- Iklan -
Kolum

Salim dan Boo sampai ke London

Ini cara Bobby London siasat, rapi dan terperinci.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Hari ketiga aku bergerak sekali lagi ke lapangan terbang Heathrow.

Aku duduk di Brixton, zone dua – ini wilayah Selatan di pinggir pusat kota.

Brixton ialah stesen akhir untuk Victoria Line.

Telefon aku bermula dengan 071 maknanya ini kod telefon wilayah yang betul-betul di Central London.

Dalam kota London, aku tidak memiliki masalah pengangkutan.

Aku menapak tak sampai 10 minit dari flat aku di Southwyck House, Coldharbour Lane ke stesen Brixton.

Majoriti warga kota London tidak perlu memiliki kereta untuk bergerak.

Ada kereta api bawah tanah atau tube melegari kota London.

Kereta api biasanya menyambung ke wilayah luar kota yang jauh.

Manakala bas merah dua tingkat untuk ke wilayah dalam kota London yang menghubungkan kawasan yang agak jauh dari stesen tube.

Hakikatnya tidak ada seorang pun kawan dan sahabat aku yang memiliki kereta di London.

Ramai mereka berperangai sama seperti aku: bebal tidak tahu memandu dan bebal tidak dapat mengenal jenis kereta.

Dari stesen Brixton aku mengambil tube bertukar di stesen Green Park dan terus ke Heathrow.

Kurang lebih satu jam aku berada di hadapan pejabat Kastam Heathrow.

Mister Chadwick dan Robert sedia menunggu.

“Good morning Isham. Had your breakfast?” Chadwick membuka kata.

“Yes. Done”. Aku mengangguk.

“You’re going to meet Mister Boo Ah Ha. He came with Salim in the same flight from Kuala Lumpur.”

Chadwick bangun dan kami menuju ke bilik siasatan yang sama di mana aku bertemu dengan Salim.

Aku ternampak di kerusi bekas tempat duduk Salim diduduki oleh seorang lelaki Cina berusia sekitar 40-an.

Agak kurus berambut pendek. Memakai baju petak-petak lengan pendek.

Berpantalon hitam dan berkasut coklat.

“Mister Boo this is Isham. Your translator. The conversation in this room is taped.” Chadwick memberitahu Boo.

“Boo. Aku Isham. Aku bukan peguam. Aku tukang terjemah. Kau cakap Melayu, aku terjemah dalam Bahasa Inggeris untuk kastam Mat Salleh ini. Faham?

“Aku bukan peguam. Semalam aku terjemahkan untuk Salim. Hari ini untuk kau. Semua cakap kita dalam bilik ini dirakam. Polis, kastam Mat Salleh ini tak ada pukul-pukul.”

Aku menerangkan dan menambah “pukul-pukul” untuk memberi pencerahan tentang cara kerja kastam dan mata-mata Inggeris.

“Please ask him his full name, address, work and family.” Chadwick meminta maklumat peribadi dari Boo.

Lelaki Cina. Boo Ah Ha, berumur 47 tahun.

Warganegara Malaysia tinggal di Cheras. Ada isteri dan tiga orang anak. Bekerja sebagai pemandu teksi.

“Where does he drives his taxi?” Chadwick ingin tahu.

“Boo. Kau bawa teksi di kawasan mana?”

“ Bukit Bintang, selalu tunggu dekat Sun Complex, Genting Highlands, merayau Kuala Lumpur. Tapi selalu naik Genting. Tunggu orang kat Sun Complex”.

“Sun Complex ni apa? Di mana?” Aku mahukan penjelasan.

“Lu tak tau? Lu tak tau? Ayooo. Ayam punya tempat. Bukit Bintang”. Boo menerangkan.

“Ayam? Ayam apa?”

“Semua ada. China, Siam, Cambodia, Vietnam. Manyak ayam. Ayam pakai teksi.”

Aku senyum bila Boo berkata ayam naik teksi.

Perbualan ini tidak aku terjemahkan. Hanya untuk pengetahuan am aku.

“Where did he met Salim? What is his relationship with Salim?” Chadwick mencelah.

“Boo macam mana lu jumpa Salim? Kau dengan Salim ini member macam mana?”

Aku terjemahkan soalan daripada Chadwick yang ingin mencungkil apakah Boo juga bersama dalam jaringan Salim ini.

“Wa kenal Salim di Genting. Dia drebar satu tauke Cina. Wa bawa teksi, kadang-kadang kita duduk minum teh tarik tunggu bos main judi.”

“Did he knew about the brown sugar?”

“Boo… kamu tau tak Salim bawa heroin?”

“Wa tak tau. Wa tak tau.”

“He has no idea about the stuff.”

“Whose idea coming to London? Why London?”

“Pasal apa datang ke London? Apa tujuan?”

“Salim kata dia nak cari ubat. Salim ajak datang teman dia jalan-jalan di London. Kaki Salim dulu eksiden patah.”

“Salim proposed to him visit London. Salim intends to repair his injured legs. And sight seeing. Like a tourist.”

“Why London?” Chadwick mahu tahu kenapa mereka berdua memilih kota London.

“Boo pasal apa pilih London?”

Aku pun ingin juga nak tahu kerana dua-dua anak Malaysia ini tak pandai cakap bahasa Inggeris.

Salim boleh sikit-sikit.

Tapi Boo langsung tak tahu. Silap-silap kalau terjumpa oleh Mamat Hitam dari Brixton dua-dua ini “masak kena gulai”.

“Gua mahu cari perempuan Mat Salleh. Salim nak cari doktor.” Boo selamba menerangkan tujuan ke London.

“He is looking for white woman. While Salim is searching for a doctor.”

Aku tersenyum bila menterjemahkan ayat ini kepada Chadwick.

“Looking for women Where? Where? In Soho?”

Chadwick ketawa dan aku tidak menterjemahkan ayat ini kepada Boo.

Aku yakin ayat ini bukan ditujukan kepada Boo, tapi untuk kami ketawa.

Lagi aku terfikir pasti Boo dah bosan dengan ayam Siam.

Maka datang ke London untuk mencari ayam Belanda.

“Who pays for the tickets?”

“Beli tiket kapal terbang pakai duit siapa?”

Boo menerangkan yang tiket menggunakan separuh duit Salim.

Boo janji akan membayar yang selebihnya bila dia dapat modal.

Salim yang keluar duit belanja kerana Boo ikut untuk menemankan.

Salim perlu kawan di London.

“What about the bag? The travelling bags. Who bought them? Where and when?”

Ini cara Bobby London siasat, rapi dan terperinci.

Beg yang aku anggap tak penting ini mahu diketahui lebih dalam.

“Boo, beg baju tu beli kat mana dan bila beli?

“Both bags are indentical.” Chadwick mencelah.

“Dua-dua beg kamu ini rupa sama.”

“Beli di Puchong. Kedai di Puchong. Kami pergi sama-sama pilih beg yang sama. Salim suka warna tu.”

“They bought the bags in Puchong, suburb of Kuala Lumpur. They went together. Salim made the choice. Salim likes the colour.”

Dari gaya soalan-soalan Chadwick ini, aku merasakan dia syak Boo tahu akan rancangan sebenar Salim datang ke London.

Beg yang sama bentuk dan sama warna ini sebagai bukti mereka bersama-sama.

Beg ini sebagai bahan bukti untuk mengikat Boo sama dalam kes seludup ini.

Aku pula merasakan Boo ini hanya pemandu teksi yang diayat oleh Salim untuk menemani dia ke London.

Mencari perempuan Mat Salleh dijadikan umpan.

“Tell Boo he is interrogated because he came with Salim. We found brown sugar hidden in the sole of his shoes. He is a suspect too.”

Chadwick menerangkan kedudukan Boo.

Bila aku menterjemahkan kepada Boo, yang pihak kastam menganggap dia juga terlibat sama, aku lihat dia senyap tidak berkata apa-apa.

Mungkin khayalannya melintas jauh dari London ke Cheras.

