- Iklan -
Rencana

Pengguna jalan raya: Fikir dahulu sebelum bertindak

Orang awam tidak berhak mengambil sebarang tindakan yang boleh mencederakan individu lain tanpa usul periksa atau bukti yang kukuh.

Rani Ann Balaraman
4 minit bacaan
Kongsi
Pengguna jalan raya harus mengamalkan sikap toleransi dan sentiasa mematuhi peraturan. Gambar: Bernama
Pengguna jalan raya harus mengamalkan sikap toleransi dan sentiasa mematuhi peraturan. Gambar: Bernama

Beberapa minggu lepas saya menerima beberapa rakaman klip video melalui aplikasi WhatsApp. Klip itu berkaitan tentang kemalangan jalan raya yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengah-Bayan Baru yang melibatkan tiga buah kereta.

Dalam salah satu video, kelihatan seorang lelaki diselamatkan dari sebuah kereta putih. Lelaki berkenaan kelihatan terpinga-pinga dan masih tidak faham apa yang berlaku. Lelaki yang kelihatan tidak mengalami sebarang kecederaan secara fizikal ini tiba-tiba didatangi seorang lelaki lain yang terus menyatakan bahawa kerana beliaulah kemalangan berlaku dan kejadian berkenaan telah terakam dalam kamera. 

Lelaki dari kereta putih berkenaan cuba menyatakan sesuatu, tetapi tidak dapat luahkan kerana saya merasakan lelaki berkenaan berada dalam keadaan trauma dan masih tidak dapat bayangkan apa yang baru terjadi ke atas dirinya. Dalam video yang lain pula dapat dilihat dengan jelas bagaimana sebuah kereta merah merempuh tiga buah kereta lain yang berhenti di lampu isyarat yang bertukar merah. Video kedua itu dengan jelas menunjukkan kereta merah dipandu dengan laju sehingga menyebabkan kerosakan terhadap tiga buah kereta lain. Jadi pemandu kereta putih tidak bersalah dalam kemalangan maut itu.

Manakala pada 17 April sekali lagi saya menerima dua buah klip video juga melalui aplikasi WhatsApp. Dalam video berkenaan menunjukkan seorang lelaki dibelasah oleh sekumpulan lelaki yang lain. Mangsa kemudianya diheret dan dicampakkan di jalan raya berdekatan dengan beberapa individu yang kelihatan memayungi seseorang yang terbaring di jalan raya. Kejadian dikatakan berlaku di Johor.

Selepas beberapa jam menerima video berkenaan, penulis membaca berita berkaitan kejadian di Johor itu. Kejadian dikatakan berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Cendana di Seri Alam, Pasir Gudang. Berita itu menyatakan seorang lelaki yang tidak bersalah mengalami kecederaan yang parah selepas diserang oleh sekumpulan individu yang tersalah menyangka bahawa lelaki berkenaan yang telah menyebabkan berlakunya kemalangan.

Menurut laporan berita berkenaan, akibat kejadian itu mangsa yang berusia 19 tahun, mengalami beberapa kecederaan di kepala, kaki kanan, tulang pipi, mengalami patah hidung, patah jari dan jari kaki akibat dipukul oleh orang ramai.

Kedua-dua kes ini jika diteliti dengan mendalam, mempunyai persamaan iaitu mereka yang tidak bersalah disalahkan tanpa usul periksa. Sedikit perbezaan di sini adalah dalam kejadian pertama mangsa tidak diapa-apakan dan hanya diserang secara verbal, tetapi malang bagi mangsa kedua yang kini terpaksa menerima rawatan di hospital kerana kecederaan teruk yang dialami oleh beliau. 

Dalam kejadian pertama, nasib baik ada rakaman video yang membuktikan pemandu kereta putih tidak bersalah. Malangnya untuk kejadian kedua tiada klip yang menunjukkan rakaman kejadian kemalangan untuk membuktikan mangsa tidak bersalah. Mungkin ada tetapi masih tidak ditularkan oleh sesiapa. Rakaman hanya menunjukkan bagaimana mangsa dipukul tanpa belas kasihan malah terdapat juga adengan kumpulan lelaki cuba menyerang individu lain yang mahu membantu mangsa.

Saya boleh simpulkan sikap terburu-buru oleh mereka yang berada di sekitar kawasan kejadian merupakan punca kepada tindakan yang tidak diingini seperti ini berlaku. Selalunya mangsa kemalangan tidak dapat memberikan keterangan semasa kejadian kerana mereka masih tidak pasti apa yang sudah dan sedang berlaku, terkejut, trauma, pening, mengalami kecederaan atau sebagainya. Jadi adalah tidak relevan untuk menyalahkan golongan ini.

Tetapi mereka yang berada di tempat kejadian yang dijadikan sebagai saksi, jika silap memberikan keterangan, mereka yang tidak bersalah mungkin menjadi mangsa. Dahulu sebelum adanya teknologi kamera, mangsa seperti ini mungkin dipersalahkan seumur hidup.

Bagaimanapun zaman ini, dengan perkembangan teknologi, di mana-mana sahaja terdapat kamera yang merakamkan setiap kejadian. Jadi peluang untuk melepaskan diri selepas melakukan sesuatu kesalahan adalah sangat nipis. Hati-hati semua.

Dalam isu ini untuk saksi kejadian, jangan terburu-buru untuk memberikan keterangan kepada mana-mana pihak kecuali pada pihak berkuasa. Manakala pada mereka yang berada di sekeliling kawasan kejadian, fikir dahulu sebelum bertindak. Jangan bertindak terburu-buru. tidak pasal-pasal kerana kejadian yang tidak kena mengena dengan diri sendiri, akhirnya kita pula berhadapan dengan tindakan mahkamah dan seterusnya dikenakan hukuman.

Sebagai orang awam kita tidak sepatutnya dan tidak berhak untuk mengambil sebarang tindakan yang boleh mencederakan individu lain terutamanya tanpa sebarang usul periksa atau bukti yang kukuh. 

Nasihat ikhlas saya kepada masyarakat ialah bersabar di jalan raya. Kemalangan memang berlaku dan sudah pastinya bukan disengajakan. Hilang harta benda boleh dicari, hilang nyawa dan anggota badan hingga ke akhir hayat akan merana. Kalau berlaku kemalangan bawa berbincang dengan baik dan pastikan kedua-dua pihak selamat dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan membuat kesimpulan. Kalau masing-masing hendak mengambil tindakan sendiri, buat apa kita mempunyai pihak berkuasa di negara ini.

Dalam kejadian kedua, pemandu muda yang tidak bersalah terpaksa menaggung kesakitan akibat kesalahan yang juga tidak disengajakan oleh individu lain. Seharusnya kes ini harus diselesaikan oleh kedua-dua mangsa yang terlibat dengan bantuan pihak berkuasa. Bukan orang awam yang telah memburukkan lagi keadaan. Kita sebagai pengguna jalan, kalau tidak boleh menolongpun jangan burukkan lagi suasana.

Video kejadian itu juga menjadi tular di media sosial. Dalam kejadian pertama, video berkenaan berjaya menunjukkan pemandu mana yang bersalah. Manakala untuk video kedua pula ia mungkin boleh mula menjadi isu perkauman, kerana kejadian melibatkan dua kaum yang berbeza di negara ini.

Untuk individu dalam video pertama anda sangat bernasib baik, walaupun kemalangan itu sangat mengerikan, anda selamat dan juga telepas dari tuduhan melulu. Untuk video kedua, saya harap keluarga mangsa akan bertabah dan remaja itu saya doakan beliau akan selamat, walaupun saya sangat pasti individu berkenaan akan mempunyai kecacatan kekal.

Untuk individu yang membuat serangan tanpa usul periksa dalam kejadian kedua, apa perasaan anda apabila mengetahui bahawa individu yang anda belasah sampai lembik itu tidak bersalah? Banggakah anda?

Rani Ann Balaraman adalah pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.