- Iklan -
Kolum

PH mungkin akan selamanya jadi pembangkang

Seperti apa yang berlaku pada tahun 2018, sebahagian besar rakyat memilih PH kerana menolak Najib dan BN.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ada satu kesimpulan dari tiga peristiwa yang berlaku baru-baru ini.

Tiga peristiwa yang dimaksudkan itu ialah Retreat Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson yang diadakan sebelum masuk bulan Ramadan, penerbitan biografi Lim Kit Siang dan wawancara Dr Mahathir Mohamad oleh MalaysiaNow.

Kesimpulannya ialah pertembungan politik di negara ini, baik dari dulu, sekarang atau akan datang bukanlah antara parti kerajaan dengan pembangkang, tetapi antara dua fahaman bertentangan mengenai cara mana Malaysia wajar ditadbir.

Sebelum tahun 2018, fahaman politik ini hanya digambarkan oleh dua pihak, iaitu parti kerajaan dan pihak pembangkang.

Parti kerajaan itu maksudnya adalah Umno yang mengetuai Barisan Nasional (BN) sementara pihak pembangkang adalah parti-parti yang menentangnya.

Selepas pilihan raya 2018, pihak yang selama ini menjadi pembangkang berjaya menjadi kerajaan.

Sementara pihak yang selama ini adalah kerajaan berubah menjadi pembangkang.

Pertembungan terus berlaku tetapi sudah terbalik.

Jadi, tidak bolehlah disebut kerajaan berlawan dengan pembangkang kerana ia boleh mengelirukan.

Ketika itu lebih sesuai disebut PH lawan BN.

Untuk mengelak kekeliruan, apabila disebut kerajaan, maka perlu dikatakan “kerajaan PH” bagi membezakannya dengan kerajaan sebelumnya, yang dipimpin oleh BN.

Tetapi hendak menyebut BN sebagai pihak pembangkang, walaupun benar kedudukannya begitu ketika itu, ia dirasakan janggal dan boleh menimbulkan kekeliruan.

Maka disebut BN saja.

Apabila PH jadi kerajaan, penyokong-penyokongnya terutaman dalam kalangan pendokong PKR, DAP dan Amanah bersemangat hendak melihat pembaharuan politik seperti yang terkandung dalam manifesto mereka.

Penyokong PKR mahukan Reformasi.

DAP sudah mengisytiharkan Malaysia Baru.

Amanah pula dengan gagasan “Rahmatan Lil Alamin”.

Tetapi kerajaan PH ini diketuai oleh Mahathir yang fahamannya tidak berubah sejak beliau mula berkecimpung dalam politik sebelum merdeka lagi.

Fahaman politik beliau ini adalah seperti apa yang dipegang oleh Umno.

Bersatu yang beliau tubuhkan adalah untuk menggantikan Umno.

Keutamaan beliau adalah untuk menyingkirkan Najib Razak supaya dapat membersihkan negara daripada korupsi.

Maka tentulah beliau tidak dapat bersetuju dengan teras perjuangan PKR, DAP dan Amanah.

Begitu juga dengan kandungan manifesto PH.

Cuma beliau bekerjasama dan berkompromi.

Apa yang boleh dibuat, maka dilaksanakan.

Apa yang tidak disetujui, ia ditangguh atau ditinggalkan.

Dalam wawancara dengan MalaysiaNow itu, Mahathir menyebut keutamaannya sebelum PRU 2018 adalah mengalahkan BN.

Maka caranya adalah bekerjasama dengan pembangkang yang akhirnya membawa Bersatu menyertai PH.

Ketika itu PH sendiri tiada ketua utama kerana Anwar Ibrahim masih berada dalam penjara.

Untuk itu, beliau sendiri bersedia untuk bekerjasama dengan Anwar.

Iaitu, dari satu segi, masing-masing menggunakan satu sama lain.

Apabila berada dalam kerajaan PH, Bersatu tentu berasa tidak selesa dengan DAP.

Ini kerana fahaman politik Bersatu sama dengan Umno.

Sementara PKR dan Amanah boleh menemui titik persefahaman dan persepakatan dengan DAP, tetapi tidak Bersatu.

Jentera pentadbiran kerajaan pula dibentuk daripada fahaman politik Umno kerana mereka berkuasa sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Tentu mereka lebih selesa bekerja dengan Bersatu berbanding PKR, DAP dan Amanah walaupun secara rasmi jentera kerajaan adalah non-partisan.

Maka tidak hairanlah usaha bagi melaksanakan Manifesto PH sepenuhnya menjadi masalah.

Perkara ini terserlah dalam biografi baru Lim Kit Siang ketika menyebut mengenai isu Lynas.

Jadi apabila berlakunya Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH, antara sebab yang dikemukakan oleh pemimpin Bersatu adalah kerana mereka tidak boleh menerima DAP.

Walaupun ia boleh dilihat sebagai alasan politik, tetapi ada kebenarannya.

Sememangnya faktor personaliti dan kepentingan politik tetap ada.

Namun apabila PKR berpecah, ia bukan semata-mata soal kumpulan Mohamed Azmin Ali menolak kepimpinan Anwar.

Ia juga meliputi soal fahaman dan budaya politik.

Ketika berkempen dalam pemilihan parti sebelum itu, kumpulan Azmin menamakan diri mereka sebagai Keadilan Raya.

Apa yang mereka bawa adalah berbeza daripada semangat asal Reformasi.

Walaupun kini kumpulan Azmin ini menyertai Bersatu tetapi fahaman politik mereka adalah berlainan.

Namun begitu terdapat juga antara anggota kumpulan ini adalah asal Umno dan mereka selesa dengan fahaman politik Bersatu.

Jadi dari segi fahaman politik, Perikatan Nasional (PN) dan BN tidak berbeza.

Apa yang berbeza adalah personaliti dan hubungan pemimpin Umno dengan korupsi dan skandal 1MDB.

Sementara PAS yang menyertai PN juga sudah selesa dengan fahaman politik Umno dan Bersatu.

Iaitu sejak ia menekankan soal Melayu pada tahun 2015 yang membawa kepada terbubarnya Pakatan Rakyat.

Tetapi tidakkah Anwar juga berasal dari kalangan Umno?

Ahli politik boleh melompat parti dan juga mengubah pendiriannya.

Semua manusia boleh melalui pengalaman begitu.

Dari pengalaman dan pengajaran hidup, seseorang boleh jadi mengubah pegangan politiknya.

Adakalanya kepentingan peribadi juga mewarnai perubahan pendirian politik.

Tetapi tidak kurang pula yang fahaman asasnya tidak berganjak walaupun terdapat perubahan dari segi pendekatan dan taktikal.

Anwar pada waktu mudanya menentang Umno seperti mana banyak mahasiswa tahun 1970-an.

Fahamannya mengenai Melayu berbeza daripada apa yang dipegang Umno.

Tetapi beliau menyertai juga parti itu seperti mana banyak pemuda seangkatannya.

Beliau pula boleh diterima oleh orang Umno.

Tetapi apabila dipecat dari kerajaan, beliau kembali menjadi pembangkang.

Laungan Reformasinya berbeza daripada fahaman Umno.

Walaupun penyokong pembangkang bertambah berbanding dahulu, tetapi gerakan alternatif ini tidak akan dapat mengalahkan Umno.

Ia terus menjadi pembangkang.

Walaupun mendapat kerusi banyak pada tahun 2008 dan 2013, ia tetap menjadi pembangkang.

Malah dalam pilihan raya umum 2018, tanpa penyertaan Mahathir dan Bersatu, PH berkemungkinan kekal sebagai pembangkang.

Bukan saja jentera perkhidmatan awam selesa dengan Umno, tetapi rakyat umumnya masih terus mesra dengan fahaman dan budaya politik nasionalisme Melayu.

Apa yang menyebabkan terhakisnya undi kepada Umno adalah masalah amalan parti itu sendiri.

Keangkuhan beserta korupsi membuat rakyat meluat.

Sebab itu mereka sanggup mengundi Mahathir dan PH.

Rakyat tidak menolak fahaman Melayu Umno tetapi tidak dapat menerima pelakuan penyelewengan.

Masalah BN itu kini kelihatan pada PN.

Dari awal lagi dalam melawan Covid-19, sudah berlaku dwi-standard iaitu perbezaan layanan antara VIP dan rakyat biasa.

Ini belum lagi dikira dengan lantikan menteri dan timbalan menteri tidak berwibawa.

Langkah-langkah ini hanya mencari penyakit.

Di pihak PH pulai retreat mereka di Port Dickson menampilkan wajah perpaduan dengan menegaskan mereka mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri.

PH kembali pada asalnya, iaitu tanpa Mahathir dan Bersatu.

Mereka menjadi “barisan alternatif” kepada PN-BN.

Tetapi sukar pihak alternatif ini untuk mengalahkan fahaman politik Umno.

Kerana masyarakat Melayu umumnya lebih selesa dengan fahaman politik Umno-Bersatu-PAS.

Kalau mereka memberi undi pada PH, ia hanya “one-off” dan kerana marah terhadap keburukan dan kelemahan BN-PN.

Dari sebelum merdeka, fahaman nasionalisme Melayu berakar kuat dan terus memberi kemenangan pada Perikatan dan BN.

Pihak alternatif yang menjadi pembangkang, dari Parti Kemerdekaan Malaya, Front Sosialis, Gagasan Rakyat sampailah kepada Pakatan Rakyat gagal mengalahkan Umno.

Mereka hanya dapat mengalahkan Umno bila parti itu berbalah sama sendiri dan berpecah.

Seperti apa yang berlaku pada tahun 2018, sebahagian besar rakyat memilih PH kerana menolak Najib dan BN.

Bukan kerana menerima program dan manifesto PH.

Kehadiran Mahathir memudahkan proses ini.

Tetapi perubahan akan berlaku juga apabila generasi baru menolak fahaman lama.