Mungkin Boo terbayang isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Kemudian Chadwick bangun.

Aku mengikut sama menuju ke pejabat. Di sana Robert ada menunggu.

“The lab report, 800 grams of pure grade A brown sugar.”

Robert memberi penerangan laporan makmal tentang dadah yang dibawa Salim.

Brown sugar kelas A yang boleh dimasak untuk dijadikan heroin.

“The street value of around 80,000 pound.” Robert menambah.

Nilai dadah yang dibawa oleh Salim 80,000 pound.

Dalam kepala aku mengira. Wow! Hampir setengah juta ringgit nilai dadah yang dibawa Salim.

“Here are the tapes. Our conversation with Mister Salim and Mister Boo.”

Robert memberi aku pita rakaman. Aku wajib mentranskripsi dua pita rakaman soal siasat Salim dan Boo.

Esoknya aku ke kedai elektronik membeli alat telinga agar dapat mendengar suara dengan lebih jelas.

Dua keping pita suara rakaman ini wajib aku selesaikan transkripsinya dalam seminggu.

Kemudian aku cetak dua salinan. Dan aku berikan kepada Mister Chadwick.

“Thanks Isham. Remember you would be call as witness too.”

Chadwick memberi ingatan aku akan menjadi saksi juga dalam kes seludup dadah ini.

Dua minggu setelah menyelesaikan transkripsi, aku menerima satu panggilan telefon.

“Good morning Mister Rais. I’m from Legal Aid. I’m handling the case for Mister Salim dan Mister Boo Ah Ha. We need your help to translate.”

Panggilan dari seorang peguam.

Aku ke Heathrow sekali lagi. Bertemu di pejabat kastam.

“I’m Alagappa. Lawyer for Salim and Boo.”

Lelaki India berusia 50-an memperkenalkan diri. Dengan pantas kami mesra.

Alagappa asalnya anak Malaysia dari Pulau Pinang datang belajar ke London dan terus menjadi penduduk tetap dan warga Britain.

Dia menerangkan di United Kingdom ada sistem di mana semua yang didakwa akan diberikan khidmat peguam secara percuma.

Sistem ini memastikan yang tidak mampu dari segi kewangan akan juga mendapat nasihat dan bantuan guaman secara percuma.

Untuk yang mampu mereka boleh melanggan peguam sendiri.

Khidmat peguam percuma ini dikelolakan oleh jaringan Majlis Peguam yang bekerjasama dengan setiap balai polis di United Kingdom.

Mister Alagappa dipanggil oleh balai polis Heathrow untuk menjadi peguambela kepada Salim dan Boo.

“Hi call me Isham. Boleh cakap Melayu lagi?” Aku menghulur tangan memperkenalkan diri.

“Sikit-sikit. I forget laaa. Long time ago laaa.”

Dia mengapitkan ibu jari dengan jari telunjuk menandakan sedikit. Kami ketawa.

Setelah berkenalan kami menuju ke bilik soal siasat yang sama.

Kali ini Salim dan Boo menunggu kami.

“Salim, ini Alagappa. Dia ini peguam untuk kamu berdua. Aku juga jadi penterjemah untuk kamu berdua.”

Aku melihat mereka tergamam kerana tiba-tiba muncul peguam India di negara Mat Salleh.

“Jangan risau, di negara Mat Salleh peguam ini free. Tak kena bayar. Ini cara Mat Salleh buat kerja.”

Aku memberi penerangan ringkas untuk mententeramkan kecurigaan mereka.

Dari apa yang aku perhatikan pihak kastam sudah memberi maklumat tentang kes Salim dan Boo kepada Alagappa.

“Salim and Boo, both of you are detained by the customs and immigration department.”

Alagappa memulakan penerangan.

Dari penerangan ini baru aku mula faham di Heathrow ini, Salim dan Boo ditahan oleh kastam dan imigresen, bukan polis.

Dalam tahanan kastam dan imigresen mereka tidak perlu dibawa ke mahkamah untuk meminta hakim memanjangkan tahanan reman.

Hukum kanun yang mewajibkan tahanan dibawa ke mahkamah jika ditahan lebih dari 24 jam tidak diguna pakai dalam kes kastam dan imigresen.

Jam tidak bergerak dalam tahanan kastam dan imigresen.

Jam hanya bergerak jika ditahan di lokap rumah pasung.

Aku menerangkan perkara ini kepada Salim dan Boo.

Malah aku sendiri pun baru mendapat pencerahan dalam hal hukum-hakam ini.

“They will charge Salim. They will try to implicate Boo. I’m trying to seperate Salim from Boo. No drugs was found on Boo. It’s hard to prove.”

“Salim kamu akan dituduh bawa dadah. Peguam ini akan cuba lawan kes Boo kerana dadah tak ada dalam kasut Boo.”

“Are they okay in lock up? Food okay? Salim is a Muslim. He could ask for kosher food. I will inform the authority that my client is a Muslim.”

Alagappa memberi penerangan.

“Salim dalam lokap kau boleh minta makanan halal dan minta tempat sembahyang.“

“Okay Bang. Semua okay bang.” Salim menjawab.

“The case will be soon. In the mean time for Boo, could he find someone to write character testimony for him? From prominent respected person like a school teacher, his boss, citizen or member of parliament?”

“Salim kes ni belum bicara. Kita kena tunggu masa. Tak tahu bila. Boo, boleh tak cari orang besar? Kalau kau kenal Datuk ke? YB ke? Wakil rakyat kamu di Cheras minta mereka tulis tentang peribadi kamu, yang kamu ini orang baik. Nak tunjuk pada hakim kau ni tak jahat.”

Aku menerangkan duduk perkara kepada Salim dan Boo.

“Wa apa? Wa baik apa?” Boo tersesat dan tak faham akan penerangan aku.

Aku ulangi sekali lagi semudah mungkin.

“Lu ada kenal Datuk? Minta dia tulis surat tentang diri kamu. Tulis yang kamu ini Boo Ah Ha orang baik dari Cheras. Nak tunjuk pada Tuan Hakim”

“Surat rekomen laaa.” Salim dengan berani mencelah.

“Itu macam ka? Ada, ada. Wa ada kenal latuk. Wa kenal manyak latuk. Manyak latuk datang Genting”.

“Minta Datuk itu tulis hal kamu. Family, kerja… kamu orang baik dari Cheras.” Aku memberi penjelasan.

“Itu macam ka? Tapi itu latuk tak kenal sama wa.” Boo memberi penjelasan dengan selamba.

Bila mendengar jawapan Boo, aku nak ketawa salah, nak menangis pun lagi salah.

Dalam keadaan biasa kalau bukan di hadapan peguam aku pasti terbarai ketawa.

Aku menarik nafas panjang dan berfikir macam manalah pemandu teksi dari Cheras ini datang ke London untuk mencari Minah Salleh.

“He will try his best.” Aku menerangkan duduk perkara kepada peguam.

“Any things they need, please let me know. Contact the authority. We will meet again in court.”

Alagappa mengakhiri perjumpaan petang itu.

“Salim, Boo… peguam kata kita tunggu hari bicara. Kalau ada apa-apa sila beri tahu melalui Pak Guard tempat kamu kena lokap. Kita jumpa di mahkamah nanti.”

Dua minggu kemudian aku menerima surat dari Jabatan Kastam dan Imigresen.

Isinya ringkas menerangkan secara rasmi aku akan menjadi saksi.

Jika aku mahu meninggalkan kota London, aku wajib memberitahu mereka seawal mungkin agar tidak mengganggu tarikh bicara yang masih belum ditetapkan.

Salim dan Boo ditahan bulan empat di permulaan musim bunga.

Bila musim panas sampai, aku memadamkan semua rancangan bercuti ke luar negara.

Biasanya di musim panas aku ngelencong ke benua Eropah, pulang ke Belgium.

Musim panas tahun 1992 aku “di lokap” di London, menunggu dipanggil ke mahkamah.