dan hocus pocus juga mula timbul dalam zaman pertengahan Eropah.

Ia merujuk kepada pembohongan yang dibuat atas nama Kristian.

Penentangan terhadap pembohongan agama ini mencetuskan reformasi yang membawa kepada kemunculan mazhab Protestan.

Dari zaman dahulu dan di mana-mana, penipu-penipu sentiasa ada dalam kalangan masyarakat.

Pada zaman moden ini, ia tentunya terus ada.

Kalau ada seorang penyelidik seperti Al-Jawbari ini pada zaman moden, kitabnya akan menceritakan mengenai skim kewangan tipu seperti antara lainnya melibatkan mata wang kripto dan lain-lain “scam” yang hari-hari orang terima melalui panggilan telefon.

Ramai juga yang menipu dalam bentuk ubat dan apa yang dikatakan makanan tambahan sihat.

Termasuklah yang menggunakan agama dan ayat-ayat Al-Qran.

Terdapat juga ubat dan penawar untuk penyakit termasuk Covid-19.

Antaranya seperti cengkih.

Mungkin cengkih boleh meredakan sakit kerongkong tetapi bukan melawan virus Covid-19.

Selain itu, kisah-kisah palsu bagi menghalang orang mengambil vaksin juga merupakan suatu penipuan.

Ia bukan suatu pendapat semata-mata.

Melakukan penipuan dan bersifat tidak jujur dan tidak amanah nampaknya adalah sebahagian daripada sifat manusia.

Tetapi keperluan untuk bersifat jujur adalah jelas perlu ada bagi manusia untuk hidup sesama mereka dalam masyarakat.

Lantaran itu, keupayaan dan kemahiran untuk mengelak ditipu adalah juga sebahagian daripada sifat manusia.

Maka akan sentiasa berlaku pergeseran dan pertentangan dalam pertembungan antara penipuan dan kejujuran.

Begitu juga antara integriti dan korupsi.