Friday, September 17, 2021

Neraka dalam 18 Puasa

Juga sebagai satira, mereka yang mungkin “terkena” seperti kelompok agamawan, politikus, dan karyawan filem mungkin ikut terasa.

Other News

18 Puasa Di Kampung Pisang sebuah filem “menunggang” tema agama sudah meraih lebih RM3 juta sebaik ditayangkan di Astro First.

Filem arahan Mamat Khalid ini, dengan menggunakan pendekatan satira-slapstik-didaktik menjadikan Kampung Pisang sebagai latar.

Watak-watak biasa yang sering Mamat tampilkan dalam karya sebelumnya seperti Pak Jabit, Tyson dan Pak Karim muncul lagi Ramadan ini.

Sarat dengan wajah ternama, filem ini dilakonkan antara lain oleh Bell Ngasri, Aziz M Osman, Kazar Saidi, Mat London, Namron, Jaafar Onn dan Afea Deanna.

Untuk melengkapkan “penunggangan” filem ini membawa masuk agamawan Kazim Elias dan Rani Kulop sebagai cameo.

18 Puasa Di Kampung Pisang arahan Mamat Khalid.

Terdapat pelbagai cara melihat 18 Puasa Di Kampung Pisang.

Pertama, mungkin ia filem yang akan dipandang menjengkelkan oleh ramai.

Ia misalnya sempat mempersendakan wanita dengan rujukan saiz payudara ibu Kiambang di awal filem.

Ia juga mungkin mengakibatkan sesetengah orang meruok kerana terdapatnya adegan neraka dan watak iblis (dan dengan bijak Mamat membawa Kazim sebagai “dalil”) bahawa filem ini jangan kelak dipersoalkan.

Juga sebagai satira, mereka yang mungkin “terkena” seperti kelompok agamawan, politikus, dan karyawan filem mungkin ikut terasa.

Kedua, filem ini mungkin boleh dilihat sebagai satu medium penceritaan ala “dagang”, dan bukan “dalang”.

Penceritaan ala “dalang” biasanya dimaksudkan untuk hiburan semata-mata, bersifat santai, berniat mengkagumkan khalayak dan membuaikan mereka dengan rasa.

Dalam wayang tradisional, tok dalang akan memainkan watak kulit Ramayana misalnya untuk mengamankan penonton yang keletihan di siang hari.

Penceritaan ala “dagang” pula ialah bila mana naratif sesebuah karya itu disampaikan dengan tujuan nasihat, teguran, dan mengasuh yang selalunya adalah dimotivasikan oleh saranan agama.

Jadi karya dapat menjadi susunan khutbah agama yang diatur pada cerita.

Justeru naratif hanya membawa pesan-pesan kerohanian.

Cerita jatuh di tempat kedua.

Syair-syair klasik kita menggunakan kerangka “dagang” ini memandangkan pentas atau panggung adalah medium pendidikan.

Maka 18 Puasa Di Kampung Pisang adalah mengambil bentuk penceritaan “dagang” ini, tetapi dibalut dengan genre satira-slapstik di mana dialognya amat menjentik dan menyakitkan hati (buat mereka yang mudah terasa).

Ia mengisahkan Bakoba (ketua koperasi) dan segelintir penghuni Kampung Pisang yang tidak berpuasa (dikenali sebagai geng plastik hitam) dan makan siang hari.

Satu ketika, Bakoba tercedera akibat dihempuk durian gugur ketika sedang menikmati nasi kandar kuah campur dengan bendi dua.

Dalam koma itu Bakoba didatangi iblis lakonan Namron dan (pelawak veteran) Jaafar Onn.

Iblis membawakan Bakoba kembali melihat tindak-tanduk dan perangainya.

Di sinilah siri kuliah agama oleh Iblis untuk Bakoba dengan niat menginsafkan dicurahkan.

Tentu, ceramah bertele itu disulami dialog menyindir seperti kluster politik yang sedang berbaris untuk masuk ke neraka; atau wang tabung KWSP yang sudah habis dikeruk ketika bencana pandemik Covid 19.

Tentu jenaka yang diutarakan ini adalah untuk kita sebagai audien mentertawakan diri sendiri (salah satu tujuan satira).

Siri nasihat agama ini pula tidak disampaikan oleh Kazim Elias selaku seorang agamawan, tetapi menerusi watak Iblis.

Kazim memadai sebagai tempelan di celah Yah Kuchai.

18 Puasa sebagai sebuah karya slapstik ala panggung Vaudeville memberikan latar warung yang ditutup dengan plastik, tempat penduduk kampung mencuri makan.

Di sini terdapat dialog menggelikan hati dan penuh mengejek.

Ia cepat mensasar di masjid, pusat sesebuah kampung Melayu yang mana ia juga menjadi tempat paling sarat kepura-puraan.

Sudah tentu, latar ala Vaudeville yang munasabah untuk pendosa seperti Bakoba adalah neraka.

Di mana dia menemui Yang Berhomat (kita tahu maksiat ahli politik), Pak Din (yang kaki masjid tetapi sayang menyepak kucing dalam perjalanan ke masjid), dan mengejutkan Rani Kulup (yang mempertikaikan kemunculannya di neraka).

Akan tetapi slapstik paling munasabah untuk perbincangan selalunya mengenai lakonan.

Komedi slapstik bukanlah satu seni semberono, ia harus berada di atas garis tipis jenaka berlebihan dan saatnya pelakon hilang kawalan.

Sejak dari zaman filem bisu, slapstik komedi dipersembahkan dengan “tension” oleh Marx Brothers, kemudian Zeppo dan tentu penggunaan tubuh badan yang ekstrim seperti terlihat pada Charlie Chaplin.

Bintang slapstik paling diingati era ini tentulah Jim Carey dengan aneka karyanya yang menjengkelkan tetapi juga menakjubkan.

Selalunya momen slapstik yang ditunggu ialah apabila kek atau pai ditonyohkan ke muka pelakon untuk ditertawakan.

Dalam 18 Puasa, tentu tiada kek dan pai; tetapi nasi kandar Aboo Talib menjadi ratib para pelakon filem ini.

Adegan mercun masuk tersumbat ke dalam mulut muazzin yang sedang bang misalnya adalah adegan bodoh tetapi komik yang mesti ada.

Perhatikan juga pengintip makan siang Ramadan membantu mamak menyiapkan makanan di dapur.

Kelucuan memaksakan inilah ciri slapstik yang mesti dihakimi dengan cara berbeza.

Kesulitan komedi slapstik ini ialah mengawal diri dalam lakonan, tetapi dalam masa yang sama melepaskan tali lelakon itu sehingga tiba ke hadnya.

Maka Mamat Khalid memang bijak dengan membawa Jaafar Onn (antara bakat slapstik terbaik negara ini) ke tengah untuk melakonkan watak Iblis dalam filem ini.

Namron dan Jaafar Onn amat menyerlah sebagai Iblis.

Ternyata khutbah bukanlah suatu yang dahsyat untuk dibubuh dalam naratif, dan jika diserahkan kepada bintang yang betul, ia masih mampu menujah sebagai komponen utama yang berbaloi dalam filem.

Namron bersahaja, tidak perlu mengada dan itu amat kontras sekali dengan lakonan Jaafar Onn yang memang kekal menggunakan kemampuan lawaknya yang berlebih.

Gabungan kedua-duanya memungkinkan aspek paling kaku dalam 18 Puasa menjadi aspek yang mengikat laku untuk ditonton.

Malah nampaknya, bahagian khutbah agama yang didaktik ini kelihatan begitu dipuji oleh para penonton.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles