- Iklan -
Kolum

Yang kebal, yang hilang dan yang digantung

Kisah kebal, silat dan ilmu pendekar Melayu ini pada hemat aku wujud.

Hishamuddin Rais
9 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku masih ingat lagi petang itu.

Tahun 1964 aku dalam Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ) Kuala Klawang.

Pada tahun 1964 abah aku di “draf” sekali lagi.

Abah aku dipanggil kembali untuk menganggotai pasukan bersenjata.

Ini kerana berlaku Konfrontasi (1963-1966) antara Tanah Melayu dan Indonesia.

Projek kolonial Inggeris untuk mendirikan Malaysia ditentang oleh Bung Karno, presiden Indonesia.

Tunku Abdul Rahman pada ketika itu mengikut sahaja apa rancangan Baginda Queen.

Justeru Konfrontasi membawa politik gawat dan pertempuran senjata.

Petang itu hampir jam 2.00 petang aku sampai ke rumah dari sekolah.

Aku berulang alik dengan menaiki bas sekolah milik syarikat Bas Lim.

Ketika itu keluarga kami duduk di rumah guru Sekolah Melayu Batu Serambai, tiga batu dari pekan Kuala Klawang.

Mak sedang menunggu kepulangan aku.

Dia masih lagi memakai baju kurung putih dan kain batik.

“Makan cepat… jap lagi Ayah Mahdi datang.. ambik kita …kita pulang ke Tengkek … Tok Arof kau meninggal dunia… tadi telegram sampai…kito bertiga pergi.”

Aku terperanjat mendengar kata-kata dari mak aku.

Aku juga faham bertiga maksudnya, termasuk Wan Rahmah aku.

Aku ke dapur untuk mengambil makanan.

Ketika makan aku cuba mengingatkan siapa agaknya Tok Arof ini.

Sosok ini tak ada dalam ingatan aku.

“Sapa Tok Arof ni wan?”

Aku bertanya pada Wan Rahmah yang sedang mencari kain tudung dan mengisi pakaian ke dalam kerpai.

“Waris kito… tok guru.” Wan Rahmah aku jawab pendek.

Kemudian aku menukar pakaian sekolah kepada pakaian biasa.

Abang dan kakak aku masih di sekolah.

Dua adik aku tidak akan mengikut kami.

Kakak dan abang yang tinggal di rumah aku akan menjaga mereka.

Emak aku memerhati ke luar untuk melihat kereta sampai atau belum.

Ini kereta sewa milik ayah kawan aku.

Kawan aku bernama Mahdi, maka Mak aku panggil tuan empunya kereta ini Ayah Mahdi.

Keluarga kami selalu menggunakan khidmat Ayah Mahdi ini.

Ada sekali keluarga kami “charter” kereta Ayah Mahdi ke Port Dickson untuk mandi safar.

Agak kerap emak menyewa kereta Ayah Mahdi untuk balik kampung dari Batu Serambai ke Kampung Tengah. Terutama musim cuti sekolah.

Ayah Mahdi ini membawa apa yang dipanggil “prebet sapu”.

Ini teksi yang tidak memiliki lesen.

Semua orang Jelebu tahu tentang khidmat prebet sapu.

Ianya menambah baik khidmat pengangkutan selain daripada khidmat Bas Lim untuk warga Jelebu.

Kereta Ayah Mahdi sampai depan rumah.

Kami bertiga turun dan masuk ke dalam perut kereta.

Dalam kereta kami tak banyak cakap.

Wan Rahmah dan emak aku duduk di belakang.

Aku duduk di sebelah Ayah Mahdi.

Suasana sugul.

“Arwah tu sakit apo?” Ayah Mahdi bertanya.

“Sakit tua.” Mak aku menjawab ringkas.

“Cam mano dengan dio ni? Sapo dio ni.” Ayah Mahdi nak tahu.

Satu suku… sedara kami… tok guru … tok guru silat.” Wan Rahmah memberi penerangan.

“Yo laaa… dah tuo … .dah ajal.. nak buek cam mano.” Ayah Mahdi menenangkan keadaan.

Kemudian semua senyap.

Bila kami sampai ke Kampung Tengkek mayat Tok Arof sudah sempurna dikapankan.

Mayat terbujur di atas tilam beralas kain batik lepas.

Mayat terletak di rumah tengah.

Ini rumah kampung di tepi sawah.

Rumah papan beratap rumbia reka bentuk “nogori” yang sederhana.

Semua ingatan gambaran ini selalu bermain dalam kepala aku.

Sampai hari ini aku masih lagi tergambarkan kain putih yang membalut seluruh badan Tok Arif.

Tergambar diri aku dalam tingkatan satu duduk bersila betul-betul berhadapan dengan kaki Tok Arif yang terbungkus oleh kain putih.

Aku hanya duduk bersila.

Mata aku memandang mayat yang berkapan.

Aku tidak memiliki apa-apa ritual agama selain dari melihat mayat.

Setelah mayat selamat di kebumikan mak aku minta diri hendak pulang ke Jelebu.

Esok hari kerja.

Wan Rahmah dari awal merancang untuk tinggal terus di Kampung Tengkek.

Babak kematian Tok Arof amat kuat dalam ingatan aku hingga ke hari ini.

Ada sebabnya.

Walaupun aku menziarahi banyak kematian tapi ingatan pada mayat Tok Arof ini terus berkekalan.

Sebenarnya pada ketika itu aku masih lagi kabur tentang siapa Tok Arof ini.

Yang aku difahamkan arwah ini guru agama dan guru silat.

Tapi aku merasa hairan kenapa mak aku bergegas datang dari Jelebu hanya untuk beberapa jam.

Aku merasakan pasti Tok Arof ini sosok penting dalam keluarga kami.

Dua hari kemudian aku bertanya pada Emak aku.

“Mak…Tok Arof dengan kita macam mana?”

“Kita dengan dia satu suku.. dia Biduanda, kita pun Biduanda … dia guru silat… dia baik dengan arwah Tok Sidek kau.” Emak aku memberi penerangan yang agak lengkap.

“Silat macam mana mak?”

“Silat… silat ilmu orang Melayu… dia pendekar silat.”

Bila mendengar perkataan pendekar silat ilmu Melayu mata aku terbuka.

Untuk aku pendekar ini hebat.

Dalam kepala aku Tok Arof aku samalah seperti Hang Tuah dan Hang Jebat atau pahlawan dan panglima Melaka yang melawan Peringgi.

“Masa Jepun datang dia lawan Jepun ke mak?”

Emak aku memandang tepat muka aku tanpa membuka mulut.

Aku lihat emak aku agak berat nak bercerita.

Aku menunggu.

Mata aku memandang tepat pada muka mak.

Aku memberi tanda aku ingin mendengar lagi.

“Dulu Tok Arof kau bunuh Cina.. ramai Cina mati…masa Melayu perang Cina di Padang Lebar.”

Aku terperanjat bila aku mendengar surah ini.

Ini kali pertama aku mendengarnya.

Suara mak aku seperti suara guru yang sedih di hadapan anak muridnya yang gagal dalam peperiksaan.

Aku menunggu sambungan dari mulut mak.

Tapi mak aku senyap.

“Bilo ni Mak?”

“Lepas Jepun kalah. Kau belum ada lagi masa tu. Masa tu mak ngajar di Sekolah Tapak.”

Bila aku terdengar ayat, bunuh Cina di Padang Lebar – ingatan aku kepada Panjang – lelaki Cina penjual aiskrim dari Padang Lebar.

Panjang selalu berbasikal masuk ke Kampung Tengah dengan peti aiskrim berwarna kuning.

Panjang merayau dari Kampung Keru ke Kampung Majau hingga sampai ke Kampung Tengah.

Tak ada siapa nak bunuh dia.

Malah aku sendiri selalu membeli aiskrim kacang dari Panjang – lima sen sebungkus.

Panjang aku lihat selamat berulang-alik.

“Petang tu… berita sampai …Tok Arof kau berbasikal dari Tengkek datang bawa berita Cina mengamuk di Pandang Lebar… dia ajak abah aku sama.” Emak aku menyambung cerita.

Bila Emak aku menyebut ayat “abah kau diajak sama”, aku tergamam.

“Abah kau dah mengasah parang… tapi masa mengasah tu.. dia terluka.”

Emak aku terhenti kerana aku mencelah pantas.

“Luka macam mana… berdarah ke?”

“Luka sikit je…. di jari.”

Mak aku berhenti seketika.

Dia mengumpul nafas untuk meneruskan cerita.

“Ini pakaian orang dulu-dulu… oarng dulu tahu rasa … tahu riak…kenal gerak. Abah kau ada juga belajar memakai…dia rasa tak sedap….langkah kiri langkah kanan.”

Emak aku menerangkan ilmu pemakaian Orang Melayu satu ketika dahulu.

“Kerana luka tu… abah kau tak ikut ke Padang Lebar.”

“Apa jadi mak?” Aku bertambah ingin tahu.

“Orang kampung dari Tengkek turun ke Padang Lebar.. bergaduh dengan Cina… Tok Arof kau ada sama… ramai Cina kena bunuh…kena tikam.. kena parang… kena lembing.. jantan betina .. budak-budak pun mati dibunuh…dihumban ke luar tingkap.”

Emak aku menerangkan seperti guru sejarah.

“Tok Arof masuk dari kedai ke kedai mencari Cina… dalam satu kedai …Tauke kedai sempat menyorok di belakang tok duit… tok ini berlubang.. dia dapat memerhati muka Tok Arof kau… dia kenal.. dia cam muka Tok Arof kau.” Emak aku berhenti dari kuliah sejarahnya.

Aku tidak berani bersuara.

Tidak berani bertanya.

Aku hanya mengumpul fakta untuk mengingati surah ini.

“Askar Orang Putih datang…. ramai kena tangkap… Tok Arof kau kena tangkap… bicara… Tauke Cina dalam belakang tok duit jadi saksi …jatuh hukum gantung.”

Hukum gantung? Tapi Tok Arof aku menjadi guru silat dan meninggal dunia di rumahnya bukan dalam penjara.

“Yam Tuan beri ampun… kena jil seumur hidup. Mak rasa Tok Arof kau duduk 12 tahun… duduk… kena penjara.” Emak aku menamatkan kuliahnya.

Sekarang baru aku faham kenapa emak aku bergegas dari Jelebu untuk ke Kuala Pilah bila saja dia mendapat telegram tentang kematian Tok Arof.

Tok guru agama dan guru silat ini ada pertalian sejarah dengan abah aku.

Tok Arof ini bukan hanya satu suku tapi lebih daripada itu.

Aku mahu mendapat perawi sahih bila aku mula merakam kembali surah Tok Arof dan Perang Padang Lebar.

Aku wajib mendapat surah yang sahih sanadnya.

Lalu aku menelefon sepupu aku Kak Cik Enon.

Nama penuhnya Zainon binti Hitam.

Dia masih tinggal di Kampung Tengah kampung tanah pusaka yang dibuka oleh Tok Sidek aku.

“Isam… cerito yang kao nak tulih ni.. biar boto… nanti marah orang kalau cerito kao tak boto.”

Kak Cik Enon aku memberi nasihat dalam loghat Pilah yang pekat.

“Tu pasa laaa den pukul talipon ni…… den nak donga cerito dari kao.” Aku cuba pula menggunakan loghat Nogori dalam usaha mencungkil lagi kesah Perang Padang Lebar.

Kak Cik Enon aku ini anak kepada Shamsiah binti Sidek – kakak kepada emak aku.

Aku panggil Mak Saudara aku ini Mak Mok.

Dia berkahwin dengan Hitam bin Samah.

Aku panggil suami Mak Mok aku Pak Rek.

Pak Rek aku ini juga ialah Tok Empat Kampung Tengah.

Bagaimana semua panggilan nama-nama ini muncul aku tidak tahu.

Aku hanya mengikut apa yang sudah sedia ada tanpa bertanya tanpa menyoal.

Sesudah Mak Mok aku meninggal dunia akibat sakit barah payudara Pak Rek aku berkahwin sekali lagi dengan Saadi binti Omar.

“Saadi ni… mak tiri den laaa.”

Kak Cik Enon aku memberi penerangan tentang siapa Saadi.

“Suami asal Saadi .. Pasih.. orang panggil Tok Pasih… dio ini abang kepada Tok Arof tu.”

Kak Cik Enon memberi lagi penjelasan.

“Dua beradik ini pandai bersilat… orang ado ilmu… ilmu Melayu.” Aku memasang telinga di gagang telefon.

“Tok Pasih diambik dek Cino.”

“Ambil macam mana?” Dengan cepat aku bertanya.

“Lopeh Jopun kalah… Cino keluar dari utan.”

Bila cerita Cina keluar dari hutan ini aku teringat kembali surah Sekolah Tengkek kena bakar oleh Bintang Tiga.

Cina dari hutan juga yang membakar sekolah itu.

“Dua beradik ini ada ilmu… Tok Pasih kobal… tak lut dek peluru.”

Kak Enon memberi penerangan.

Kisah kebal, silat dan ilmu pendekar Melayu ini pada hemat aku wujud.

Aku yakin dan percaya pada satu ketika dahulu amalan yang dipakai oleh datuk dan nenek moyang aku membolehkan peluru tidak menembusi tubuh badan mereka.

“Tok Arof dah bagi tau pado Tok Pasih….. Cino nak datang nak nangkap dio… Arof ajak dia lari.”

Kak Cik Enon aku menyambung cerita.

Aku hanya memasang telinga di gagang telefon.

“Den dongar cerito ni dari Saadi… dio yang cerito… potang tu… Arof dah tahu Cino nak datang.. dio ajak Pasik undur… Cino nak datang.”

Kak Cik Enon aku menerangkan bahawa sanad hadisnya sahih dari mulut Saadi sendiri.

“Tu apa jadi?” Aku bertanya.

“Laaa… Pasih cakap pado Arof…. kalau den poie Cino bunuh anak bini den.. biar Cino bunuh den … asalkan anak bini den selamat.”

Ini kata-kata akhir Tok Pasih yang enggan mengundur.

Kata-kata ini aku kutip dari Kak Cik Enok yang dia dengar dari mulut Saadi isteri Tok Pasih.

Dari apa yang aku faham Tok Arof mendapat “bayangan alamat” bahawa Cina Bintang Tiga akan keluar dari hutan dan menangkap mereka dua beradik.

Ini kerana Tok Arof dan Tok Pasih ini dianggap pendekar silat, guru agama dan pemimpin orang Melayu di Kampung Tengkek.

“Ompek limo orang Cino datang … Cino tu ikek To Pasih… tarik dio macam lombu … bawak masuk dalam hutan…nak tembak tak lut… dia kobal… agaknya … kono ikek dan ditanam.”

Kak Cik Enon aku bersuara dengan sedih.

“Mayat jumpa tak?” Aku bertanya.

“Mano nak cari… tak tau utan mano dibawak oleh Cino tu.”

Kak Cik Enon aku menamatkan cerita.

Maka aku faham kenapa Tok Arof aku mengajak abah aku turun ke Padang Lebar hari Selasa 26/11/1946 untuk berperang dengan Cina.

Epilog:

Dari fakta sejarah pergaduhan Melayu dan Cina berlaku di Padang Lebar pada hari Selasa 26/11/1946.

Ini sesudah Jepun menyerah kalah.

Pasukan Bintang Tiga yang keluar dari hutan Serting diberitakan membuat huru-hara di beberapa daerah awalnya di Batu Kikir yang tidak jauh dari Padang Lebar.

Tulisan dibawah ini aku kutip dari laman: https://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=1141381&mobile=2

Pada masa yang sama ahli Bintang Tiga teruskan keganasan mereka dengan pergi dari satu rumah ke satu rumah orang Melayu hanya kerana untuk mencari kesalahan orang Melayu.

Oleh yang demikian, kemarahan orang Melayu memuncak apabila terdapat berita dari Pekan Lebar yang mana ahli Bintang Tiga menangkap 40 orang Melayu dalam masa dua minggu.

Orang Melayu mula bersepakat dan merancang untuk menghapuskan kesemua orang Cina di pekan Padang Lebar.

Maka tercetuslah peristiwa amuk Padang Lebar yang amat gerun dan tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini.

Antara orang yang bertanggungjawab mengetuai amukan tersebut adalah Haji Dollah.

Beliau bersama-sama dengan penduduk setempat melakukan persediaan yang rapi bagi menghadapi amukan ini antaranya bertemu dengan Kiai Selamat (seorang yang alim dan arif dalam ilmu persilatan) di Kampung Lonek untuk menuntut ilmu persilatan.

Haji Dollah dan orang-orang kampung mula berhimpun di pekan Padang Lebar untuk memulakan rancangan mereka.

Mereka berpecah dan berkumpul berasingan di sepanjang jalan di pekan kecil itu.

Dikatakan amukan dimulakan oleh Datuk Nara Sutin Bin Daim yang merupakan seorang guru dan diikuti oleh anak-anak muridnya.

Maka ramailah orang Cina dibunuh oleh orang Melayu dalam peristiwa berdarah itu.

Kebanyakan mereka yang terbunuh dipenggal kepalanya oleh orang Melayu yang melakukan amukan tersebut.

Akibat dendam kesumat terhadap mereka, dikatakan tidak ada satu orang Cina pun yang hidup melainkan seorang sahaja yang bernama See Kun.

See Kun dikatakan berjaya melarikan diri walaupun mengalami kecederaan di bahagian perut dan terselamat selepas mendapat rawatan di pekan Kuala Pilah.

Dia adalah merupakan saksi utama dalam peristiwa amukan tersebut.

Mangsa-mangsa yang dibunuh, kebanyakannya dibunuh oleh mereka yang berdendam atas kematian ahli keluarga mereka.

Kejadian tersebut akhirnya sampai ke pengetahuan pihak atasan Bintang Tiga.

Satu pasukan Bintang Tiga dihantar ke pekan Padang Lebar dengan bertujuan untuk melawan dan menuntut bela.

Semasa dalam perjalanan, mereka dihalang oleh satu pasukan tentera Gurkha yang diarahkan supaya melindungi orang-orang Melayu di sekitar pekan Padang Lebar.

Oleh sebab hampa dihalang memasuki kawasan pekan Padang Lebar, mereka sempat membunuh seorang Melayu yang kebetulan berada di situ.

Ekoran daripada peristiwa amukan itu, pihak berkuasa telah menahan 11 orang Melayu penduduk tempatan dan dijatuhkan hukuman gantung.

Epilog 2:

Dari tulisan yang dikutip ini persoalan timbul dalam kepala aku:

1) Apakah Tok Pasik dan Tok Arof dan abah aku sebahagian daripada jaringan kumpulan silat Kiai Selamat?

2) Apakah See Kum ini Tauke yang disurahkan oleh emak aku yang selamat menyorok dalam tok duit yang nampak muka Tok Arof aku?

Epilog 3:

Pada tahun 1980 ketika aku hidup sebagai pendatang haram di Pakistan untuk pertama kalinya aku dijemput oleh Parti Komunis Malaya (PKM) datang ke Tiongkok, Peking.

Pada tahun 1981, kali kedua aku di Peking.

Kali ini aku menimbulkan kes pembakaran Sekolah Tengkek dengan Kawan Hong a.k.a Chin Peng.

Dalam perbincangan yang sama aku juga menimbulkan Perang Melayu-China Padang Lebar.