Monday, June 14, 2021

Masalah Palestin tidak akan pernah selesai

Apabila berlaku Revolusi Iran pada tahun 1979, Israel dan AS kehilangan sebuah negara sahabat.

Other News

Pada satu pagi tahun 1973, ketika itu saya berada di tingkatan dua, berita radio melaporkan tentera Mesir menyeberangi Terusan Suez dan memasuki Semenanjung Sinai.

Wilayah itu adalah milik Mesir tetapi ditakluk dan diduduki oleh Israel dalam perang sebelumnya.

Presiden Mesir Anwar Sadat melancarkan serangan untuk mengambil balik wilayahnya yang diduduki Israel iaitu Sinai dan Gaza.

Dalam perang itu Mesir akhirnya memperoleh kembali Sinai tetapi Gaza tetap di bawah pendudukan Israel.

Beberapa tahun kemudian, Mesir menyerahkan Gaza untuk dijadikan sebahagian daripada negara Palestin merdeka.

Jordan juga menyerahkan Tebing Barat untuk dijadikan Palestin.

Walaupun Tebing Barat adalah milik Jordan tetapi ia tidak dapat memperolehinya kembali sejak ditakluk oleh Israel.

Dengan penubuhan negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza, sedikit pun wilayah Israel tidak berkurangan.

Sedangkan wilayah Palestin asal meliputi keseluruhan Israel.

Sebagai remaja Islam, saya naik semangat dengan serangan Mesir ke atas Israel.

Di sekolah, setiap hari kami membincangkan Perang Ramadan.

Kami bersorak apabila pihak Mesir menang sesuatu pertempuran.

Kami bersedih apabila pihak Israel yang berjaya.

Oleh kerana bulan puasa, rehat adalah masa lapang kami.

Ada seorang rakan sekelas membawa radio ke sekolah.

Kami pergi ke belakang sekolah dan mendengar laporan terkini dari medan perang.

Radio Malaysia menyiarkan laporan bukan saja melalui berita tetapi sebarang perkembangan terbaru yang dikirim oleh agensi berita melalui teleks.

Perkara bermakna pada awal perang ini ialah kejayaan tentera Mesir menyeberangi Terusan Suez dan menerobos garisan pertahanan Israel.

Ia memecahkan anggapan tentera Israel adalah kebal.

Ini kerana dalam peperangan sebelumnya, tahun 1949 dan 1967, tentera-tentera Arab sentiasa dikalahkan oleh pihak Israel.

Tentera Mesir tidak berupaya menyeberangi Terusan Suez.

Kami meneliti laporan akhbar pada setiap hari.

Mereka juga menyiarkan peta dan grafik mengenai pertempuran yang diperoleh dari agensi berita.

Rencana-rencana yang ditulis memihak pada Arab.

Selain itu kami meneliti majalah Time dan Newsweek yang dilanggan oleh perpustakaan sekolah.

Gambar, peta dan grafik mereka lebih menarik.

Liputan mereka terperinci dan mendalam.

Tetapi kesemuanya menyokong Israel.

Kejayaan awal tentera Mesir tidak bertahan lama.

Tentera Israel bangkit kembali.

Kereta kebal mereka bergerak melintas Semenanjung Sinai dan menyeberangi Terusan Suez.

Pada satu pagi, berita radio memberitahu kereta-kereta kebal Israel sedang menuju Kaherah.

Tetapi perkara paling penting semasa Perang Ramadan ialah Embargo Minyak.

Raja Arab Saudi, Almalik Faisal mengarahkan sekatan minyak ke atas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah Barat kerana mereka menyokong dan membantu Israel.

Time dan Newsweek pun menjerit dengan menyiarkan gambar orang ramai beratur untuk membeli minyak tetapi tiada bekalan.

Minyak sudah menjadi senjata.

AS pun anjurkan rundingan damai antara Mesir dan Israel.

Israel berundur dari Terusan Suez dan Semenanjung Sinai.

Mesir iktiraf Israel dan mengadakan hubungan diplomatik dengannya.

Ia juga berjanji tidak akan menyerang Israel lagi.

AS pula beri bantuan tahunan pada Mesir.

Tetapi Gaza masih dikuasai Israel.

Masalah Palestin tidak selesai.

Ramai rakyat Mesir marah pada Presiden Sadat.

Akhirnya beliau ditembak mati oleh seorang anggota tenteranya sendiri di depan kamera televisyen.

Israel menang dalam peperangan itu walaupun minyak dijadikan senjata oleh dunia Arab.

