- Iklan -
Kolum

Ke mana hala tuju Umno?

Di tengah jasa-jasa itu, Umno juga menemui banyak kegagalan baik dari segi pembinaan identiti bangsa Malaysia yang bersatu, mahupun pembelaan terhadap orang Melayu.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Perhimpunan Agung Umno hujung minggu lalu menambahkan lagi kekeliruan pada kaca mata sebahagian daripada rakyat yang menyaksikan kemerosotan wibawa ahli dan parti politik di negara ini.

Di satu pihak Umno dilihat menolak Perikatan Nasional (PN).

Dalam perhimpunan itu, kritikan-kritikan pedas dilemparkan kepada kerajaan.

Untuk pilihan raya akan datang, adalah jelas Umno hendak meletakkan calon di semua kawasan yang mereka tanding pada pilihan raya lalu.

Pada pihak lain pula, Umno masih terus mendokong kerajaan PN.

Bukan saja mendokong tetapi menyertai kerajaan dengan adanya kalangan pemimpin mereka berada dalam Kabinet.

Sememangnya ada pernyataan mengenai pendirian rasmi parti itu terhadap kerajaan PN tetapi kenyataan tokoh-tokoh parti itu menambahkan kekeliruan.

Apa yang menambahkan lagi kekeliruan pada zaman ini ialah adanya internet dan media sosial.

Lambakan maklumat menyebabkan juga orang ramai tidak akan dapat fokus terhadap sesuatu isu atau peristiwa.

Kalau dahulu segala mesej terfokus melalui media arus perdana, daripada televisyen hinggalah pada akhbar yang dikawal oleh kerajaan pimpinan Umno.

Tetapi kini maklumat terpecah-pecah dan rakyat tidak akan tertumpu terhadap sesuatu isu dan peristiwa.

Mesej yang diluahkan oleh Umno itu tenggelam dalam lambakan maklumat.

Selain itu, wibawa ahli dan parti politik, bukan saja Umno, sudah merosot pada kaca mata rakyat.

Sememangnya wibawa Umno berada pada peringkat rendah hingga ia kalah dalam pilihan raya umum tahun 2018 tetapi peristiwa politik yang berlaku selepas itu sehingga hari ini bukan saja menjejaskan wibawa Umno tetapi umumnya kepada semua parti politik.

Perkara utama yang menyebabkan kemerosotan ini ialah tindakan ahli politik yang melompat parti hingga membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan dan negeri.

Tidak hairan jika pada pilihan raya akan datang, peratusan orang mengundi mungkin akan merosot kerana rakyat meluat dengan gelagat ahli politik, tidak kiralah parti apa.

Dalam keadaan ini, parti-parti politik pasti bersaing untuk mendapatkan undi daripada rakyat yang masih mahu menunaikan hak mereka sebagai warga negara yang boleh menentukan siapa menjadi kerajaan.

Setakat ini apa yang pasti ialah tiadanya kepastian.

Kalau dahulu, sebelum 2018, kepastiannya adalah Umno terus menerajui kerajaan melalui gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN).

Siapa yang menjadi perdana menteri pastinya pengerusi BN dan presiden Umno.

Tetapi selepas pilihan raya umum 2018, keadaan sudah tidak begitu.

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya itu memecahkan tembok kebal BN.

Walaupun dalam pilihan raya akan datang, PH mungkin tidak dapat kembali berkuasa, tetapi landskap politik sudah berubah. Ia tidak akan kembali pada keadaan seperti sebelum 2018.

Umno masih kuat.

Bilangan ahli Parlimen juga masih banyak.

Begitu juga dengan ahli-ahlinya.

Malah jentera organisasi masih boleh bergerak, tidak lumpuh walaupun tidaklah sekemas ketika mereka menjadi kerajaan dahulu. Dana juga tidaklah semudah seperti zaman itu.

Tetapi lebih utama lagi ialah fahaman perjuangannya masih kuat dan mampu meraih sokongan orang Melayu.

Ia bukan semata-mata jasa parti itu pada masa lalu tetapi perjuangan kebangsaan Melayu masih relevan dan terus mampu mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi muda.

Maksudnya, apa yang menjadi masalah ialah kepimpinan dan ahli-ahli politik Umno yang kurang dipercayai oleh orang ramai.

Pecahan daripada Umno iaitu Bersatu dan Pejuang turut memegang fahaman politik yang sama.

Tetapi mereka adalah parti kecil dan baru serta belum dapat menggembleng ahli dan penyokong untuk mewujudkan jentera hebat seperti Umno.

