- Iklan -
Rencana

Masa depan Perikatan Nasional cerah

PH dan BN diramal terus dilanda masalah termasuk di dalam mendapatkan sokongan Sarawak dan Sabah.

Kamarul Zaman Yusoff
5 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin dilihat memiliki sokongan dari Sarawak selepas lawatan beliau ke sana baru-baru ini. Gambar: Bernama
Muhyiddin Yassin dilihat memiliki sokongan dari Sarawak selepas lawatan beliau ke sana baru-baru ini. Gambar: Bernama

Agak mengejutkan hanya setelah lapan bulan sahaja Perikatan Nasional (PN) didaftarkan dengan sijil pendaftaran bernombor PPM-019-14-07082020 oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 7 Ogos 2020, sudah banyak peningkatan yang ditunjukkan olehnya sehingga memungkinkan Perikatan Nasional (PN) menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dalam PRU 15.

Bermula dengan perhimpunan rasmi pertama pemimpin PN bersama akar umbi di Sabah pada 9 September 2020 dan pengenalan logonya juga di Sabah sehari kemudiannya, PN menunjukkan impak besar yang dibawanya dalam politik Malaysia bermula daripada 29 calon yang diletakkan olehnya dalam pilihan rya negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020.

Walaupun Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, adalah perdana menteri, tetapi PN bersederhana dalam PRN Sabah dengan hanya meletakkan calon di 29 kerusi, iaitu 19 melalui Bersatu, 8 melalui STAR dan 2 melalui SAPP, berbanding Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon di 41 kerusi, iaitu 32 melalui Umno, 5 melalui PBRS dan 4 melalui MCA.

Keputusan PRN Sabah memberikan kemenangan moral kepada PN apabila ia menunjukkan jenama PN, walaupun lebih baru, adalah lebih laku berbanding jenama BN yang lebih lama memandangkan peratus kemenangan calon PN, iaitu 58.6% (menang 17 daripada 29 kerusi), mengatasi peratus kemenangan calon BN, iaitu 34.1% (menang 14 daripada 41 kerusi).

Keputusan PRN Sabah, yang selari dengan dapatan kaji selidik Dr Arnold Puyok dari SEEDS pada 21-24 September 2020 bahawa BN mengalami kehilangan 10% sokongan manakala PN mengalami pertambahan 10% sokongan dari kaji selidik pertamanya, lebih memberangsangkan lagi bila Adun PN, iaitu Hajiji Md Noor, dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah baru.

PN telah mengorak langkah bagi mengukuhkan kedudukannya dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 9 November 2020 bersetuju menubuhkan badan perhubungan negeri bagi menyelaraskan aktiviti parti di peringkat negeri di samping melantik Azmin Ali sebagai pengarah pilihan raya dan Khairil Nizam Khiruddin sebagai ketua Pemuda PN.

Penubuhan Badan-Badan Perhubungan Negeri yang menyaksikan wakil Bersatu dilantik mengetuai Johor, Selangor, Perak, Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Wilayah Persekutuan manakala PAS dilantik mengetuai Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis ini dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 5 Januari 2021

Komitmen PN kepada penyatuan ummah dan perpaduan nasional pula terserlah bila Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 1 Disember 2020 bersetuju mencadangkan pembentukan sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh semua ketua-ketua parti kerajaan PN sebagai platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan PN dan mengukuhkan kerjasama antara parti.

Cadangan pembentukan majlis presiden ini dipersetujui oleh mesyuarat antara ketua-ketua parti dalam kerajaan PN, yang menyaksikan kehadiran 13 ketua dan wakil ketua parti, pada 17 Disember 2020 yang malah turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Begitupun, di sebalik pembentukan majlis presiden ini, dan di sebalik pengukuhan PN melalui penerimaan masuk Gerakan sebagai tambahan kepada Bersatu, PAS, STAR dan SAPP pada 11 Februari 2021, masalah kelihatan mula timbul dalam kerajaan PN dengan kemunculan sepucuk surat dari Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, pada 26 Februari 2021.

Di dalam surat tersebut, Zahid memaklumkan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 19 Februari 2021 di Janda Baik, Pahang bahawa Umno tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN hanya akan diteruskan oleh Umno sehingga pembubaran Parlimen.

Begitupun, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 4 Mac 2021, walaupun tetap memandang serius terhadap kandungan surat tersebut, memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan Bersatu dalam PN berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang.

Selaras dengan hasrat ini, Muhyiddin Yassin, sewaktu berucap dalam Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Gerakan pada 13 Mac 2021 menyatakan betapa “PN adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia” dan “PN komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat seluruhnya”.

Selain penegasan “PN is offering a New Deal to all Malaysians”, turut dinyatakan adalah keyakinan Muhyiddin Yassin bahawa “dengan kesungguhan kita memenuhi aspirasi rakyat untuk Malaysia yang lebih baik, serta kesatuan dan perpaduan yang kita capai antara parti-parti komponen, PN akan menjadi gabungan parti politik pilihan utama rakyat Malaysia.”

Tawaran baru PN ini terus sahaja disambut oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang menulis pada 25 Mac 2021 mengenai matlamat PN “untuk melaksanakan agenda perpaduan ummah yang majmuk sebagai tawaran baharu kepada rakyat Malaysia, berkonsepkan Islam memimpin tanpa menghapuskan kewujudan pelbagai agama dan bangsa”.

Ditegaskan oleh Abdul Hadi Awang betapa “PAS memulakan langkah terkini dalam menegakkan perpaduan umat Islam dan bukan Islam dalam PN, dengan menolak fahaman fanatik, ekstrem, liberal yang tidak kuat pegangan agama dan bersikap oportunis” dan disertakan dengan huraian ciri berintegriti dan berkebajikan yang PAS dan PN perjuangkan.

Pengukuhan PN diteruskan lagi oleh pertemuan kepimpinan tertinggi Bersatu dan PAS pada 30 Mac 2021 bagi merangka halatuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam PN di mana Bersatu dan PAS bersetuju menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan halatuju parti khusus bagi menghadapi PRU 15.

Turut diputuskan dalam pertemuan ini adalah Bersatu dan PAS “sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk serta bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut” selain “menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15”.

Imej baik PN terus terserlah melalui ucapan Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agung MIC Ke-74 yang menjanjikan keinklusifan: “Tidak ada sesiapa pun yang akan ketinggalan dalam menikmati hasil kemajuan dan pembangunan negara. Ini termasuklah masyarakat India di negara ini walau apa jua taraf hidup anda dan di mana jua anda berada.”

Tidak hairanlah maka dalam ucapan sama Presiden MIC, Vigneswaran Sanasee, menyatakan terima kasih MIC kepada Muhyiddin Yassin kerana telah memberi ruang kepada pemimpin MIC untuk berkhidmat sebagai menteri dan senator serta untuk berbincang mengenai masalah masyarakat India selain menyatakan sokongan MIC kepada kerajaan PN.

Turut memberangsangkan kepada PN adalah sambutan luar biasa yang diberikan oleh pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Abang Johari Openg ke atas delegasi Muhyiddin Yassin serta sokongan padu GPS kepada kerajaan PN semasa lawatan rasmi beliau ke Sarawak pada 1 hingga 2 April 2021.

Persetujuan PN pada 3 April 2021 untuk menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat bagi membantu GPS memenangi PRN Sarawak, selain komitmen kerajaan PN untuk lebih menjaga kebajikan Sarawak dan Sabah, pastilah akan memantapkan lagi kerjasama politik antara PN dan parti-parti politik di kedua-dua negeri di masa hadapan.

Berdasarkan perkembangan mutakhir yang menunjukkan pengukuhan PN manakala dua gabungan parti-parti politik lain yang dijangka menjadi saingan kepada PN, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan BN, terus dilanda masalah berterusan, termasuklah di dalam mendapatkan sokongan Sarawak dan Sabah, dijangkakan masa depan PN dalam PRU15 adalah amat cerah.

Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.