- Iklan -
Kolum

Orang Melayu bersedih kerana tak dapat balik kampung

Seringkali takbir itu mengundang kesedihan mengenang ahli-ahli keluarga yang meninggal dunia khususnya ibu, bapa, datuk dan nenek.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Takbir Hari Raya Aidilfitri kali ini akan menimbulkan rasa sayu dan sedih bagi ramai orang Melayu di Semenanjung Malaysia kerana mereka tidak boleh balik kampung akibat larangan rentas negeri.

Terutamanya di Selangor apabila rentas daerah juga dilarang disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam waktu biasa takbir Hari Raya yang dilaungkan di negara ini menimbulkan perasaan sayu dan sedih.

Dikatakan bahawa alunan irama takbir yang diamalkan di Nusantara ini begitu lunak dan syahdu, tidak seperti di negara-negara Islam di rantau lain.

Sedangkan asal-usul takbir hari raya itu adalah merupakan zikir yang dilaungkan oleh tentera Islam sebagai tanda kesyukuran selepas menang Perang Khandaq pada zaman Rasulullah SAW.

Bacalah terjemahan takbir itu dan dapat dikesan ia merupakan zikir perang yang mengungkapkan semangat untuk melawan golongan kafir, iaitu merujuk kepada orang Quraisy yang menentang Islam pada zaman Rasulullah SAW.

Bayangkan tentera Islam itu, dengan menaiki kuda pulang ke Madinah dan melaungkan takbir dengan penuh kegembiraan, bersemangat dan bersyukur kerana baru menang perang.

Sementara di Nusantara, laungan takbir itu juga menandakan kegembiraan dan kesyukuran tetapi kerana berjaya melaksanakan ibadah puasa sebulan.

Bagaimanapun, seringkali takbir itu mengundang kesedihan mengenang ahli-ahli keluarga yang meninggal dunia khususnya ibu, bapa, datuk dan nenek.

Tetapi pada tahun ini, oleh kerana tidak boleh rentas negeri, takbir ini menimbulkan perasaan sedih mengenang kampung halaman.

Pendakwah-pendakwah zaman silam di Nusantara memilih irama sayu ini, dan bukannya versi rentak bersemangat untuk digunakan oleh penduduk rantau ini.

Irama lunak, mendayu-dayu dan sayu bertepatan dengan jiwa kaum-kaum Nusantara.

Dalam sejarahnya, orang di Nusantara ramai tinggal di pesisiran pantai dan sungai.

Mereka menjadi nelayan, pelaut dan saudagar.

Dengan selalu merentas antara pulau untuk berdagang, maka ramailah orang yang menjadi perantau.

Konsep merantau ini ditimbulkan dalam budaya Minang.

Negeri Minangkabau dengan bandar Padang dan Bukit Tinggi adalah kawasan terpencil yang dilindungi oleh banjaran Bukit Barisan dan Lautan Hindi.

Mereka perlu keluar dari kampung halaman untuk mencari rezeki di kawasan lain, inilah yang disebut merantau.

Tetapi setiap tahun, semua orang di Nusantara akan berusaha pulang ke kampung.

Di Indonesia, istilahnya adalah mudik.

Sebabnya, dahulu, orang balik kampung menggunakan laluan sungai, mudik dari hilir ke hulu.

Di semenanjung Tanah Melayu pada zaman silam, penduduknya tidak seramai Jawa dan Sumatera.

Pulau-pulau itu juga lebih besar dari semenanjung.

Ramai juga perantau yang menetap di semenanjung, selain Jawa ialah Minang, Mandailing dan Aceh dari Sumatera, Banjar dari Kalimantan, Bugis dari Sulawesi dan Boyan dari Bawean.

Mereka kesemuanya menjadi Melayu semenanjung.

Ketika British sampai, mereka dapati kesultanan-kesultanan Melayu ada di semenanjung.

Tetapi orang Melayu pada awalnya tidak mengenali dirinya sebagai satu bangsa.

Mereka mengenali diri mereka sebagai rakyat raja masing-masing: Kedah, Perlis, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Apabila disebut bangsa Melayu, ia meliputi penduduk yang luas, dari Pattani, Sumatera sampailah ke Brunei.

Sempadan antara negeri juga tidak diukur secara tepat dan jelas.

Batas-batasnya sering dikira mengikut sungai dan gunung.

Sementara pusat pemerintahan juga terletak di tebing kuala sungai: Kuala Kangsar di Sungai Perak, Kuala Selangor di Sungai Selangor, Kota Bharu di Sungai Kelantan, Pekan di Sungai Pahang dan Kuala Terengganu di Sungai Terengganu.

