Sunday, September 26, 2021

Bukan puasa ‘mufti al-influenceri’

Iaitu pertama; puasa pada orang syariat. Kedua, puasa pada orang tarekat; manakala yang ketiga, puasa pada orang hakikat.

Other News

Kalau kita menyebut nama Fansuri kepada orang Melayu, selalu mereka akan menghubungkan nama Fansuri itu dengan Hamzah Fansuri.

Sebetulnya selain Hamzah, terdapat juga Abdur Rauf Fansuri.

Ulama Acheh terkenal, A Hasjmi mencatatkan dalam “Hamzah Fansuri Penyair Sufi Aceh”, Hamzah ini mempunyai seorang adik (atau mungkin juga abang) dengan nama Ali-al Fansuri.

Kedua-dua mereka berketurunan Parsi.

Ali Fansuri memiliki seorang anak lelaki iaitu Abdur Rauf.

Ulama ini dilahirkan pada tahun 1592 M.

Orang-orang tarekat percaya Abdur Rauf Fansuri ini adalah pengamal tarekat dengan perantara Abi Yazid al-Bistami.

Terdapat perbincangan apakah Abdur Rauf Fansuri ini juga Abdur Rauf Singkel.

Saya memegang pandangan Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam “Tafsir Puisi Hamzah Fansuri” yang terdapat dua orang Abdur Rauf sezaman, dan lebih baik berpegang kepada Abdur Rauf itu sebagai Abdur Rauf Fansuri.

Menurut Muhammad Zahid bin Syeikh Hasan ad-Dazjawi yang mengkaji tarekat Naqsyabandiah, Abdur Rauf ini mendapat sanad tarekat yang sah dan tiba ke Imam Ja’far Sadiq kerana al Bistami itu berguru dengan Imam Ali Ridha, yang mana belajar pula daripadanya ayahnya Imam Musa al Kadzim dan berguru pula dengan bapanya Imam Sadiq.

Pusara Abdur Rauf Fansuri.

Abdur Rauf Fansuri adalah benih sebenar “Tafsir al-Baidhawi Melayu” yang terkenal di mana ia diperoleh oleh Tok Daud Katib dan kembali kepada leluhurnya Baba Daud Ismail al Jawi ar Rumi iaitu muridnya Abdur Rauf Fansuri.

Antara murid Abdur Rauf Fansuri adalah Burhanuddin Ulakan yang terkenal dengan tarekat Syatariyyah.

Sudah tentu Abdur Rauf Fansuri, sebagai anak saudara Hamzah Fansuri adalah berbangsa Parsi.

Ini juga berdasarkan catatan anak murid Hamzah Fansuri, Syeikh Shamsuddin as-Sumatrai yang mana Hamzah Fansuri menulis ungkapan “Bukannya ‘Ajam lagi Arabi; Sentiasa Wasil dengan yang Baqi” dalam ‘Ruba’i’nya.

Pun meski berbangsa Parsi, mereka memilih untuk mengarang dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa lingua franca di daerah ini satu masa lalu.

Salah sebuah karya Abdur Rauf Fansuri yang agak terkenal ialah “Majmu’ul Masail” atau “Perhimpunan Macam-Macam Masalah” yang mana ia dalam bentuk soal jawab.

Salah sebuah soalan yang menggugah dan menarik berbunyi; “Berapa perkara puasa pada orang tarekat?”.

Abdur Rauf Fansuri memberi jawapan yang puasa itu terdapat tiga jenis (dalam bahasa Melayu lama diguna kata “perkara”). Iaitu pertama; puasa pada orang syariat. Kedua, puasa pada orang tarekat; manakala yang ketiga, puasa pada orang hakikat.

Apakah yang dimaksudkan dengan jenis-jenis puasa di atas?

Dalam jenis pertama, ia adalah puasa kebanyakan kita yang mana kita hanya sekadar menegah diri dari melakukan hal-hal pantang atau yang membatalkan puasa sahaja. Sebagai contoh, Fansuri menyatakan; “Dan adapun puasa pada orang Syariat itu; iaitu menahan diri daripada makan dan minum dan jimak dan (apa saja yang) membatalkan ia.”

Jadinya puasa ini sebatas hal-hal fikah yang mana menjadi anutan orang Islam di Malaysia.

Islam orang Malaysia rata-rata adalah terhad kepada fikah di mana itu menjadi sebab kita melihat serba-serbi dalam hidup ini dengan semata-mata halal haram dan mengkesampingkan akhlak itu mengatasi fikah.

Dalam jenis kedua, ia adalah puasa untuk orang tarekat.

Dalam konteks ini, Abdur Rauf Fansuri menjelaskan pula ia adalah tingkatan yang lebih tinggi kerana ia bukan hanya sekadar mencegah diri dari melakukan sesuatu yang makruh atau batal dalam ibadah puasa tetapi sudah berkait tingkah laku dan perangai.

Ia adalah puasa dalam kerangka akhlak yang mulia.

Maka penerangan Fansuri adalah; “Dan puasa pada orang tarekat itu menahan diri dari keinginan hawa nafsu dan dari dengki dan loba dan tamak dan dari menaruh dendam.”

Dapat kita katakan puasa ini untuk orang tasawuf atau sufi di mana mereka berusaha membaiki diri di bulan puasa, dan memastikan apa yang disemai atau ditanam pada awal musim semi ini kekal berbunga dan membuahkan sesuatu sepanjang tahun.

Puasa inilah puasa orang yang mengatasi akhlak dari fikah.

Sudah tentu jenis atau tingkatan puasa yang paling mencabar dan bukan untuk insan biasa seperti kita adalah puasa orang Hakikat.

Dalam hal ini, puasa orang Hakikat ini hanya berpusatkan Allah, dan ia malah sudah berpantang dari melihat apa sahaja yang yang tidak membawakan dirinya kepada Tuhan.

Perbicaraan Fansuri adalah; “Dan puasa pada orang Hakikat itu, iaitu menahan dirinya dari memandang barang yang lain daripada Allah yang sebenar-benar wujud, sentiasa mengucap akan zikrullah dan fana’fillah dan baqa’ billah.”

Puasa ini saya gambarkan hanya ada pada ketua agama Islam iaitu para anbiya’, wali Allah, atau para Imam yang kudus.

Inilah puasa darurat di mana terdapat banyak penegahan sebenar atas nama Yang Maha Suci.

Sungguh sulit untuk mencapai jenis atau perkara puasa seperti ini untuk manusia biasa seperti kita yang tidak tinggal melanggar peraturan atau SOP dunia, apatah lagi akhirat.

Untuk itu, terdapat pula soalan apakah faedah berpuasa yang juga terdapat tiga jawapan berkait.

Abdu Rauf Fansuri mengatakan begini: “Bahawa faedah puasa itupun tiga perkara. Pertama, mengingat-ngingatkan perangai kenyataannya. Kedua pula, menyerahkan dia dengan Dia. Serta ketiga, mengajarkan dia.”

Penjelasan Fansuri di atas menerangkan manfaat puasa di mana orang yang berpuasa perlu bermuhasabah mengenai batas yang ada dalam hidupnya.

Ia juga berguna untuk mengajar seseorang yang berpuasa untuk menginsafi kehidupan sedia ada.

Tentulah puasa terbaik ialah puasa seorang yang menyerah dan memusatkan seluruh perhatian dan segenap tindak-tanduknya kepada Sang Pencipta.

Ini mengingatkan kita kepada ungkapan yang digunakan oleh Hamzah Fansuri dalam puisinya; “Seperti Ali tatkala berperang; melepaskan daldal tiada berkekang.”

Shamsuddin as-Sumatrai dalam menghuraikan makna di sebalik ungkapan di atas menerangkan ia bermaksud “supaya tiadalah lagi ada sangkutan lagi”, justeru sangkutan hanyalah kepada Allah Taala.

Seperti Ali, orang yang benar-benar berpuasa tidak lagi gentar kepada apa pun, dan berani menabrak musuh seumpama Saidina Ali di medan Khaibar.

Baginda Ali hanya menyerahkan diri kepada Allah dan tidak lagi bersandarkan kepada gelar.

Sesungguhnya dalam bidang sastera kitab, terdapat bermacam khazanah yang luas mengenai pemahaman ilmu agama orang Melayu.

Malang sekali orang Melayu tidak lagi merujuk kepada simpanan atau arkib yang kaya ini dan hanya menyerah diri kepada salafi rabitah, ustaz sosial media, mufti al-influenceri, pencetus ummah, suami selebriti dan youtuber agama yang mengharapkan subscribe demi pulangan “views” yang tinggi.

Kejahilan sebeginilah yang membawa kita insan biasa menghambakan diri kepada orang yang tidak patut dihambakan.

Padahal mereka juga berak kencing seperti kita.

Menurut almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah iaitu pengasas Khazanah Fathaniyah, Abdur Rauf Fansuri ini turut dikenali sebagai Teuku Syiah Kuala.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles