- Iklan -
Rencana

Keputusan MT Umno dinanti, kerajaan PN teguh berdiri

Ramai ternanti-nanti keputusan Majlis Tertinggi Umno pada petang ini.

Kamarul Zaman Yusoff
2 minit bacaan
Kongsi
Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Tidak dinafikan bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan berlangsung pada petang ini penting kepada semua pihak, sama ada PN, BN atau PH, untuk mencatur strategi dan gerakan bagi menghadapi PRU 15.

Ia berikutan desas-desus akan wujud pertembungan yang sengit di antara kem kluster mahkamah dan kem kluster menteri di dalam parti itu yang sekali gus bakal menentukan hala tuju dan nasib parti itu pada PRU 15.

Parti-parti lain dan rakyat jelata juga umumnya sedang ternanti-nanti keputusan Majlis Tertinggi Umno pada petang ini dengan hasrat supaya ketidaktentuan dalam politik negara akan lebih cepat berlalu pergi.

Oleh itu, kem mana yang bakal menang – sama ada kem kluster mahkamah atau kem kluster menteri – akan mencorakkan senario dan kesan paling besar untuk PRU 15 kerana ia juga akan menentukan pihak mana yang akan menguasai parti, termasuk melalui pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

Masa sama, kalau pun kluster mahkamah menang, dan keputusan dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno supaya ahli-ahli Parlimen Umno menarik diri daripada kerajaan secara serta-merta, Kerajaan PN tetap tidak akan tumbang ekoran daripadanya.

Ini kerana faktor darurat yang sedang berkuatkuasa sekarang menjadikan sebarang tindakan penarikan diri oleh ahli-ahli Parlimen Umno atau ahli Parlimen lain sekarang menjadi tidak bermakna sehinggalah berakhirnya tempoh darurat pada bulan Ogos nanti.

Kalau pun Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan untuk menarik sepenuhnya sokongan Umno kepada Kerajaan PN maka dijangkakan bahawa hanya sebahagian sahaja daripada ahli-ahli Parlimen Umno yang akan akur dengan keputusan sedemikian sekali gus menjadikan Kerajaan PN tidak akan tergugat dengannya.

Terdapat juga kemungkinan bahawa sekiranya ahli Parlimen Umno menarik sepenuhnya sokongan mereka kepada kerajaan PN sekarang pun maka akan muncul konfigurasi dan penjajaran baru dalam dunia politik tanah air yang bakal menyelamatkan kerajaan PN bila mana ahli Parlimen yang berada di luar daripada kerajaan PN sebelum ini menyertai kerajaan PN.

Ini kerana perkara utama yang disebut-sebut menjadi penghalang kepada hasrat ahli-ahli Parlimen ini untuk menyertai kerajaan PN adalah kewujudan kluster mahkamah di dalamnya, jadi jika kluster ini sudah tiada maka akan terbukalah ruang untuk mereka menyertai kerajaan PN.

Dalam keadaan paling negatif sekalipun, di mana jika tiada ahli-ahli Parlimen yang berada di luar daripada Kerajaan PN sebelum ini menyertainya, kerajaan PN dijangka masih boleh bertahan sebagai kerajaan minoriti kerana ketiadaan mana-mana pihak lain yang mampu memperolehi kerusi melebihi kerusi milik Kerajaan PN.

Oleh itu, Majlis Tertinggi Umno haruslah lebih berhati-hati di dalam membuat apa-apa keputusan politik yang besar dan seboleh-bolehnya hendaklah mengasaskannya kepada kajian-kajian terperinci terlebih dahulu bagi memastikan keputusan ini tidak menikam parti itu balik.

Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).