- Iklan -
Kolum

Elakkan diri jadi pembawa Covid-19

Masalah terbesar dalam situasi Covid-19 ialah manusia pembawa kepada virus ini.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Apabila manusia berdepan dengan wabak di mana burung, ayam mahupun khinzir adalah pembawa, sering kedengaran bagaimana beribu hingga berjuta haiwan di ladang ternakan terpaksa dimatikan apabila terkesannya ada virus yang berjangkit meskipun hanya pada seekor haiwan sahaja.

Ini adalah untuk mengelakkan wabak menular kepada manusia.

Masalah terbesar dalam situasi Covid-19 ialah manusia pembawa kepada virus ini.

Jikalau berdepan wabak yang dibawa binatang, kita cuba mematikan pembawanya secepat mungkin.

Tapi apabila berdepan dengan wabak di mana manusia adalah pembawanya, penyelesaian cukup menyeksa di mana bukan sahaja kita terpaksa menyelamatkan pembawa, dan kita juga perlu menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk memastikan manusia dapat menghindarkan diri daripada menjadi pembawa Covid-19.

Wabak Covid-19 sedang mengganas semula dengan pelbagai variasi mutasi.

Manusia juga menjadi hilang sabar dan hilang waras berdepan dengan wabak Covid-19 yang nampaknya masih panjang dan berliku.

Mengawal wabak ini daripada menular sememangnya sukar apabila kita terpaksa menyelamatkan dan menyembuhkan pembawanya iaitu manusia.

Penghasil vaksin pula kekurangan bekalan untuk diedarkan.

Negara yang kaya mempunyai kelebihan berbanding negara yang miskin dalam politik vaksin di dunia farmaseutikal.

Waktu ini bukanlah waktu mengadu.

Waktu ini ialah waktu untuk mengambil tindakan untuk memastikan diri kita tidak menjadi pembawa virus Covid-19.

Oleh itu, berikan tabik kepada mereka yang memakai pelitup muka.

Mereka adalah hero di dalam melawan Covid-19.

Hormatilah mereka yang sudi menjaga jarak sosial daripada kita.

Mereka adalah pemutus rantaian wabak Covid-19.

Berikan tepukan gemuruh kepada mereka yang sanggup divaksinasikan.

Mereka adalah penyelamat spesies manusia.

Berterima kasihlah kepada mereka yang sanggup mengorbankan kebebasan dan duduk di rumah.

Mereka adalah manusia yang mencintai masa depan dunia dan manusia.

Berikanlah kata-kata semangat kepada mereka yang sanggup tidak beraya dengan keluarga.

Sesungguhnya mereka adalah pejuang sejagat.

Semua di atas adalah perkara-perkara heroik yang boleh dilakukan oleh kita.

Ya, ia tidak menonjol tapi ia cukup besar di dalam sekurang-kurangnya membantu melengahkan jangkitan wabak Covid-19 sehingga rakyat Malaysia dapat divaksinasi sepenuhnya.

Jadilah hero rakyat Malaysia hari ini!