- Iklan -
Kolum

Dua penjuru atau tiga penjuru?

Iaitu sama ada PN-BN lawan PH, atau PN lawan PH-BN.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Audio perbualan telefon antara suara mirip Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi walaupun dinafikan oleh kedua-duanya menimbulkan satu hakikat pertandingan dalam pilihan raya akan datang boleh menjadi sama ada dua atau tiga penjuru.

Jika tiga penjuru, ia bermakna akan berlaku pertembungan antara Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Sementara dua penjuru adalah PN lawan PH, dengan BN berpakat dengan salah satu gabungan itu.

Iaitu sama ada PN-BN lawan PH, atau PN lawan PH-BN.

Namun ada kalanya dalam pilihan raya kelihatan seperti pertandingan tiga penjuru tetapi hakikatnya ia berupa dua penjuru.

Ini kerana salah satu parti itu kelihatan bertindak untuk menang tetapi hakikatnya ia berfungsi sebagai pemecah undi.

Perkara ini dapat disaksikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Kelihatannya terdapat pertandingan tiga penjuru iaitu BN, PH dan PAS.

Walaupun PAS sudah mesra Umno selepas Pakatan Rakyat bubar, tetapi ia tidak berpakat dengan BN, malah melawannya dalam pilihan raya.

Maka pemerhati melihat kehadiran PAS adalah untuk memecah undi pembangkang supaya BN menang di kawasan-kawasan tertentu.

Walaupun strategi ini gagal kerana sokongan terhadap PH adalah jauh lebih besar, tetapi apa yang berlaku adalah pertandingan dua penjuru antara BN dan PH dengan PAS membantu Umno melalui pemecahan undi penyokong pembangkang.

Taktik ini bukanlah perkara baru.

Ada pemerhati melihat taktik memecah undi dilakukan pada pilihan raya umum tahun 1969 dan 1978.

Walaupun dinafikan oleh PAS dan DAP tetapi di kawasan-kawasan tertentu terdapat taktik memecah undi Melayu untuk memberi kemenangan kepada calon DAP, dan juga memecah undi Cina untuk memberi kemenangan pada calon PAS.

Ini yang membawa tuduhan oleh pihak BN bahawa terdapat pakatan PAS dan DAP walaupun kedua-duanya bermusuhan dari segi fahaman politik.

Tetapi dalam pilihan raya akan datang, lanskap sudah berbeza daripada tahun 2018.

Kalau melihat keanggotaan Dewan Rakyat pada masa ini, BN bertindak sebagai penentu siapa menjadi kerajaan, iaitu “kingmaker” walaupun tentulah ia juga berhasrat untuk menjadi kerajaan.

Maka sekali pandang, sesiapa iaitu sama ada PN atau PH yang mendapat sokongan BN akan menang dalam pilihan raya akan datang.

Tetapi BN sendiri mahu kembali berkuasa seperti dahulu tanpa berpakat dengan PN atau PH.

Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini pun sentimen perwakilan adalah menolak pakatan dengan PN dan mahu BN bertanding sendiri.

Kalau hendak dikira dengan semangat demokrasi, biarlah ketiga-ttiga kumpulan politik bertanding secara bersendirian.

Selepas itu kalau tidak ada satu pihak yang dapat menubuhkan kerajaan, maka barulah parti yang memperoleh undi terbanyak berpakat dengan mana-mana parti yang dipilihnya bagi menubuhkan kerajaan.

Katakan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Siapakah yang akan menang kawasan paling banyak?

BN ada pengundi tegar.

Begitu juga PH.

Tetapi antara BN dan PH, kemungkinannya BN akan meraih kawasan lebih banyak.

PAS juga mempunyai pengundi tegar.

Pengaruh Bersatu tidak diketahui banyak mana.

Jadi PN bergantung pada PAS.

Sebahagian pengundi PH akan lari sebab ketiadaan Dr Mahathir Mohamad.

Sebahagiannya akan pergi ke Bersatu, sementara yang lain akan kembali pada Umno.

Mungkin sebahagian marah pada gelagat ahli politik dan enggan mengundi.

BN walaupun dapat kerusi terbanyak tetapi ia perlu bergabung dengan parti lain untuk tubuhkan kerajaan.

Tetapi katakan dari awal PH berpakat dengan BN.

Sebahagian pengundi PH akan lari kerana menolak kerjasama dengan Umno.

Sebahagian pengundi BN juga akan lari kerana enggan menerima DAP.

Mereka mungkin tidak turun mengundi atau memilih PN.

Tetapi mereka yang menolak PAS atau Bersatu akan duduk saja di rumah.

Setakat ini tentu tidak dijangka banyak mana bilangannya.

Katakan PN pula yang bekerjasama dengan BN.

Harapan pakatan BN-PN ini adalah lebih cerah berbanding BN-PH.

Asas kemenangan ini terletak pada pendokong tegar Umno dan PAS.

Inilah projek asal Umno-PAS melalui Muafakat Nasional ketika mereka mula bergerak menentang PH sebaik saja BN kalah PRu14.

Kalau inilah perkiraannya, Umno-PAS tidak perlukan Bersatu.

Tetapi dalam sesuatu pakatan, pembahagian kerusi amat sukar untuk dilakukan.

Pembahagian kerusi PH-BN adalah lebih mudah berbanding pembahagian kerusi PN-BN.

Pembahagian kerusi Umno dan PAS pasti menjadi masalah di Terengganu dan Kelantan.

Kemungkinannya di Kelantan dan Terengganu, PAS dan Umno bertanding.

Di kedua dua negeri itu PKR dan Amanah tidak kuat.

Tetapi pembahagian kerusi antara Bersatu dengan Umno lagi sukar.

Soal calon perdana menteri juga menjadi masalah.

PH meletakkan Anwar sebagai calon PM.

PN meletakkan Muhyiddin Yassin sebagai calon PM bertahan.

BN tentunya meletakkan Zahid.

Maka jika PH-BN berpakat, maka calon PM adalah Anwar.

Jika PN-BN berpakat, Muhyiddin yang jadi PM.

Bolehkah orang Umno menerimanya? Tidak boleh.

Akhirnya soal calon PM ditangguhkan sehingga selepas keputusan pilihan raya.

Maka Zahid juga ada peluang jadi PM.

Itu percaturan ahli politik.

Bagi penyokong PH yang melihat bagaimana kerajaan mereka ditumbangkan selepas 22 bulan saja, kepercayaan pada sistem politik negara ini menjadi luntur.

Realitinya pengundi hanya boleh memilih shli Parlimen di kawasan mereka.

Ahli Parlimen mereka inilah yang boleh sama ada setia pada partinya atau melompat parti selepas menang.

Merekalah yang menentukan siapa perdana menteri dan kerajaan.

Pengundi biasa tidak akan dapat memberi kesan seperti mana yang ditunjukkan dalam Langkah Sheraton.

Parti politik yang memberi jentera kepada calon-calon pilihan raya tidak dihormati lagi.

Satu cara bagi pengundi untuk berasa diperlakukan dengan adil ialah mengundi calon-calon yang berwibawa.

Calon pilihan raya yang ada rekod melompat dikira tidak berwibawa.

Begitu juga dengan parti yang tidak berwibawa, iaitu melompat keluar gabungannya sebelum tamat penggal.

Selain itu, calon-calon yang tidak berwibawa termasuklah mereka yang terlibat dengan korupsi dan penyelewengan.

Begitu juga dengan calon yang pernah memegang jawatan lantikan politik seperti menteri, timbalan menteri atau pengerusi GLC tetapi gagal berprestasi juga wajar ditolak.

Jadi jika kaedah ini diambil, pengundi wajar memilih seseorang calon yang berwibawa, atau menolak mana-mana calon yang tidak berintegriti.

Kalau tidak ada calon yang berwibawa, pilih saja calon baru, tidak kira dari parti mana, asalkan dia belum tercemar dengan sebarang kes.

Kemudian biarlah ahli Parlimen itu memilih kerajaan dan perdana menteri tidak kira siapa.

Apa pun perkara ini sudah tiada erti bagi seseorang pengundi.

Apabila perdana menteri dan kerajaan buat perkara tidak betul, apa yang wajar dilakukan adalah mula-mula membantah melalui media sosial.

Untuk lebih berkesan, jika Covid-19 sudah berlalu dan ada orang aturkan bantahan melalui demonstrasi, turut sertailah mereka.

Harap-harap sistem demokrasi negara ini dapat berjalan lancar.

Sesungguhnya negara perlu pembaharuan yang besar untuk bebas dari korupsi, dari peringkat tertinggi hinggalah ke bawah.

Untuk itu, hanya rakyat sendiri dapat mengubahnya melalui sistem demokrasi yang ada.