Sememangnya dalam kalangan penyokong Umno dan BN mengharapkan bahawa parti mereka akan kembali menjadi dominan.

Mereka mengharapkan rakyat memberi peluang kedua kepada mereka.

Jika dapat kembali berkuasa, tentunya ada antara mereka yang berazam untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan lalu.

Umno berbudaya baru yang direformasikan akan dapat diterima pengundi, dan kemudian berupaya memerintah lebih lama lagi.

Biarlah apa yang berlaku pada tahun 2018 menjadi satu pengajaran yang tidak akan diulangi lagi.

Harapan untuk Umno kembali berkuasa menjadi cerah apabila pembangkang sedang kucar-kacir dan tidak bersatu.

Parti pembangkang utama, PKR yang walaupun mempunyai pemimpin yang dikatakan berkarisma iaitu Anwar Ibrahim tidak mempunyai organisasi dan jentera yang sama hebat dengan Umno.

Malah organisasi dan jentera PKR yang menyumbang pada kejayaa PH dalam pilihan raya lalu juga terjejas akibat perpecahan parti itu.

Ini kerana sebahagian PKR kini sudah berada dalam Bersatu.

Perpecahan PKR juga berpunca dari kemerosotan sokongan terhadap Anwar bukan saja dari dalam PKR tetapi dalam kalangan rakyat negara.

Anwar kini tidak sepopular berbanding ketika beliau dipecat dari Umno pada tahun 1998 dan bermulanya gerakan Reformasi.

Sementara dalam PH pun, walaupun secara rasmi mereka mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri, ada saja kalangan dalam DAP dam Amanah yang tidak dapat menerima presiden PKR itu.

Dengan Pejuang, keadaannya adalah lebih jelas. Mereka menolak Anwar.

Tetapi cabaran besar pada PKR dan PH adalah dari segi fahaman politknya.

Mereka menghadapi cabaran untuk meyakini pengundi bahawa PKR dan PH turut mampu membela orang Melayu dalam menghadapi isu-isu berkaitan bangsa dan agama.

Sedangkan soal Melayu-Islam masih menjadi pertimbangan penting bagi sebahagian besar pengundi negara ini.

Tetapi senario bahawa Umno akan kembali sebagai parti dominan kelihatan sebagai satu impian untuk dijadikan hiburan sebelum tidur.

Walaupun soal Melayu-Islam masih menjadi pertimbangan penting bagi pengundi tetapi ia tidak semestinya terus disalurkan melalui Umno.

Parti itu sedar tentang perkara ini.

Sebab itu langkah pertama yang dilakukan selepas pilihan raya umum tahun 2018 adalah mengadakan pakatan dengan PAS yang membawa kepada penubuhan gagasan Muafakat Nasional (MN).

Usaha itu membawa keuntungan pada Umno apabila parti itu memenangi rentetan pilihan raya kecil mengalahkan calon PH.

Tetapi PAS mempunyai cara berpolitik yang tersendiri.

Semasa PH menjadi kerajaan, mereka menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad walaupun menolak PKR, DAP dan Amanah.

Selepas Langkah Sheraton, PAS menyertai PN walaupun Umno menolaknya.

Semasa Perhimpunan Agung Umno, Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut hadir pada acara pembukaan tetapi bergegas meninggalkan dewan apabila ada kalangan Umno mengecam gelagat politik PAS.

Pada pilihan raya umum akan dataang, dijangka berlaku pertandingan tiga penjuru: PH, PN dan BN.

Kemungkinan ada sedikit persefahaman antara PAS dan Umno di kawasan tertentu tetapi tidak di semua tempat.

Pilihan raya akan datang boleh menyaksikan buat pertama kali Umno bertanding sebagai bukan kerajaan.

Sebaliknya, PN mempunyai kelebihan kerana merekalah yang menjadi kerajaan.

Kedua-dua Bersatu dan PAS pula yang akan lebih bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

Dalam kempen pilihan raya nanti, Umno besar kemungkinannya akan cuba meyakinkan pengundi dengan kisah jasa parti itu sejak negara belum mencapai kemerdekaan.

Mereka juga akan mengkritik kerajaan PH dan PN.

Tetapi pengundi juga tahu bahawa Umno dahulu dan sekarang adalah berlainan.

Generasi juga berubah.

Sejarah menyaksikan bahawa di tengah jasa-jasa itu, Umno juga menemui banyak kegagalan baik dari segi pembinaan identiti bangsa Malaysia yang bersatu, mahupun dalam soal pembelaan terhadap orang Melayu.

Wujudnya PKR, Bersatu dan Pejuang memaparkan kegagalan Umno.