Mereka tidak melepaskan Tebing Barat dan Bukit Golan.

Sebaliknya, mereka turut menceroboh dan menakluk Lubnan Selatan.

Bukan itu saja, AS turut menghantar tenteranya ke Lubnan yang dilanda perang saudara.

AS dan Israel menyokong kumpulan Falangis yang memusuhi orang Palestin.

Apabila berlaku Revolusi Iran pada tahun 1979, Israel dan AS kehilangan sebuah negara sahabat.

Shah Reza Pahlavi mengiktiraf Israel dan menjalin hubungan diplomatik dengannya.

Tetapi Republik Islam memutuskan hubungannya dengan Israel sementara Ayatollah Khomeini mengisytiharkan setiap Jumaat terakhir Ramadan adalah Hari Al-Quds bagi menanam azam pada umat Islam bahawa pada satu hari mereka akan membebaskan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Tetapi pada awal tahun 80-an, dunia dikejutkan dengan pembunuhan besar-besaran orang Palestin di kem pelarian Shabra dan Shatila yang berada di bawah penguasaan tentera Israel.

Mereka membenarkan kumpulan Falangis masuk ke kem itu dan membunuh orang awam, wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak bersenjata.

Di pejabat, saya menerima satu penerbitan yang menunjukkan gambar-gambar orang Palestin yang dibunuh di kem pelarian itu.

Orang Malaysia amat terkesan dengan peristiwa itu.

Puisi-puisi ditulis dan majlis deklamasi sajak diadakan.

Kumpulan Harmoni mencipta dan menyanyi lagu untuk meratapi peristiwa itu.

Lagu “Balada Seorang Gadis Kecil” diputarkan oleh Radio Malaysia berulangkali.

Akhbar tempat saya bekerja menubuhkan Tabung Palestin.

Setiap hari ada saja orang mewakili pejabat atau institusi datang menghantar derma.

Saya selaku pemberita mengurus penyiaran gambar mereka dalam akhbar.

Masjid Negara menganjurkan kutipan derma untuk Palestin.

Saya ditugaskan membawa wang derma itu, dari Imam Besar Hassan Din untuk dimasukkan ke dalam Tabung Palestin.

Gambar dan berita disiarkan dalam akhbar.

Setelah kutipan ditutup, semua isi tabung diserahkan pada Duta Palestin di Kuala Lumpur, Ahmad Al-Farra.

Pada satu hari, saya pergi ke Wisma Putra untuk membuat liputan sidang media yang diadakan Menteri Luar Ghazali Shafie di Bilik Triti.

Beliau memberitahu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu Malaysia turut menyumbang bagi menyelesaikan masalah Palestin.

Beliau menghuraikan keseluruhan masalah Palestin.

Wisma Putra menerbitkan buku kecil bertajuk “The Palestine Question”, kulitnya berwarna merah muda dengan ada lambang burung merpati putih dan daun zaitun.

Mahathir mahu mencari jalan penyelesaian secara damai dengan memberi hak dan keadilan kepada rakyat Palestin.

Kuala Lumpur menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai Palestin.

Ia mendapat sambutan dengan ramai wakil rasmi pelbagai negara hadir.

Saya turut membuat liputan persidangan yang diadakan di Hotel Hilton itu.

Seperti biasa, Mahathir menyampaikan ucapan bernas.

Rumusan yang bermutu turut dikeluarkan untuk dilaksanakan.

Tetapi masalah Palestin tidak juga selesai.

Keadaan di Tebing Barat semakin memburuk tetapi rakyat Palestin, dunia Arab dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa.

Suasananya adalah “helpless” dan “hopeless”.

Pada tahun 1988, ada satu berita kecil keluar mengenai demonstrasi di Gaza.

Ia dipanggil Intifada. Saya menyiarkan laporan ini pada muka depan majalah Dunia Islam.

Tetapi akhirnya Intifada membawa kepada persetujuan menubuhkan negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza.

Pihak Berkuasa Palestin diwujudkan untuk mentadbir wilayah itu.

Tentera Israel berundur dari Tebing Barat dan Gaza.

Pilihan raya juga diadakan. Usaha itu membenih harapan.

Namun, harapan itu juga musnah.

Israel enggan memenuhi persetujuannya.

Generasi pemimpin Israel dan Palestin pun sudah bertukar.

Begitu juga dengan pejuang dan anggota tentera.

Para diplomat dan wartawan juga sudah berganti generasi.

Masalah Palestin tidak juga selesai.

Saya pun kini hanya melihat apa yang berlaku dengan memendam perasaan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles