- Iklan -
Kolum

Peti ais Palestin

Jika menyerbu dan menyerang rumah ibadat itu bukan satu pencabulan hak asasi, kita tidak tahu apa lagi untuk diungkapkan.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Israel sedang mengganas di Palestina dan menjadikan laman Masjid al-Aqsa medan tempur, menembak orang ramai dengan peluru getah, gas pemedih mata dan grenad.

Ia adalah pencabulan hak asasi manusia yang jahat.

Jika menyerbu dan menyerang rumah ibadat itu bukan satu pencabulan hak asasi, kita tidak tahu apa lagi untuk diungkapkan.

Akan tetapi itulah Israel dan perogolan hak. Ia sinonim.

Sukar untuk menggambarkan kegilaan ini melainkan kita sendiri mengalaminya.

Memang ada video pendek yang tular di media sosial untuk menunjukkan kesakitan yang harus dialami rakyat Palestina saban hari.

Namun begitu, video pendek yang terpampang di garis masa media sosial kita ini tidak punya satu kekuatan yang diperlukan.

Kekuatan yang dimaksudkan adalah penjelasan berimpak, yang boleh menggugah kalbu.

Yang boleh mengetuk pintu hati siapa pun audiennya tidak kira agama dan bangsa.

Ini kerana Palestina bukan isu Islam.

Akan tetapi demikianlah berjayanya Israel menormalisasikan keganasan yang mereka lakukan sehingga setiap kali kita melihat video kejahatan Israel kita akan menatapnya bagai ia satu yang biasa.

Tambah pula kaum Islamis menjadikan Palestina modal jihad mereka.

Padahal ia adalah isu penjajahan dan penindasan yang harus difahami siapa pun tanpa mengira apa kepercayaan.

Oleh kerana itu Palestina memerlukan naratif seni untuk memahamkan mereka di luar Palestina penderitaan yang diasak terhadap mereka hari demi hari.

Justeru, untuk merasai sakitnya Palestina, saya ingin menganjurkan kalian menonton sebuah filem dengan judul The Present (Hadiah) yang ada ditawarkan di saluran Netflix.

Ia bukan calang-calang karya kerana memenangi anugerah Filem Pendek Terbaik di BAFTA Award (Oscar British) dan tercalon dalam kategori sama untuk anugerah Academy Award 2021.

Sayang The Present tewas di Oscar, mungkin kerana tiada kekuatan lobi.

The Present diarahkan oleh Farah Nabulsi dan ditulis bersama-sama dengan Hind Shoufani.

Filem ini menurut saya sangat menjanjikan.

Menonton The Present mengingatkan kita naratif filem Iran.

Ia mudah, tidak meleret, penuh aksi, artistik dalam masa sama, dibantu lakonan luar biasa dan paling penting cerita yang meyakinkan.

Semua itu dipakej untuk menghantar satu pesan politik yang kuat dan penuh jeritan.

The Present mengisahkan perjalanan seorang ayah dan anak perempuannya antara satu daerah dengan daerah lain di Tebing Barat setelah wilayah itu dikerat-kerat menurut Perjanjian Oslo II.

Yusuf menjanjikan isterinya hadiah ulang tahun perkahwinan mereka; sebuah peti ais.

Malangnya dua enklaf ini, pekan Beitunia dan Baitul Laham terpisah oleh satu sekatan jalan yang ditunggui askar Israel.

Setiap Palestin harus menempuh jaringan besi checkpoint ini untuk lepas ke seberang sana.

Kediaman Yusuf dan pekan itu berada antara dua enklaf ini.

Yusuf dan anaknya Yasmin dalam filem The Present.

Bersama-sama Yasmin, anaknya, kita belajar memahami apa yang dialami oleh penghuni Tebing Barat sehari-harian.

Provokasi, pengaiban, penafian hak, pelecehan, dan trauma psikologi semua ditonjolkan dengan kemas dalam filem ini.

Di checkpoint, bercakap banyak sedikit, Yusuf dikurung dalam sangkar bagai haiwan.

Dengan keadaan belakang yang sakit, kita berasa cemas akan nasib anaknya.

Yasmin yang masih kecil punya permintaan sederhana; inginkan susu keju, gula-gula dan coklat.

Momen paling sakit ialah apabila peti ais yang dibeli Yusuf tertahan di sekatan jalan raya ketika perjalanan pulang.

Mustahil untuk melepasinya.

Yusuf yang sakit urat terpaksa memilih untuk menolak peti ais itu dengan troli, menunda jalan berbukit ditimpa hujan dalam cuaca sejuk.

Ia tidak mudah, askar Israel enggan melepaskan Yusuf dan anaknya.

Lakonan Saleh Bakri sebagai Yusuf tidak sedikit pun kurang dari kelas lakonan bintang dunia.

Emosi dan perubahan nadanya saat berdepan dengan askar dan kemudian berkalih kepada puterinya, Yasmin begitu mengesankan.

Saleh bukanlah bintang asing di Cannes, malah sudah pernah berlakon di Itali.

Kebolehan Saleh di pentas teater menjadi aset besar untuk kerja sinemanya.

Yasmin, pelakon cilik Palestina lakonan Maryam Kanj pula sungguh mengharukan.

Kita dapat merasai ketakutan Yasmin sehingga terkencing dalam celananya.

Begitu juga Mariam Kamel Basha sebagai Noor, isteri Yusuf, walaupun muncul sekejap sangat membantu naratif The Present ini.

Kedua-duanya mewarnai The Present dengan perhatian kemanusiaan yang meruntun.

Satu yang hebat ialah terdapat adegan yang dirakam dengan cara “guerrilla filmmaking”, iaitu untuk melepasi checkpoint 300 yang terkenal sibuk.

Pelakon dan krew menyembunyikan kamera dan menempel dalam sesak dan desak pekerja Palestina yang harus melepasi sempadan setiap pagi.

Ia adalah satu kerja yang berisiko untuk pelakon, dan Nabulsi memilih untuk mencubanya.

Ingatan, checkpoint ini dilengkapi dengan tentera Israel yang dikurniai pelbagai senjata terbaik.

Untuk itu usaha sinematografer Benoît Chamaillard mendapatkan adegan bagi The Present ini harus dipuji. Memang luar biasa.

Sukar untuk menjelaskan betapa geruhnya adegan di semua checkpoint ini, dan bagaimana pelakon-pelakon Palestina ini dengan serba kekurangan menunjukkan bakat dan juga menghantar mesej kepada dunia apa yang sedang menimpa mereka.

Orang Palestina dilayan bagai binatang.

Yusuf perlu merayu, yang dia hanya mahu melepasi checkpoint itu dengan melepasi jalan raya sekali ini sahaja, ini kerana peti ais itu tidak muat melepasi pagar sempadan.

Askar bagaimanapun berkeras dan mengatakan jalan raya hanya untuk warga Israel, jika kamu seorang Arab, kamu perlu menempuh laluan besi ini.

Demikianlah layanan yang ada.

Setiap detik The Present sangat-sangat berharga.

Ia mencakar nurani khalayak dan mendorong kita marah.

Tidaklah menghairankan jika media Israel cuba menutup kekuatan The Present dengan memberikan kritikan-kritikan seni yang enteng.

Untuk satu objektif demikian mudah, The Present menjadi filem yang begitu mendebarkan dan kekal dalam kotak ingatan kita untuk satu masa lama.

Filem ini berjaya mempakejkan dasar apartheid Zionis dalam beberapa dialog yang dibungkus dalam satu lambang paling meramaskan jiwa, iaitu – peti ais.

Filem dengan naratif beginilah yang perlu kita suguhkan untuk dinominasi di Oscar.