Apabila British menguasai Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan melalui sistem residen, antara perkara pertama yang mereka lakukan ialah mengukur dan membuat peta sempadan secara tepat dan jelas.

Sebab itu pejabat ukur dan pemetaan adalah antara jabatan tertua di negara ini iaitu 1892.

Panduan British untuk mengukur sempadan ini tetap kepada batas sungai dan gunung seperti yang dipersetujui antara sultan-sultan yang berjiran.

Membuat peta berdasarkan sungai adalah mudah di hilir tetapi sukar di hulu.

Banjaran gunung pula lagi sukar.

Sempadan antara Perak, Selangor dan Pahang melibatkan gunung.

Akhirnya pusat peranginan British, Cameron Highlands dan Fraser’s Hill berada di Pahang walaupun untuk ke situ, laluannya adalah dari Perak dan Selangor.

Setelah siap diukur, Pahang menjadi negeri terbesar.

Kelantan memperoleh pedalaman yang luas dan Perak tidak puas hati dengan sempadan dengan Seberang Perai yang merupakan wilayah British.

Sempadan-sempadan negeri inilah yang dijadikan batas bagi menghalang penyebaran wabak Covid-19 di semenanjung pada masa sekarang.

Keluasan negeri adalah berbeza.

Dari sekecil-kecil Perlis hinggalah sebesar Pahang.

Sebelum Perang Dunia Kedua, penduduk semenanjung jarang merentas negeri.

Penduduk tidak ramai.

Pengangkutan pun sukar.

Tiada sebab untuk mereka bergerak ke negeri lain.

Terdapat penghijrah dari luar Malaya yang datang dan menetap.

Tetapi setelah membuat kediaman, mereka tidak ke mana-mana sepanjang hidup.

Tidak ramai yang belajar atau bekerja di luar daerah masing-masing.

Berkahwin juga dengan orang sama daerah.

Industri pelancongan belum wujud.

Mereka menganggap orang negeri lain sebagai orang luar atau asing.

British berusaha menyatukan negeri-negeri Melayu melalui gagasan British Malaya.

Dibinanya laluan keretapi.

Juga didirikan Kolej Melayu Kuala Kangsar, Maktab Perguruan Sultan Idris dan Sekolah Pertanian Serdang.

Di sinilah orang Melayu dari pelbagai negeri dapat berjumpa.

Tetapi yang menimbulkan kesedaran Melayu berlaku di Singapura kerana pulau itu menjadi tumpuan orang dari negeri-negeri lain untuk mencari pekerjaan.

Perbezaan darjat antara orang Melayu dengan mereka yang keturunan Arab membentuk kesedaran identiti.

Selepas Perang Dunia Kedua, British mencadangkan Malayan Union yang mahu menyatukan semua negeri untuk dijadikan satu kesatuan.

Ia boleh membawa makna negeri-negeri akan dihapuskan.

Tidak ada sempadan negeri bermakna tiada rentas negeri.

Walaupun Malayan Union dibatalkan dan kedudukan negeri dipertahankan tetapi episod itu mendorong kesedaran penyatuan Melayu merentas sempadan negeri.

Tetapi orang Melayu masih tidak ramai berpindah ke negeri-negeri lain.

Kebanyakan mereka masih tertumpu pada bidang pertanian di kampung halaman masing-masing.

Bidang pekerjaan yang mengumpul ramai orang dari pelbagai negeri ialah ketenteraan.

Ketika Darurat dan Konfrontasi, negara memerlukan ramai anggota tentera.

Keadaan berubah mendadak selepas Dasar Ekonomi Baru.

Tun Razak semasa menjadi perdana menteri mengajak orang Melayu dari semua negeri berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan berniaga.

Anggota tentera yang tamat perkhidmatan tidak pulang ke kampung halaman tetapi sebaliknya menetap di Lembah Klang.

Maka ramai orang Melayu berhijrah ke Selangor untuk belajar, bekerja dan berniaga.

Mereka berkahwin dengan orang dari negeri berbeza.

Dengan adanya lebuh raya dan kemampuan membeli kereta nasional, merentas negeri sudah menjadi kebiasaan seolah-olah sempadan antaranya tidak wujud.

Hinggalah datang wabak Covid-19 dan PKP.

Tiba-tiba dirasakan bukan saja ada tembok antara negeri tetapi juga pagar antara daerah.

Hari raya ini kebanyakan penduduk di Selangor yang merupakan negeri teras di Malaysia terkepung di daerah masing-masing.