Thursday, September 16, 2021

Satira adalah seni yang sah

Satira juga bertujuan membetulkan moral yang terseliuh.

Other News

Kebanyakan orang tidak memahami letak duduk satira.

Selalu, orang menyangkakan satira itu adalah satu pendurhakaan, atau kekurangajaran.

Sebaliknya, malah; satira adalah satu penerokaan seni yang sah, dan sudah cukup tua (makan ribuan tahun) diamalkan oleh aneka seniman.

Satira juga bertujuan membetulkan moral yang terseliuh.

Satira adalah genre atau kerja sastera yang niatnya adalah mendedahkan penyelewengan dan pemesongan akhlak manusia, dan ia dilakukan menerusi ironi, serta senda gurau menyucuk.

Dalam satira akan ada sarkasme, juga kaustik (semacam jenaka dan komik tajam) untuk menampilkan kebodohan segelintir antara kita dalam masyarakat.

Salah satu topik kajian saya ketika menulis tesis sarjana dengan Shahnon Ahmad, dan Zakaria Ali, adalah mengenai satira.

Khususnya juga kerana satira itu begitu banyak bertaburan dihasilkan oleh Shahnon.

Ian Johnston, dari Malaspina University-College, Kanada menjelaskan lebih kurang begini.

Kata beliau, jika kita melihat kelakuan sesetengah anggota masyarakat yang menjengkelkan, kita berhasrat untuk membetulkannya.

Akan tetapi apakah pendekatan yang kita ada?

Kita mungkin memaksa mereka berubah dengan cara ancaman hukuman.

Mungkin dengan denda besar kerana melanggari prosedur operasi standard (SOP) merentas negeri untuk berbulan madu.

Kita juga boleh meleteri mereka yang berbuat salah ini dengan kuliah moral ala-ala surat terbuka mufti.

Namun, jika mufti itu sendiri melakukan kesalahan moral tersebut, apakah pilihan lagi yang ada?

Atau jika ancaman itu penuh bias, bagaimana?

Nah, untuk seniman mereka akan punya satu jalan lain.

Iaitu dengan menampilkan mereka yang berbuat galak kesalahan ini dengan cara menunjukkan betapa merepeknya mereka, agar mereka dapat ditertawakan.

Seniman melakukan itu dengan niat untuk mensasarkan orang yang dituju dengan harapan dia akan berubah kerana menjadi bahan ketawa.

Niat lain tentunya agar orang lain memahami kelakuan tersebut salah, dan tidak harus dilakukan.

Jadi, kita menulis sesuatu agar orang meluat seraya tertawa, kemudian dengan harapan, mereka sendiri menjauhkan diri dari perbuatan bejat itu.

Kesukaran menciptakan satira adalah kerana tidak semua orang mempunyai kebolehan menukangi ejekan itu dengan berhalus, dan dalam masa yang sama mengakibatkan timbul perasaan menyampah.

Ini kerana seorang satiris bukan semata-mata mahu mentertawakan si pelaku kesalahan, tetapi dalam masa yang sama sang satiris harus sedar betapa orang awam itu seringnya buta, tidak peka, dan dalam banyak keadaan menanggapi kesalahan moral yang dilakukan itu sebagai norma biasa.

Misalnya, orang awam terbiasa jika menteri atau selebriti melanggar SOP dan tidak dihukum, berbanding kita selaku orang awam yang tiada nama.

Atau kita biasa melihat ulama bercakap tentang integriti, padahal dia telanjang integriti.

Kita tersengih membaca orang yang melakukan hubungan seks dan merakamnya di malam bulan Ramadan kemudian dialah yang paling ke hadapan mengecam perlakuan yang menurutnya nista dan hina.

Semacam mengata dulang paku serpih, nah dalam kerangka Melayu, itulah konsep satira; menyerpih.

Serpih bererti menyobek, atau memecahkannya kecil-kecil.

Untuk menyerpih, satu satira yang bijak diperlukan.

Jadi satira itu harus mempunyai kecaman dan ejekan.

Ia juga mesti mempunyai kelucuan kerana niat satira adalah agar mereka yang membacanya kelak tertawa, bukan saja kerana ia menghiburkan; tetapi kerana diri mereka sendiri itu mesti ditertawakan.

Selalu satira akan tampil sebagai kerja seni yang bijak dan menggelikan hati pembacanya.

Jika ia dalam bentuk seni visual, ia akan lebih cepat menggigit.

Jika ia muncul dalam seni pentas atau filem, ia juga akan menusuk.

Kebijakan satira adalah apabila seorang satiris berjaya meletakkan atau menggandingkan sesuatu yang menjelak dan menjerankan dengan suatu norma yang diterima padahal ia tidak bermoral.

Dalam karya seni, selalu salah satu bentuk yang paling mudah digunapakai dalam satira ialah parodi, atau penwakdogolan (karikaturisasi).

Salah satu lagi teknik satira yang ampuh ialah apa yang dinamakan sebagai “pemusnahan sesuatu simbol”.

Seorang satiris misalnya, demi menunjukkan bagaimana satu simbol itu boleh menjadi lambang penindasan atau kebobrokan, akan sengaja melupakan hakikat bahawa simbol itu mempunyai nilai.

Ini kerana menurut mata sang satiris, simbol itu sudah lagi tidak sakral sebaliknya hanya menjelaskan satu kegagalan.

Dalam hal ini, aspek melebih-lebihkan juga menjadikan satira satu kerja seni yang menyakitkan hati.

Namun, dari kaca mata satirawan; kutukan terbuka itu diperlukan untuk memaparkan efek yang menggempar.

Bukannya senang menulis, atau melukis, atau melakonkan satira.

Ia adalah proses penukangan yang kadang spontan, tetapi pembikinannya dalam minda sudah berjalan lama.

Satira adalah hasil orang terpelajar untuk orang bebal, agar mereka melihat kebebalan mereka dan justeru ingin berubah atau bertaubat.

Satira juga tidak boleh sama sekali dipandang sebagai satu yang jahat.

Kalian harus ingat satira adalah satu medium perlawanan untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Novel Putera Gunung Tahan adalah karya satira hasil kerja Pak Sako.

Putera Gunung Tahan, karya satira Pak Sako.

Maka, satirawan pernah berjasa untuk negara kita.

Kelompok pengarang satira tidak boleh dikesampingkan.

Atas hakikat itulah Putera Gunung Tahan diiktiraf dan pernah dijadikan teks sastera di sekolah.

Jadi, harus beringat; satira mungkin menimbulkan resah di zaman ini; tetapi dibanggakan di zaman hadapan.

Maka, kita yang menilai satira jangan sampai berada di posisi yang salah satu hari kelak.

Sebagai pengamat, dan pengamal seni, bahkan sebagai ketua juri Hadiah Sastera Selangor sejak beberapa tahun lepas, saya dapati medium satira ini paling didambakan oleh karyawan muda.

Namun demikian tidak semua seniman memiliki bakat untuk melakukannya.

Selamat kalau saya katakan begini, belakang parang kalau diasah akan tajam juga akhhirnya.

Nah, fenomena itu sesuai untuk orang yang ingin mencuba-cuba sesuatu yang berseni tetapi bakatnya kurang.

Akan tetapi, untuk satira, kita memerlukan parang yang sedia tajam.

Kita memerlukan muka parang yang menghiris dan dapat mencincang menjadi kecil.

Bahagian parang yang dapat menyerpih sesuatu menjadi kecil-kecil.

Maka, satira memang satu bakat alami yang khas dan tidak dipunyai oleh semua seniman.

Galak dan marah Shahnon Ahmad yang bergumpal sama dalam satu naratif misalnya tidak ditemukan dalam karya Keris Mas, Usman Awang, atau A Samad Said.

Sasterawan yang terkemudian ini lebih jauh panggang dari api.

Saya berpendapat reaksi marah terhadap satu-satu satira itu biasa.

Akan tetapi ia tidak harus diladeni sehingga api kecil itu merumba menjadi kebakaran besar.

Melayan api mancis yang menyucuh seolah-olah ia bunga api adalah kerja paling sia-sia.

Kerja seni tetaplah kerja seni.

Akan tetapi satira itu seni yang kekal membisa dan menjadi racun nanah yang menular.

Ada jasad yang kita tidak perlukan dan memang wajar ditumpangi kuman dan virus moga-moga ia cepat mati.

Satira memang tujuan mematikan.

Ia ingin mematikan apa yang tidak bermoral.

Ia berhajat untuk menyerpih.

Ia berhasrat memperlihatkan wajah yang boleh terpercik di dulang jernih.

Meskipun dulang itu sumbing, dan ada bahagiannya cacat.

Justeru yang cacat itu menjadi sasaran.

Atas semua alasan di atas, satira adalah seni yang sah, malah halal.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles