Wednesday, September 29, 2021

Peningkatan pembaziran makanan semasa Ramadan mengejutkan!

Tahun ini, dianggarkan makanan dan bahan plastik yang dibuang setiap hari semasa bulan suci ini ialah 10,000 tan.

Other News

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai agar tidak membazirkan makanan kerana banyak makanan berakhir di tapak pelupusan sampah. Kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20% semasa Ramadan berbanding purata bulan lain.

Dilaporkan pada 2018 sebanyak 20,088 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara setiap hari semasa Ramadan. Dengan jumlah yang dibazirkan setiap hari  sepanjang bulan Ramadan, ia cukup untuk memberi makan satu setengah kali penduduk Malaysia. Tahun ini, dianggarkan makanan dan bahan plastik yang dibuang setiap hari semasa bulan suci ini ialah 10,000 tan.

Pada bulan yang suci ini umat Islam perlu diingatkan bahawa puasa adalah satu ibadah, satu cara untuk menjadi lebih bertimbang rasa terhadap mereka yang memerlukan dan peluang untuk lebih mendekati Tuhan. Surah Al-Isra:27 menegaskan “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Pembaziran makanan boleh membawa kepada kenaikan harga makanan memandangkan ia meningkatkan permintaan yang berkaitan dengan bekalan. Lebih-lebih lagi, kita amat bergantung kepada import makanan yang biasanya diniagakan dalam dolar Amerika. Dengan kadar tukaran semasa, kita terpaksa membayar lebih untuk jumlah yang sama. Bagi Malaysia, ia adalah pengaliran keluar mata wang kita.

Kerajaan perlu menubuhkan satu pasukan petugas untuk memahami masalah terselindung yang menyumbang kepada pembaziran makanan yang tinggi. Adakah pembaziran makanan yang tinggi ini disebabkan oleh pengguna yang membeli lebih banyak makanan berbanding apa yang mereka makan semasa berbuka puasa, atau adakah ia disebabkan oleh anggaran berlebihan jumlah makanan yang perlu disediakan oleh penjaja makanan?

Pengguna mungkin tidak mampu untuk membazirkan makanan sebanyak itu kerana ia akan melibatkan perbelanjaan. Kemungkinan penjaja makanan dari rumah menyediakan terlalu banyak makanan dengan jangkaan perniagaan yang baik apabila umat Islam membeli makanan mereka sebagai persediaan untuk berbuka puasa. Jika ini benar, maka kita perlu mempertimbangkan beberapa fakta lain:

  • Makanan yang disediakan di rumah di mana keupayaan peti sejuk, dapur memasak dan ruang simpanan terhad, oleh itu meningkatkan kemungkinan pencemaran bakteria.
  • Kebanyakan hidangan sama ada daging dan/atau santan mudah rosak dan tidak praktikal untuk membawa dapur bagi memanaskan hidangan di gerai. Suhu sekurang-kurangnya 74°C diperlukan untuk membunuh bakteria dalam makanan tetapi suhu paling tinggi pada siang hari di Malaysia ialah sekitar 33°C.
  • Hidangan perlu disediakan awal dan disimpan dalam bekas selama berjam-jam antara waktu persediaan sehinggalah waktu ia diletakkan di gerai. Pada waktu ini, dengan suhu biasa, bakteria akan berkembang biak pada kadar yang sangat luar biasa.
  • Apa saja makanan yang tidak dijual tidak mungkin dibawa balik memandangkan sesetengah makanan sudah rosak. Ia perlu dibuang. Manakala yang lain mengalami masalah penyimpanan makanan memandangkan banyak makanan penjaja ini dimasak di rumah, oleh itu kekurangan peti sejuk dan peti sejuk beku. Lebihan makanan yang tidak terjual juga terpaksa dibuang. Lebih-lebih lagi, mereka sangat memerlukan semua bekas untuk menyediakan makanan untuk hari berikutnya.
  • Penjaja makanan terpaksa bergantung kepada pelanggan tetap mereka dan jumlah yang dibeli oleh mereka. Bagi pelanggan, meskipun mereka terlebih anggaran jumlah yang akan dimakan oleh keluarga, mereka masih akan berhati-hati dengan berapa banyak yang akan mereka belanjakan untuk berbuka puasa. Bagaimanapun, penjaja makanan tidak mempunyai pilihan kecuali mengharapkan perniagaan yang baik walaupun menghadapi persaingan sengit daripada gerai makanan bersebelahan.

Sehubungan ini, kami menggesa pihak berkuasa berkaitan agar mempertimbangkan untuk:

  • Memerlukan pemohon untuk menyatakan makanan yang mereka ingin jual di bazar Ramadan tertentu. Pihak berkuasa kemudiannya mengehadkan bilangan gerai yang menjual jenis makanan yang sama. Persaingan perniagaan adalah baik tetapi jika ia terlalu tepu, ia menjadi tidak dapat dikendalikan bagi sesetengahnya. Ini boleh menjadi pembaziran makanan kerana pelanggan banyak pilihan.
  • Saiz bazar Ramadan perlu ditentukan menurut saiz komuniti. Kita perlu mengetahui sering terdapat had kepada bilangan dan jumlah makanan yang mahu dibeli oleh pelanggan dan ini kemudiannya boleh dikaitkan dengan saiz komuniti berdekatan. Kerana itu, perniagaan akan terkesan secara negatif jika bilangan gerai terlalu banyak.
  • Rancang bazar Ramadan lebih awal supaya pihak berkuasa boleh merancang lokasi gerai supaya gerai yang menjual jenis makanan yang sama akan dapat diagihkan.
  • Menggalakkan orang ramai untuk membawa bekas makanan mereka sendiri dan meminta penjaja makanan untuk tidak membekalkan penyedut minuman bagi minuman atau sudu dan garpu plastik. Alasannya ialah pengguna tidak makan segera tetapi membawa pulang untuk berbuka puasa dan oleh itu tidak memerlukan peralatan makan.
  • Makanan yang masih dalam keadaan baik boleh didermakan kepada bank makanan atau badan sukarela bagi golongan miskin dan tidak berumah.

Penjualan makanan di bazar Ramadan tidak seharusnya dibuka untuk semua kerana jika terlalu besar, ia tidak bermanfaat kepada penjaja dan peniaga. Sebaliknya ia mengakibatkan pembaziran makanan tidak dapat diselesaikan selama beberapa dekad.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles