- Iklan -
Kolum

Seniman harus jadi ‘tetuang masyarakat’

100 ribu orang menonton konsert percuma tersebut yang tujuannya adalah menghibur manusia paling terhina negara ini.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Pernah dengar nama penyanyi Sudirman Haji Arshad?

Beliau pernah menjadi penyanyi nombor satu negara ini.

Saya percaya mereka dari generasi saya amat mengenal Sudirman, hatta purnama pun merindu gemulah.

Bagaimanakah beliau menjadi seniman nombor satu?

Dengan merakam kehidupan rakyat bawah.

Dengan memuatkan secara sedar lirik tentang murbawan.

Dengan menjadi tetuang masyarakat.

Dengan menyanyikan untuk mereka.

Dengan memberikan mereka kebebasan menerusi lagu-lagunya.

Dengan memerdekakan jiwa yang terhamba.

Carilah, dan dengarlah dengan sengaja lagu-lagu yang ditujukan, atau memang ditulis dengan niat mewakili kaum tertentu.

Dia melontarkan “Orang Kampung”, “Pesan Abang”, “Anak Desa”, “Basikal Tua”, “Anak Gembala”, “Apa Khabar Orang Kampung”, “Aku Penganggur”, “Pulang dari Kilang”, “Orang Muda”, “Baru Dapat Kerja”, “Punchcard’; selain mencipta sejarah tersendiri apabila memilih untuk menyanyi dari sebuah kawasan paling kumuh, lendir, hanyir dan kepam; Chow Kit Road pada 14 April 1986.

100 ribu orang menonton konsert percuma tersebut yang tujuannya adalah menghibur manusia paling terhina negara ini.

Konsert Sudirman di Jalan Chor Kit yang berjaya menghimpunkan lebih 100,000 orang. Gambar: Facebook

Siapa yang tidak tahu latar kelam Chow Kit ketika itu?

Demikian Sudirman menjadi penyanyi nombor satu negara ini.

Dan Sudirman tidak boleh berpura-pura menjadi simbol marhaen.

Sebabnya, kalau satu kali; dua atau tiga kali tentu sahaja itu boleh dicipta dan dibikin perunding imej.

Era Sudir bukan era hari ini yang mana imej merakyat boleh tercuai dengan satu status beef wellington kemudian dipadam esoknya dengan imej sambal petai taruh cencaluk.

Akan tetapi suara Sudir yang memanggil kaum kecil itu berlaku berkali-kali sepanjang kariernya.

Dia memilih untuk tidak menjadi penghibur kayangan meski tidak dinafikan kadang-kala dia akan dipanggil menggembirakan mereka.

Sehingga hari ini, tiada siapa yang mampu menggantikan Sudirman sebagai “Seniman Rakyat”. Gambar: Facebook

Sebagai penyanyi beliau bukan artis kokak, memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Kepujian di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1980, latihan ilmiah beliau ketika tahun 1979 adalah mengenai undang-undang hakcipta dengan judul “A legal study of copyright protection in Malaysia”.

Sudirman tidak menyanyi hanya untuk satu kaum iaitu Melayu, tetapi juga menyanyi untuk semua kaum.

Adil Johan dari Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah menulis makalah “Muzik Popular Malaysia: Perangsang dan Pelantar Sosial Integrasi Nasional” menyatakan Sudirman boleh menyanyikan lagu dalam bahasa Kantonis dan Tamil.

Sudirman malah pernah menyanyikan untuk seorang nyonya Lim Ah Yoke di Tapak Ekspo, Ayer Keroh, Melaka pada 9 hb Mac 1991 iaitu lagu “Aku Seorang Penyanyi” (dalam bahasa Cina) dan sebelum beraksi membuat kata-kata ringkas; “Ya, kita tidak akan merasa betapa bertuahnya hidup di bumi Malaysia ini jika kita tidak membuka mata dan melihat malapetaka yang menimpa negeri-negeri di seluruh dunia di sekeliling kita. Dan, di dalam harmoni ini kita berkebolehan untuk mempelajari dan menghayati adat resam dan budaya di negara kita yang berbagai-bagai maka itu saya nyanyikan lagu in khas untuk Lim Ah Yoke.”

Pada persembahan yang sama, beliau ikut menyanyikan sebuah lagu Tamil, “Puthiya Vaanam” dari filem Anbe Vaa dan menukilkan di awal nyanyian; “Ya para penonton. Lagu ini khas untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dan di antara mesej lagu ini mengatakan kita mestilah hidup bersatu-padu bagai satu keluarga di bumi Tuhan yang esa ini tanpa mengira bangsa, warna, darjat dan keturunan.”

Di Barat, penyanyi melontarkan suara untuk menghantar mesej hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang asing.

