- Iklan -
Rencana

Bahaya menggunakan Perlembagaan untuk tujuan politik

Sekiranya kita berpegang dengan idea Perlembagaan adalah yang tertinggi dan keluhuran undang-undang harus ditegakkan, maka kita harus merangkul kedua-dua konsep itu sepenuhnya, bukan separuh-separuh.

Azhar Harun
6 minit bacaan
Kongsi

“Sebuah Perlembagaan adalah sebuah tindakan rakyat dalam sifat semulajadinya yang berdaulat. Sebuah Kerajaan wujud kerana adanya Perlembagaan; ia dilahir disebabkan kewujudannya. Sebuah Perlembagaan mentakrif dan mengehadkan kuasa-kuasa Kerajaan yang wujud kerananya. Maka ia akan disusuli hasil yang semula jadi dan logik, bahawa penggunaan kuasa kerajaan yang bukan bersumberkan Perlembagaan, adalah kuasa yang tidak berdasar, maka ia dianggap haram”. – Constitutions, Government and Charters oleh Thomas Paine

Walaupun boleh dibahaskan jawatan saya ini bersifat politik,namun saya bukanlah seorang ahli politik.

Saya juga tidak memiliki cita-cita politik, bahkan tak pernah memegang sebarang jawatan dalam apa-apa parti politik.

Kerana itu, secara semulajadi tidak pernah ada keinginan atau pendirian politik untuk saya masuk ke dalam kancahnya demi mendapatkan populariti.

Bagaimanapun, ketika ini saya tergerak untuk menjelaskan satu perkara asas yang banyak antara kita yang mengaku memahami banyak hal tentangnya namun tak banyak melakukan perkara yang membolehkan dia betul-betul memahaminya, sementara ada juga yang memahaminya namun hanya melakukan perkara-perkara yang hanya menguntungkan diri mereka.

Perkara asas yang saya maksudkan adalah Perlembagaan Persekutuan.

Thomas Paine mentakrif Perlembagaan sebagai berikut: –

“Perlembagaan adalah Perkara yang menjadi asas kepada Kerajaan, Kerajaan pula wujud kerana Perlembagaan. Perlembagaan sesebuah Negara bukanlah perilaku Kerajaannya, namun Rakyat yang membentuk sesebuah kerajaan. Ia adalah satu Lembaga dengan Pelbagai Elemen yang anda boleh rujuk dan petik artikel demi artikel; dan ia juga mengandungi beberapa prinsip yang menjadi petunjuk bagaimana Kerajaan itu harus dibentuk, dan cara apa ia harus disusun, dan kuasa-kuasa yang ia miliki, apakah Bentuk Pilihan Raya, Tempoh keabsahan Parlimen, atau nama lain Badan-badan itu boleh dipanggil; iaitu kuasa-kuasa eksekutif yang Kerajaan perlu miliki,; dan dalam bentuk yang halus,semua perkara yang berkaitan dengan organisasi sempurna sebuah kerajaan sivil, dan prinsip-prinsip apa yang ia miliki untuk tindakan yang ia ambil, dan prinsip-prinsip yang mengekangnya. Maka, sebuah Perlembagaan bagi sebuah Kerajaan adalah undang-undang yang diciptakan oleh Kerajaan tersebut, dan ia berada di bawah Mahkamah Kehakiman. Mahkamah Kehakiman tidak membuat undang-undang, ia juga tidak boleh mengubahnya, ia hanya bertindak dalam ruang lingkup yang diperuntukkan undang-undang; sementara Kerajaan juga dalam keadaan serupa tertakluk di bawah Perlembagaan.”

Perlembagaan Persekutuan, dalam bahasa mudahnya adalah ibu kepada undang-undang negara kita.

Jadi, ia mentadbir setiap tindak-tanduk kita, sama ada sebagai rakyat biasa mahu pun sebagai pegawai sesebuah institusi.

Ia menciptakan institusi, memberikan kuasa-kuasa kepadanya dan menjelaskan bagaimana kuasa-kuasa itu boleh digunakan atau diamalkan.

Tambahan lagi, ia juga turut menjelaskan hak-hak rakyat selain menjamin hak-hak asasi rakyat yang memuliakan kita sebagai seorang insan.

Namun, pada masa yang sama, ia juga menjelaskan keadaan-keadaan yang membolehkan hak-hak itu disekat oleh sebuah Negara atau institusi yang relevan.

Perlembagaan Persekutuan membentuk tiga institursi utama dalam pentadbiran negara kita.

Pertama, Eksekutif (yang terdiri daripada perdana menteri dan Kabinet), Legislatif (yang biasa kita rujuk sebagai Parlimen) dan Kehakiman (iaitu Mahkamah).

Perlembagaan juga membahagikan bidang kuasa kepada ketiga-tiga institusi tersebut bagi memastikan pentadbiran negara terus lancar.

