- Iklan -
Rencana

Konflik Israel-Palestin adalah isu kemanusiaan bukan agama

Persidangan PBB beberapa kali yang gagal mendapatkan jalan penyelesaian konflik terbaru Israel-Palestin mengecewakan masyarakat antarabangsa.

Ainie Haziqah
2 minit bacaan
Kongsi
Warga Malaysia sentiasa mendukung perjuangan Palestin sejak ia berusaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajahan Zionis. Gambar: AFP
Warga Malaysia sentiasa mendukung perjuangan Palestin sejak ia berusaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajahan Zionis. Gambar: AFP

Malaysia berdukacita dan kecewa dengan jenayah perang dan serangan ganas oleh pihak Israel terhadap Palestin yang jelas melanggar Konvensyen Geneva Keempat 1949. Perilaku tidak berperikemanusiaan dan kekejaman rejim keganasan Israel serta pengeboman besar-besaran jelas melanggar undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, kemanusiaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Saya mengikuti perkembangan terkini berita di Palestin, sejak bulan suci Ramadan hingga Aidilfitri dan saya sangat sedih serta kecewa mengetahui bahawa sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) belum mengeluarkan kenyataan mengenai keadaan semasa di Palestin walaupun setelah laporan kementerian kesihatan Palestin mengumumkan kematian 213 orang Palestin dan 1,500 orang awam tercedera dalam serangan itu.

Mengapa UNSC mengabaikan perkara ini? Bagaimana nasib anak-anak Palestin yang tidak bersalah menjadi mangsa kezaliman ini? Mengapa mereka dibunuh setiap hari disebabkan tindakan keji tentera Israel di tanah milik nenek moyang mereka? Tindakan mereka yang mempertahankan tanah dan kediaman mereka adalah wajar bagi membalas tindakan tentera Israel yang secara paksa mengusir penduduk Palestin dari kawasan Sheikh Jarrah untuk membina penempatan haram orang Yahudi. Palestin bukan pengganas.

Palestin adalah manusia dan mereka berhak untuk hidup bebas tanpa rasa takut. Kanak-kanak di Gaza tidak boleh dibunuh. Semua orang awam, pelarian, kanak-kanak, wartawan dan pekerja media mesti dilindungi dengan apa cara sekalipun.

Komuniti antarabangsa terutama Majlis Keselamatan PBB harus bertindak pantas dalam memaksa Israel menghentikan serangan yang menindas dan zalim ke atas Palestin. Ini bukan masalah antara agama dan tidak perlu menjadi Muslim untuk menyokong Palestin. Ini adalah isu sejagat. Kita harus bersama dalam menyuarakan bantahan terhadap kezaliman oleh Israel ini. Kerajaan Malaysia juga mengulangi pendirian mereka secara konsisten bagi memberikan sokongan politik, ekonomi dan moral secara padu kepada Palestin.

Malaysia akan terus menyokong segala usaha untuk penyelesaian yang damai dan adil melalui rundingan yang melibatkan semua pihak yang berkepentingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang relevan.

Saya bersolidariti dan menyatakan sokongan untuk menyelamatkan Palestin daripada kezaliman Israel. Saya mengutuk serangan Israel terhadap Palestin dan menyeru mereka menghentikan segera pencerobohan di seluruh wilayah Palestin. Jangan putus asa, Palestin. Kami menyokong Palestin. Kami menangis bersama Palestin. Kami berdiri bersama Palestin. Kami sentiasa mendoakan Palestin. Selamanya kami bersama Palestin.

Ainie Haziqah adalah exco Srikandi Bersatu Malaysia

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestnya mencerminkan pandangan MalaysiaNow