Saya pernah menulis di kolum ini bagaimana Billie Holiday menyanyi lagu Strange Fruit yang merakamkan insiden pembunuhan masyarakat kulit hitam pada tahun 1939, di mana ia berbunyi; “black bodies swinging in the Southern breeze,” dan “Strange fruit hanging from the poplar trees.”

Ada banyak lagi nama yang boleh kita singgung menyanyikan lagu mengenai hak asasi manusia.

Bruce Springsteen misalnya menyanyi “Streets of Philadelphia” lagu tentang kesetaraan hak dengan latar masyarakat minoriti seksual di belakangnya.

John Legend menyanyikan lagu “Glory” tentang perarakan di Jambatan Selma untuk menuntut hak mengundi.

Tracy Chapman dalam album pertamanya menyanyikan “Talkin’ ‘bout a Revolution”.

Manakala Bob Marley menulis dan menyanyikan antara lain, “Redemption Song”.

Kisah pembunuhan Martin Luther King muncul dalam lagu The Rolling Stones iaitu dalam album tahun 1969 dengan tajuk “Let It Bleed”.

Raja Pop dunia Michael Jackson pada tahun 1996 menyanyikan “They Don’t Care About Us”.

Tidak terkecuali lagu Childish Gambino, “This Is America”.

Kalau penyanyi-penyanyi ini tidak menyanyikan lagu tentang hak asasi manusia, mereka sendiri adalah aktivis seperti Madonna, Lady Gaga, The Black Eyed Peas, Midnight Oil dan Red Hot Chili Peppers (sekadar beberapa nama).

Penyanyi kita?

Mereka menghibur untuk siapa?

Kaum kayangan barangkali.

Jangan perasan mereka menyanyi untuk kita.

Jarang kita dapati dari mulut mereka tentang kepedulian mengenai masalah sosial atau nasib masyarakat bawah yang memerlukan pembelaan.

Mereka gagal menggunakan kemasyhuran yang dimiliki untuk menggegar dan menggeger ketidakadilan atau kepincangan.

Dalam masa dan tika negara ini mengalami penyelewengan dan korupsi paling menjolok mata (siapa berani menafikan syarahan Hamid Bador sebelum turun kuasa ketua polis negara?) atau ketika marhaen paling merempat ekoran wabak Covid-19 yang amat menitik, adakah penyanyi kita menggunakan kemasyhuran untuk membela murbawan.

Mereka malah menerima upah tinggi untuk memuji muja status quo di instagram.

Bahkan kita menyaksikan bagaimana”Bunga-bunga korupsi Keguguran” dan; kenestapaan rakyat yang amat nonok sudah tidak lagi dimomok oleh para rocker.

Lebih menakutkan apabila penyanyi kita ikut sama menggunakan kaca mata Kayangan, iaitu mereka – yakni artis – berasa kehairanan misalnya mengapa kita, marhaen ini kecewa dengan tindak-tanduk kelasan mereka itu.

Bila mereka gagal menangkap kekecewaan kita rakyat, itu tandanya mereka tidak peduli.

Itu bermakna mereka sendiri sudah menggunakan kerangka kayangan untuk menilai kita iaitu, “eh dengki ke”?

Kayangan yang tidak faham ini menempuh gejala kesilapanmu, keegoanmu.

Ini sangat mendukacitakan.

Itulah sebabnya saya mengatakan penyanyi, dalam konteks lebih besar iaitu seniman harus bersikap.

Mereka mesti menjadi tetuang masyarakat.

Tetuang ialah trompet, semboyan, mikrofon, atau radio.

Maka mereka perlu bercakap dan menjadi juru bicara rakyat yang selama ini menyumbang kepada kekayaan dan kemasyhuran mereka itu.

Duhai penyanyi dan bintang, kayangan yang sekali-kala kalian hiburkan di lobi hotel mewah, atau di tangga istana (supaya dikalung gelaran Datuk), itu tidak menyumbang kepada kedudukan kamu di dunia ini.

Saya terpanggil oleh status di media sosial seorang netizen, Faizal Hamssin yang mengatakan begini; “If you’re a celebrity who amassed your fame and fortune by making the music or films that the marhaen masses consumed, it’s a moral imperative for you to speak up when you see double standards happening around you. It’s the 99% who made you rich. Not the 1%.”

Betapa benarnya.

Percayalah, Kita tidak lagi punya penyanyi nombor satu negara sejak kehilangan Sudirman pada 22 Februari 1992.

Tiada senirmala Sudir.

Kita masih mencari penyanyi nombor satu negara seperti Sudirman.

Beliau adalah prasasti seni.

Patah hilang tidak pernah berganti.

Rujukan:

Adil Johan. 2018. Muzik Popular Malaysia: Perangsang dan Pelantar Sosial Integrasi Nasional. Dlm Kartini Aboo Talib. (Pny). Prosiding International Colloquium on Integratiomn Platform. Akal Budi Alam Melayu. 15 November. Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia. Halaman: 143-164.