Dengan itu, setiap institusi akan tahu bidang kuasa mereka dan had kuasa yang dimiliki mereka.

Ini dikatakan sebagai pembahagian kuasa.

Setiap institusi menggunakan kuasa mereka secara mandiri tanpa ada campur tangan daripada institusi lain. Inilah yang disebut sebagai doktrin pemisahan kuasa.

Dan perkara ini jugalah yang masih menjadi kecelaruan ramai orang.

Pemisahan kuasa bukanlah prinsip undang-undang.

Ia sama seperti kontrak sosial, ia bukanlah sebuah bentuk konsep yang dipakaikan dengan sekatan undang-undang atau penguatkuasaan.

Ia hanyalah sekadar teori politik. Sebuah idea, sebuah doktrin.

Bagaimanapun, ada yang mengatakan ia wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara segelintir yang lain mengatakan ia adalah premis pentadbiran kita.

Namun tulisan ini bukanlah mahu membincangkan isu tersebut, yang jelas di sini, pemisahan kuasa bukan sebuah prinsip undang-undang.

Jadi, ia tidaklah tertakluk di bawah undang-undang untuk dikuatkuasakan.

Ia juga tertakluk kepada sebarang kelayakan yang termaktub dalam dan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang dibuat berdasarkan Perlembagaan.

Dalam realiti pengamalannya, tidak ada di dunia ini telah melaksanakan doktrin pemisahan kuasa secara mutlak.

Parlimen dan Eksekutif sememangnya akan sentiasa dibentuk oleh ahli-ahli majoriti.

Anggota Kehakiman pula sentiasa dilantik oleh Eksekutif.

Di United Kingdom, konsep Ketuanan Parlimen bermaksud Parlimen berada lebih tinggi daripada Kehakiman dan Eksekutif, maksudnya ia memiliki lebih banyak kuasa dari dua institusi tadi.

Mahkamah Tinggi India dalam kes Ram Jawaya Kapur melawan Negeri Punjab, antara lain menetapkan Perlembagaan India tidak mengiktiraf doktrin pemisahan kuasa secara bulat-bulat.

Di Amerika Syarikat, Profesor James R Hall berkata, “doktrin pemisahan kuasa pemerintahan tentunya sukar untuk dilaksanakan secara penuh”. (dipetik oleh John A. Fairlie dalam The Separation of Powers, Michigan Law Review Jil. 21, No. 4 (Februari., 1923).

Sebaliknya, pembahagian kuasa antara ketiga-tiga institusi tersebut seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah prinsip undang-undang.

Kabinet menjalankan kuasa-kuasa eksekutif.

Parlimen pula menggubal undang-undang.

Sementara Mahkamah pula membuat keputusan.

Kesemua ini adalah prinsip undang-undang dan ia mesti dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, ada waktu-waktunya sebuah institusi dibolehkan secara undang-undang untuk memasuki bidang kuasa institusi lain.

Ketika sebuah institusi dibenarkan undang-undang untuk “campur tangan” dengan kerja-kerja institusi lain, “campur tangan” itu adalah sah dan boleh dikuatkuasakan biarpun “campur tangan” itu bertentangan dengan konsep pemisahan kuasa.

Ini kerana, pelaksanaan mutlak atau kaku doktrin pemisahan kuasa ini adalah satu perkara yang mustahil diamalkan oleh mana-mana kerajaan moden.

Sebagai contoh, wujud beberapa kes di mana Eksekutif gunakan kuasa untuk melarang sesebuah buku, namun kemudiannya, Mahkamah batalkan larangan itu dan memerintahkan larangannya ditarik balik.

Secara permukaan, kita dapati Mahkamah sudah pun campur tangan dengan kuasa Eksekutif.

Bagaimana Mahkamah boleh buat perkara sebegini?

Bukankah ini bertentangan dengan doktrin pemisahan kuasa?

Jawapannya adalah tidak.

Mengapa tidak?

Hal ini kerana Mahkamah diberi kuasa secara sah untuk menolak beberapa tindakan Eksekutif berdasarkan undang-undang.

Perkara ini dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman.

Oleh itu, Eksekutif tidak boleh menentang keputusan itu walaupun dalam situasi ini Mahkamah mengganggu kuasanya atau Mahkamah melanggar doktrin pemisahan kuasa.

Dalam senario ini, Mahkamah mempunyai sumber undang-undang untuk melakukannya. Undang-undang itu adalah Akta Mahkamah Kehakiman.

Sebaliknya, Perlembagaan Persekutuan secara jelas menetapkan bahawa Dewan Rakyat adalah sebuah badan yang mengatur sendiri persidangannya.

Ia juga menetapkan keabsahan setiap persidangan Dewan Rakyat tidak seharusnya dipersoalkan di mana-mana Mahkamah.

Kerana itulah Mahkamah tidak melayan sebarang persoalan mengenai keabsahan persidangan Dewan Rakyat.

Dengan erti kata lain, dalam situasi ini, Mahkamah tidak memiliki sumber undang-undang untuk melakukannya.

Sekiranya Mahkamah mempunyai pendirian bertentangan dengan penetapan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas itu, seraya memutuskan perihal keabsahan sebarang persidangan Dewan Rakyat, ia dianggap melanggar undang-undang.

Hal ini kerana, Mahkamah tidak mempunyai sumber undang-undang untuk melakukannya.

Parlimen juga dalam banyak peristiwa turut pernah “merampas” kuasa Mahkamah yang memutuskan sebuah perbicaraan.

Contohnya, Parlimen meluluskan undang-undang yang menetapkan sekiranya seseorang didapati memiliki sejumlah dadah, dia boleh dianggap sebagai penyeludup dadah.

Peruntukan ini melenyapkan kuasa Mahkamah untuk menentukan sama ada dia sebenarnya atau dalam undang-undang sememangnya penyeludup atau tidak.

Di samping itu, peruntukan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen untuk menjatuhkan hukuman mati mandatori dalam kesalahan tertentu juga merupakan “campur tangan” Parlimen terhadap kuasa Mahkamah untuk memutuskan hukuman atas kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, kesemua “campur tangan” ini dibenarkan dan sah kerana Parlimen memiliki sumber kuasa untuk melakukannya.

Sumber kuasa itu datangnya daripada Perlembagaan Persekutuan.

Kembali kepada isu hangat politik ketika ini, bolehkan Eksekutif menghentikan Parlimen untuk adakan persidangan?

Kita boleh sahaja bahaskan isu ini.

Namun kita sudah pun mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Maka, kita mestilah merujuk Perlembagaan bagi mendapatkan jawapan.

Kerana dalam dua contoh tadi, akhirnya kita tahu ia kembali kepada sumber undang-undang itu sendiri.

Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada perdana menteri untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Ia sudah pun dilakukan perdana menteri dan Agong pun sudah mengisytiharkan darurat.

Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan sepanjang darurat, undang-undang di bawah beberapa ordinan boleh diisytiharkan oleh Agong (sesuai dengan saranan perdana menteri) jika ada keadaan yang membuat beliau perlu mengambil tindakan segera.

Undang-undang itu juga diumumkan berdasarkan nasihat perdana menteri.

Salah satu daripadanya, semua persidangan Parlimen dibatalkan.

Darurat dan ordinan yang diumumkan setakat ini adalah tindakan yang diambil berdasarkan sumber undang-undang spesifik, iaitu di bawah dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Ia disahkan oleh prinsip undang-undang dan boleh dikuatkuasakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama seperti kuasa Mahkamah yang boleh membatalkan beberapa tindakan oleh Eksekutif.

Sama ada kita suka atau tidak, itu adalah kuasa Kabinet atau eksekutif dan kuasa itu telah digunakan.

Seperti yang dinyatakan oleh Thomas Paine, “Perlembagaan menentukan dan mengehadkan kuasa Kerajaan yang dibentuknya.”

Sekiranya kita berpegang dengan idea Perlembagaan adalah yang tertinggi dan keluhuran undang-undang harus ditegakkan – seperti yang sering kita nyatakan penuh lantang – dalam Rukun Negara.

Maka, seharusnya kita merangkul kedua-dua konsep itu sepenuhnya, bukan separuh-separuh.

Kita tidak boleh bersikap memilih dengan hanya menerima apa sahaja yang menguntungkan kita namun bersikap keras apabila sesuatu tindakan tersebut tidak memenuhi kepentingan dan hasrat kita.

Apa pun, terpulang anda untuk bersetuju atau tidak bersetuju.

Mungkin ada alasan peribadi atau politik untuk anda mempertimbangkannya.

Di sini, saya hanya menjelaskan undang-undang sebagaimana adanya.

Sekiranya kita merasakan bahawa undang-undang ini tidak baik, ia mesti diubah.

Mereka yang tidak setuju dengan undang-undang ini boleh sahaja mengubahnya apabila peluang muncul kelak.

Namun, selama mana hari itu belum tiba, semua ahli Parlimen, termasuk saya (walaupun saya bukan ahli yang terpilih), mesti bertindak sesuai dengan sumpah yang kita ikrarkan.

Sumpah ini dinyatakan dalam Jadual ke-6 Perlembagaan Persekutuan. Sebahagian daripada sumpah itu adalah untuk “melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk merangkul Perlembagaan Persekutuan itu secara menyeluruh dan tidak memilih bulu dengan mengambil mana-mana peruntukan hanya apabila ia sesuai dengan kehendak dan hasrat kita.

Azhar Harun adalah speaker Dewan Rakyat

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow