Saturday, July 31, 2021

Pak Tunggal

Other News

Mak dan abah aku berkahwin pada tahun 1938 – sebelum Jepun sampai Tanah Melayu.

Ketika mak mengikut abah tinggal di Kampung Chenor, dia ternampak seorang pemuda Cina berada dalam rumah Tok Manaf, mertua kepada mak aku.

Mak aku hairan, dia menyangka pemuda Cina itu tukang buat rumah.

Abah aku memberitahu bahawa pemuda Cina ini ialah anak angkat keluarga. Pemuda Cina ini adik angkat kepada abah aku.

Ketika kali pertama aku mendengar surah bahawa wujudnya seorang pemuda Cina dalam keluarga Manaf, ianya amat menggembirakan.

Aku gembira sendirian kerana lama dahulu rupa-rupanya aku ada pak saudara Cina.

Sebenarnya aku merasa megah kerana ada pertalian dengan anak Cina ini walaupun aku tak pernah berjumpa malah gambar pun tak pernah aku lihat.

Aku hanya mendengar riwayat Ah Meng, nama pemuda Cina ini daripada cerita mulut ke mulut.

Ini menjadi sebahagian daripada kisah dan riwayat cucu cicit Datuk Raja Balang Sahu dan Datuk Dagang Lisut yang diwariskan turun-temurun.

“Pada hari itu….Ah Meng hilang… dia menyorok… ayah dia risau mencari.” Emak aku menyambung cerita setelah meletakkan akhbar Utusan Melayu.

“Apa mak baca?”

“Cerito orang putih nak balik negeri.”

“Klawang ni… takdo orang putih ke nanti?”

Surah Ah Meng dari mak aku dengar ketika aku di Kuala Klawang pada tahun 1955.

Ketika itu kami tinggal di rumah guru Sekolah Kuala Klawang B.

Perang Dunia Kedua baru 10 tahun tamat.

Di rumah inilah juga kali pertama aku kenal api elektrik dan air paip.

Di rumah ini juga emak aku mula memasak dengan dapur minyak api.

Aku ingat lagi dapur kami cap rama-rama.

Di rumah ini kami tidak lagi menggunakan kayu api untuk memasak seperti di dapur rumah guru Sekolah Tapak walau pun ada dapur simen bertungku terpasang.

Sekolah dan rumah guru tidak jauh dari rumah pasung dan kawasan penempatan mata-mata.

Ada sederet rumah banglo kayu di mana beberapa orang tuan mata-mata Inggeris tinggal.

Di atas bukit di belakang rumah pasung ialah rumah Tuan OCPD – juga seorang Inggeris.

Mata-mata Melayu pula tinggal di berek. Rumah teres bertangga batu ada dua blok. Dan dua deret panjang rumah teres atas bumi.

Di Kuala Klawang ini aku selalu ternampak orang putih termasuk perempuan orang putih.

Tuan D.O Orang Putih. Duduk di atas bukit.

Guru besar sekolah Inggeris kerajaan juga adalah orang putih. Perempuan-perempuan orang putih ini pastilah isteri kepada pegawai Inggeris.

Mak aku memanggil perempuan berkulit putih ini “mem”. Apa makna “mem” aku pun tidak tahu.

“Ke mana Ah Meng lari mak?” Aku mahu mak menyambung cerita.

“Dia lari ke tepi kincir… duduk dalam belukar…. semalaman dia tak pulang… ayah dia risau… kemudian jumpa… ayah dia marah… Mak rasa dia kena rotan lagi.”

Aku bayangkan marah seorang ayah terhadap anaknya.

Aku juga bayangkan bagaimana rotan hinggap ke badan Ah Meng.

“Lepas dua tiga hari dia datang lagi… dia jumpa Pak Teh kau… kali ini dia ada bawa baju dan seluar… dia nak lari dari rumah dia.”

“Nak lari ke mana mak?…rumah dia bukan jauh… tepi sungai tu.”

Aku merasa hairan kerana biasa dia lari dari rumah ke satu tempat yang jauh. Ini tidak. Rumah Ah Meng – kalau tak ada pokok dan belukar melindungi akan kelihatan jelas dari rumah Tok Manaf.

Mak aku menyambung surah.

