- Iklan -
Kolum

Adania, pengarang Palestina

Zionis bukan sahaja mencuri rumah, harta benda dan tanah bangsa Palestina tetapi juga isi dan muatan kebudayaan mereka.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Salah seorang pengarang semasa Palestina yang saya gemari adalah Adania Shibli.

Saya malah percaya beliau satu hari kelak akan meraih Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Dan kerana kami sebaya, rasa percaya itu memang sedikit berlebihan.

Juga mungkin kerana dia teman sasterawan yang saya kenal.

Akan tetapi, sesungguhnya bakat Adania memang melongokan.

Saya selalu berasa kecil di sisinya.

Adania adalah penerima dua kali Qattan Young Writer’s Award-Palestine untuk novel-novelnya yang berjudul Masaas (2001) diterjemah sebagai Touch (2009), dan Kulluna Ba’id bethat al Miqdar aan el-Hub (2003) yang dalam bahasa Inggerisnya adalah We Are All Equally Far From Love (2012).

Penulis bersama Adania.

Manakala novel beliau Tafsil Thanawi diterjemah sebagai Minor Detail sudah diterima hangat dalam dunia sastera di Barat.

Selain kekuatan beliau dalam genre novel, Adania juga berkincah dalam genre esei (pojok) yang mana suara beliau kedengaran lantang.

Ada sebuah esei Adania yang amat saya sukai, suka rasa nak mati.

Ia memperihalkan tentang kehilangan, dan kecurian.

Esei itu ditulis dengan luar biasa indah di mana ia menghuraikan bagaimana ketika kejadian Nakba, salah satu yang turut dirompak ialah buku.

Esei Adania itu yang saya lupa judulnya apa, mengisahkan bagaimana dia bersiap-siaga untuk menggunakan kad siswanya untuk masuk ke Perpustakaan Nasional Israel.

Tujuan Adania cuma satu, iaitu mencuri buku.

Dan buku yang dia ingin “curikan” ialah buku dengan tanda AP di rak yang khas dan tersembunyi, dan dia hanya mahu mencuri buku yang tertera label Khalil al-Sakakini.

Tidak ramai yang mengenali Khalil al-Sakakini, seorang penyair, guru dan pemikir besar Palestina pra Nakba.

Tulisannya kebanyakan mengenai bahana kolonialisasi, idea pendidikan dan pembangunan.

Saya difahamkan pengaruh dan tulisan beliau sungguh mengesankan.

Mungkin, sepertinya kita memegahkan Syed Hussein Alatas, tetapi orang luar tidak pernah mendengar namanya. Mungkin seperti itulah.

Akan tetapi hal dengan Khalil al-Sakakini ini jauh lebih mendesak, cemas dan mengharukan.

Sebagai seorang pengarang besar, kediaman Khalil adalah juga perpustakaan.

Kutubkhanah Khalil demikian luar biasa, ia menyimpan bermacam karya langka yang tidak lagi dicetak.

Kunci dan khazanah bangsa Arab Palestina yang tidak mungkin diperolehi di mana-mana.

Maklumlah seorang pengarangkan suka mengumpul buku.

Lain dari itu, Khalil adalah seorang pencatat.

Kerjanya memang menulis tanpa henti.

Buku-buku nota catatan hariannya itu menjelaskan bermacam-macam episod sejarah yang luar biasa.

Jadinya dalam buku atau diarinya itu kita akan dapati keresahan bangsa Arab apabila Israel diisytiharkan tertubuh pada 14 Mei 1948.

Khalil mengisahkan bagaimana Zionis menyerang kampungnya Qatamon pada 30 Mac tahun tersebut.

Dan bagaimana Khalil memilih untuk tidak mengungsi.

Dia menceritakan perihal takutnya orang kampung dengan serbuan Zionis yang menyebabkan mereka melarikan diri ke Beirut, Kaherah dan ada sampai berhijrah ke Barat.

Khalil memilih untuk tidak pergi.

Namun demikian lama kelamaan, Khalil juga tewas di jiwa, dan terpaksa melarikan diri ke Kaherah pada 30 April 1948 apabila Zionis Haganah dan Palmach menyerang kampungnya.

Pilihan Khalil tidak banyak. Dia mengisi beberapa pakaian dan dokumen penting dalam begnya.

Dia kira-kiranya diusir dalam keadaan sehelai sepinggang.

Akan tetapi yang membuatkan Khalil menangis dan berdarah sampai dia mati adalah apabila dia terpaksa meninggalkan, bukunya yang beribu itu, termasuk diari, nota dan buku hariannya.

Demikian dia berduka, dia meratapi perpisahannya dengan buku yang banyak itu sambil menuliskan begini: “Sampai jumpa perpustakaanku; sampai jumpa, rumah kearifan, bailairong para filsuf, lembaga keilmuan, rumah sastera. Berapa banyak malam-malam tanpa tidur kuhabiskan di dalammu, membaca dan menulis…kepedihan cintaku hanya teredakan oleh fakta bahawa aku telah memindahkan buku-buku catatanku, yang jumlahnya banyak sekali dan meliputi ribuan halaman, ke sebuah tempat yang aman.” (Dari prosiding Redefining Borders).

Akan tetapi apa yang membuatkan saya marah ialah apabila Adania menjelaskan dalam eseinya itu; bahawa rupa-rupanya, ketika para askar Zionis itu mengusir penghuni kampung Arab, menceroboh kediaman mereka, yang ikut serta para tentera adalah para pustakawan.

Mereka ini kerjanya adalah menggelidah rumah-rumah Palestina, dan mencuri buku-buku kepunyaan penduduk!

Maka, apabila mereka tiba di rumah Khalil al-Sakakini, buku-buku yang banyak itu segera menjadi milik Perpustakaan Nasional Israel.

Adalah dipercayai lebih 30 ribu naskah buku, manuskrip dan judul milik bangsa Arab dicuri ketika Nakba, kini berada di perpustakaan itu.

12 ribu naskah dipercayai berasal dari kampung Qatamon, dan mungkin saja sebahagian besarnya milik penyair tersebut, si Khalil yang malang.

Pernah dalam tahun 1957, oleh banyaknya buku-buku ini, diputuskan mana yang dirasakan tidak berguna akan dibuangkan, dan sebelum ia dibuang; buku-buku itu kemudian direbutkan sesama para sarjana dan ilmuan Israel.

Mereka bertempiaran mengagih buku-buku ini, membaca dengan lahapnya; memilih untuk menerbitkan mana yang mereka suka, dan menyembunyikan sebahagian yang harus dilindungi.

Bahan-bahan ini menjadikan ilmuan itu pandai. Bangsa Palestina yang dirompak dibiar bodoh.

Zionis bukan sahaja mencuri rumah, harta benda dan tanah bangsa Palestina tetapi juga isi dan muatan kebudayaan mereka.

Lebih dahsyat, Israel merasakan buku dan manuskrip itu kepunyaan mereka, bahan-bahan ini dijual atau dihadiahkan kepada sesiapa sahaja yang mereka sukai di dunia ini.

Maka tidaklah menghairankan satu impian Adania ialah untuk mencuri atau mengambil kembali apa kepunyaan bangsanya.

Apalagi yang bukan kejam jika mencuri kebudayaan dan simpanan kesenian bangsa?

Apa yang dinukilkan oleh Adania di atas adalah satu lagi kesakitan, penderitaan dan juga kesengsaraan senyap yang dialami oleh bangsa Palestina di tangan Zionis.

Israel boleh mematikan ribuan kanak-kanak Palestina.

Darah dan jasad yang dikebumikan akan menjadi baja untuk perjuangan lain.

Namun demikian, mematikan atau mencuri hasil kebudayaan seperti yang dilakukan oleh Israel terhadap seluruh hasil Khalil al-Sakakini sebagai misal adalah perbuatan yang sangat meluluh-lantakkan.

Apa yang diperikan oleh Adania itu adalah satu episod malang kemanusiaan yang tidak seharusnya dibiarkan.

Kita berdoa moga-moga penjajahan Zionis terhadap bangsa Palestina ini akan segera berakhir.

Kita harus ikut meraikan kebudayaan dan kesenian mereka.

Kita juga sebaiknya menggunakan seluruh kekuatan dan bakat kita untuk menolong bangsa Palestina ini.

Saya memberitahu Adania, saya tahu rasanya dicuri.

Inggeris pernah merompak khazanah bangsa kita dan membawanya ke London.

Sebahagian besar kerja seni kita hilang tidaketahuan.

Hilang bersama kerja seni itu ialah jati diri, identiti dan kenangan budaya kita yang tidak akan dapat digalang gantikan lagi.

Tidak banyak lagi yang tinggal untuk kita belek.

Inggeris melelehkan kita beberapa karya yang sesuai dengan selera mereka.

Contohnya, Hikayat Hang Tuah, atau beberapa lagi yang dipercaya akan membuatkan bangsa Melayu terbuai akan penjajahan, dan selepas merdeka tetap kekal ditakluk pula oleh kuasa feudal bangsa sendiri, setia dan menjilat membabi buta.

Itulah sebabnya kecurian budaya jauh lebih dahsyat.

Sesungguhnya kita sukar memahami apa yang dialami oleh sebuah bangsa yang pernah kecurian dan digelidah tanpa belas kasihan.

Termasuk kadang diri bangsa kita sendiri.