- Iklan -
Rencana

Bersatu sokong kerajaan Melayu dan Islam, bukan pecahkan sokongan

Perhimpunan agung luar biasa perlu dipanggil segera untuk membolehkan satu keputusan yang lebih tuntas mengenai hala tuju Umno.

Ibrahim Abu Shah
4 minit bacaan
Kongsi
Perhimpunan Agung Umno 2020 baru-baru ini sebulat suara meluluskan usul parti itu memutuskan hubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Perhimpunan Agung Umno 2020 baru-baru ini sebulat suara meluluskan usul parti itu memutuskan hubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Saya amat tertarik untuk memberi maklum balas berkenaan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 28 Mac baru-baru ini yang telah bersetuju memberi mandat kepada presiden dan Majlis Tertinggi Umno untuk menentukan jeda masa Umno menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Sekali gus dengan itu bergema juga suara pemimpin Umno meminta agar menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri daripada Umno untuk meletakkan jawatan di dalam kabinet Kerajaan PN, begitu juga dengan Pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah (ALP) badan-badan berkanun kerajaan (GLC), bagi disesuaikan dengan keputusan PAU.

Pada pandangan saya, gesaan agar menteri dan timbalan menteri dari Umno untuk meletakkan jawatan di dalam kabinet khasnya, serta kecaman kepada mereka kerana gagal berbuat demikian, merupakan satu tindakan yang sangat tidak waras kerana ini akan menimbulkan banyak implikasi yang negatif kepada negara keseluruhannya

Sudah lebih setahun negara berhadapan dengan wabak penyakit Covid-19 yang memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat. Walaupun dalam keadaan sebegitu, saya melihat masih ada segelintir ahli-ahli politik yang masih berpolitik tanpa mengira kesusahan rakyat di bawah.

Apa salahnya jika ahli-ahli Parlimen bersatu hati menyokong kerajaan pada hari ini sehingga kita dapat menangani masalah Covid-19 ini dengan baik. Apa yang lebih penting sekarang adalah kebajikan rakyat dan peluang-peluang ekonomi yang harus dibuka bagi membantu bukan sahaja anak-anak muda bahkan golongan B40 yang teruk terjejas akibat Covid-19 ini.

Melalui artikel-artikel sebelum ini, saya telah memberi nasihat dan pandangan berkaitan kepentingan untuk ahli-ahli politik Melayu dan Islam bersatu, terutama di bawah pembentukan Kerajaan PN yang merupakan gabungan sokongan Parti-Parti Umno, PPBM dan PAS yang majoritinya adalah terdiri daripada orang-orang Melayu dan Islam.

Sejak dulu lagi saya sudah nyatakan jika sekiranya orang-orang Melayu berpecah maka politik orang Melayu juga akan turut berpecah. Sudah pasti kuasa politik yang sepatutnya dimiliki oleh orang Melayu selaku rakyat majoriti di Negara ini tidak akan sepenuhnya dapat digunakan dengan sebaiknya untuk survival orang Melayu di negara ini bila mereka berpecah.

Pemimpin dan ahli Umno harus sedar bahawa tanpa pembentukan kerajaan PN ini kita mungkin masih bergelar pembangkang dan tidak akan memimpin semula negara ini sepertimana sekarang. Walaupun tidak menjadi perdana menteri tetapi kita dari Umno memiliki sejumlah besar menteri, iaitu seramai sembilan orang, yang berperanan penting dalam mencorakkan hala tuju negara.

Sepatutnya kita dari Umno bersyukur kerana doa kita untuk kembali memimpin negara setelah pemerintahan Kerajaan PH selama 22 bulan, yang telah memberi pengalaman yang amat perit bukan sahaja kepada orang Melayu dan agama Islam tetapi juga telah merosakkan ekonomi, politik dan kestabilan hubungan antara kaum di negara, dimakbulkan Ilahi berkat kesedaran rakan-rakan kita daripada Bersatu yang sedar mengenai kebejatan DAP.

Lebih penting lagi, ahli-ahli Parlimen kita dari Umno diberikan peranan penting di dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 melalui tanggungjawab besar yang diberikan kepada Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan (Keselamatan), Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) dan Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi). Begitu jugalah dengan menteri-menteri lain yang semuanya mempunyai peranan besar dalam pemerintahan negara.

Siapa berani menyatakan portfolio yang diberikan kepada Hishammuddin Hussein (Menteri Luar Negeri), Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi), Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli), Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan), Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) dan Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara) sebagai tidak penting? Pasti tidak ada.

Walaupun kita harus berpijak di bumi yang nyata, namun hari ini Umno bukan lagi mempunyai majoriti malah tidak lagi berkuasa seperti dahulu. Jangan kerana ego dan kepentingan sesetengah individu menyebabkan Umno dijadikan mangsa.

Jika ego dan kepentingan diri begini wujud dalam Umno, kesannya sudah pasti rakyat dan negara akan tergadai semula ke tangan individu-individu yang tidak bertanggungjawab sama seperti PH yang telah memerintah negara selama 22 bulan.

Saya sekali lagi menyeru semua pemimpin-pemimpin politik untuk terus bersatu dan menyokong kepimpinan negara di kala rakyat berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran. Diminta agar semua pihak untuk melupakan seketika sengketa politik dan janganlah semata-mata meletakkan kepentingan diri sebagai perjuangan utama.

Selepas krisis Covid-19 ini selesai, saya pasti rakyat akan merasa berterima kasih dan berbangga di atas segala apa yang telah kita lakukan pada hari ini yang akan dikenang sebagai pengorbanan kita nantinya.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pemimpin-pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan yang akan tetap menjalankan tugas mereka seperti biasa serta tidak menghiraukan tekanan yang diberikan kepada mereka.

Akhir sekali saya amat mengharapkan agar pemilihan parti dapat diadakan dengan kadar segera agar kemelut dan perpecahan dalaman parti dapat dielakkan selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, pada 18 Januari lalu bahawa presiden Umno bersetuju agar pemilihan Umno akan diteruskan di semua peringkat seperti yang dijadualkan pada tarikh yang sesuai tahun 2021 ini.

Masa sama, saya berpendapat kemunculan audio rakaman yang menunjukkan pelanggaran luar biasa seseorang yang suaranya menyerupai suara pemimpin tertinggi Umno ke atas keputusan majlis tertinggi dan ketetapan PAU baru-baru ini memungkinkan perhimpunan agung luar biasa (EGM) perlu dipanggil segera untuk membolehkan satu keputusan yang lebih tuntas dan jelas ke atas hala tuju parti dibincang dan diterima oleh majoriti ahli dan pemimpin Umno.

Profesor Emeritus Ibrahim Abu Shah adalah Pengerusi Yayasan Minda dan Penasihat Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) yang juga merupakan bekas ahli majlis tertinggi Umno.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.