Mengikut mak aku kali ini Ah Meng berkeras tak nak pulang ke rumah ayahnya.

Dia nak tinggal di rumah Tok Manaf. Ayahnya Hock Lim menjadi serba salah. Dia menarik tangan Ah Meng. Ah Meng meronta dan lari.

“Akhirnya ayah dia tinggalkan dia…. Dua tiga hari kemudian ayah Ah Meng pergi ke rumah pasung di Klawang beri tahu OCPD anak dia lari dari rumah.”

“Ah Meng nak kena tangkap ke?”

“Tak… OCPD panggil tok kau dan ayah Ah Meng datang ke rumah pasung… pergi sama-sama … Ah Meng pun ikut sama.”

“Pasal apa pulak ke rumah pasung?” Rumah pasung dan mata-mata membuat aku jadi curiga.

“OCPD nak dengar cerita ayah Ah Meng… kemudian dia dengar cerita tok kau…. orang putih ini macam jadi tuan hakimlah…nak dengar apa berlaku.”

“Lepas tu apa jadi?” Aku tak sabar hendak tahu keputusan hakim.

“Dia dengar cerita dari ayah Ah Meng dan tok kau …. kemudian dia tanya pada Ah Meng… nak duduk rumah siapa… nak duduk rumah ayah sendiri … atau nak duduk rumah orang Melayu.”

“Ah Meng cakap apa?”

“Nak duduk rumah orang Melayu… ini jawab Ah Meng sendiri… dia sendiri buat pilihan.”

“Nak duduk rumah orang Melayu? Orang Melayu mana Mak?”

“Orang Melayu tu… Tok Manaf kau..laaa… Tuan Orang Putih panggil tok kau orang Melayu.”

“Orang putih pandai ke cakap Melayu dengan atok?”

“Ada mata-mata Melayu dan mata-mata Cina yang pandai cakap Orang Putih.”

Mengikut surah mak, sesudah itu Tuan Orang Putih membuat keputusan.

Hock Lim, ayah si Ah Meng menerima keputusan itu. Anaknya sendiri mengatakan yang dia tak mahu lagi pulang ke rumah ayahnya.

Ketika aku mendengar bab ini aku merasa sedih juga.

Ah Meng meninggalkan mak bapak dan adik beradik.

Tapi aku juga sedar bahawa rumah Ah Meng tidak jauh dari rumah Tok Manaf.

Bila-bila masa sahaja, Ah Meng boleh melawat adik dan abangnya.

“Lepas tu tok kau buat kenduri… Ah Meng bersunat… nama pun tukar. Dari Ah Meng kepada Aman… dia masuk Melayu.”

Mendengar perkataan bersunat aku pecah ketawa.

“Dah besar baru nak bersunat….ha..ha.. ha.. dia jadi bin sapo mak?”

“Aman bin Manaf.. anak Tok Manaf lah… adik abah kau… abang kepada Pak Teh Ramli… umur mereka tak jauh sangat.”

Masa berjalan terus. Hidup orang kampung di Chenor diteruskan. Keluarga Tok Manaf bertambah seorang.

Hock Lim terus berkebun di tepi sungai. Musim sawah turun ke sawah.

Musim buah mengutip buah. Kehidupan di Kampung Chenor aman damai.

Suasana aman damai sawah padi dan air kincir Tok Manaf akhirnya terbarai pecah.

Pada 8 Disember 1941, Jepun mendarat di Kota Bahru.

Pada 15 Februari 1942 Inggeris mengaku kalah.

Pentadbiran Tanah Melayu beralih tangan – dari bertuankan Inggeris kini bertuankan Jepun.

Ketika Jepun sampai, mak aku berpindah dari Sekolah Seri Menanti ke Sekolah Tengkek.

Mak, abah dan keluarga Tok Sidek di Kampung Tengah, Kuala Pilah kini terpisah dengan keluarga Tok Manaf di Chenor, Jelebu.

Alam pemisah dua kampung ini hanya bukit-bukau Banjaran Titiwangsa.

Tetapi kini, askar Jepun menjadi kuasa baru yang memisahkan dan mengawal Kampung Chenor dan Kampung Tengah.

Setahun sesudah Jepun sampai, mak aku bersalin lagi.

Tok Wan Rahmah – ibu kepada mak aku menjadi bidan.

Ini anak kelahiran yang ketiga. Seorang bayi perempuan. Anak ini sihat tidak seperti dua anak awal yang meninggal dunia ketika dilahirkan.

Mak dan abah sangat gembira.

Abah aku berbasikal melintas Batu Kikir pulang ke Chenor untuk memberitahu Tok Manaf dan Wan Timah tentang kelahiran anak perempuan yang baru.

Adik beradik abah aku gembira dan berharap anak ketiga ini akan selamat walau pun lahir di zaman Jepun.

“Anak perempuan Abang Andak tu… biar saya beri nama.” Ini permintaan dari Aman adik angkat abah aku.

Nama kakak aku yang baru lahir ini ada surahnya.

Maka aku rujuk kembali dengan tuan empunya nama. Ini untuk aku mengsahihkan hadis.

“Ni nama Kak Ngah. Pak Tunggal yang beri. Khamsiah ni Pak Tunggal yang beri nama.” Ini kata-kata kakak aku.

Aku mendengar kata-kata ini ketika kakak aku menerangkan sejarah dari mana asal-usul namanya.

Khamsiah binti Rais lahir pada 29/9/1942.

Tarikh lahir ini didaftar secara rasmi sesudah Jepun kalah.

“Wan Timah suruh panggil Pak Aman, Pak Tunggal.. Pak Tunggal ni kerana dia tunggal.” Kakak aku menyambung lagi sejarah namanya.

“Pak Tunggal kata, kamsia ini dalam bahasa China ertinya terima kasih… dia minta abah pakai nama ni… ni nama Kak Ngah… abah tulis.. abah tambah jadi Khamsiah.’

Untuk mengsahihkan bunyi Cina dalam nama kakak aku ini aku menelefon Lee Keong.

Kawan lama aku anak watan Cina, Kuala Klawang. Kami sedarjah dari tingkatan satu hingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Undang Jelebu.

“Betul… Isham… kamsia ini bahasa Hokkien…maknanya terima kasih… bersyukur.”

Lee Keong menjadi Dewan Bahasa penterjemah untuk aku.

“Anak perempuan Abang Andak tu… biar saya beri nama.”

Ayat ini sentiasa dalam ingatan keluarga Rais.

Bila aku mendengar surah ini aku merasa hiba. Riwayat ini menusuk hati aku. Lalu aku gambarkan betapa rapatnya hubungan abah aku dengan pemuda Cina Hokkien yang kini dipanggil Pak Tunggal.

Pastilah abah aku begitu sayang dengan adik angkatnya hinggakan nama anak perempuannya diberi nama oleh Pak Tunggal.

Abah aku tidak banyak berkisah tentang Pak Tunggal. Surah dan riwayat ini banyak aku dengar dari mak.

Dari apa yang aku dengar Pak Tunggal cukup selesa menjadi sebahagian dari keluarga Tok Manaf.

Bayangkan Tok Manaf aku ramai anak lelaki. Pastilah Pak Tunggal tak pernah keseorangan. Tok Manaf ada lapan orang anak.

Pak Tunggal ada tiga abang, dua kakak dan dua adik lelaki dan satu adik perempuan.

“Bang Isham… Pak Aman ni paling sayang dan rapat Abah Mi.”

Ini satu lagi kisah daripada sepupu aku Azmi bin Ramli ketika aku mencari dan mengumpul surah tentang Pak Tunggal.

Aku amat yakin tentang betapa rapat dan intimnya Pak Tunggal dengan Pak Teh Ramli ayah kepada Azmi ini.

Ketika aku menulis kembali babak ini air mata aku berlinang. Inilah surah dan ayat-ayat yang paling susah untuk aku rakamkan.

Ketika aku mengetik babak ini semuanya cerah seperti ianya sedang berlaku di hadapan mata aku.

Seperti aku sedang menonton wayang. Babak demi babak tergambar di hadapan mata aku.

Pada tahun 1942 pekan Kuala Klawang bukan lagi di bawah jagaan Tuan Inggeris dan memnya.

Kini pentadbiran Jelebu diambil alih oleh Jepun. Rumah Pasung Kuala Klawang yang dulunya diduduki oleh Inggeris kini diduduki Jepun.

Di tepi pekan Kuala Klawang tak jauh dari Sungai Klawang ada sebuah panggung.

Kali pertama aku melihat wayang panggung ialah dalam Ruby Theatre ini.

Kenapa nama Ruby aku pun tidak tahu. Aku dibesarkan oleh wayang dari Panggung Ruby.

Panggung Ruby ini untuk aku amat bersejarah.

Selain memperkenalkan aku kepada seni lakon dan seni wayang Ruby Theatre ini ada pertalian rapat dengan keluarga Tok Manaf.

Pada hari itu, di hari itu Pak Tunggal telah mengajak Pak Teh Ramli turun berbasikal ke pekan Kuala Klawang.

Tujuan mereka ialah untuk menonton wayang di Panggung Ruby. Wayang yang nak ditonton pastilah filem propaganda Jepun.

Pak Tunggal dan Pak Teh Ramli masuk menonton waktu petang. Ramai juga anak-anak muda Melayu dari sekitar pekan Kuala Klawang datang untuk melihat wayang Jepun. Bukan nak dengar propaganda Jepun tapi nak melihat wayang.

Tidak sampai satu jam wayang pun habis. Pintu dibuka. Ketika masuk ke dalam panggung ada dua pintu dibuka.

Petang ini ketika hendak keluar hanya pintu hadapan dibuka.

Pak Tunggal dan Pak Teh Ramli tidak menyangka apa apa sedang menunggu.

Di tepi pintu siap siaga berdiri empat tentera Jepun.

Mereka lengkap bersenjata. Mata mereka memandang memilih-milih dan memerhatikan muka-muka para penonton yang keluar. Bukan ramai penonton, tak sampai 20 orang.

Tiba-tiba di tepi pintu, Pak Tunggal dipegang tentera Jepun.

Pak Tunggal ditarik ke satu sudut.

Pak Teh Ramli aku mengikut kerana ini abangnya dipegang soldadu Jepun.

Jepun menolak Pak Teh Ramli dan menghalang dari mengikut Pak Tunggal. Pak Teh masih berdegil. Dia mengikuti Pak Tunggal yang kini diapit oleh dua tentera Jepun.

“Nihongode mae ni susumu.” Tentera Jepun memberi arahan. Pak Teh Ramli aku tak faham.

“Pak Tunggal .. Pak Tunggal…” Ini sajalah jeritan kata kata akhir yang dilafazkan oleh Pak Teh Ramli aku pada petang itu.

Air mata Pak Teh aku menitis ketika melihat Pak Tunggal dimasukan ke dalam lori oleh tentera Jepun.

Pak Teh aku tidak tahu apa yang wajib dilakukan. Tak ada siapa datang membantu. Semua penonton lari berkeliaran menyelamatkan diri daripada pedang Jepun.

Pak Teh mengambil basikal dan mengayuh pulang ke Kampung Chenor. Dia sampai ke rumah hampir senja.

Berita Pak Tunggal ditangkap Jepun merebak. Tok Manaf gelabah dan tidak tahu apa yang wajib dilakukan.

Keluarga Tok Manaf terperanjat. Malam itu ketika sembahyang mereka berdoa agar Pak Tunggal selamat.

Esoknya pagi-pagi lagi Tok Manaf berbasikal ke Kuala Klawang.

Tempat yang dituju ialah ibu pejabat Jepun. Di bilik pejabat yang sama di mana beberapa tahun dahulu Tok Manaf, Hock Lim dan Ah Meng bertemu dengan Tuan OCPD Inggeris.

“Tok kau menerangkan pada Jepun… yang kena tangkap itu anak dia… dia rupa Cina… tapi dia anak Orang Melayu…. Tok kau berkeras juga pada Jepun.”

Baru aku sedar Jepun menangkap Pak Tunggal kerana dia rupa Cina.

“Tok Manaf kau menerangkan pada Jepun … Pak Tunggal ini cucu kepada Datuk Dagang Lisut dan Raja Balang Sahu…. orang besar di Jelebu… Jepun faham.”

“Apa jadi lepas tu…” Aku tak sabar nak tahu apa yang terjadi pada Pak Tunggal.

“Jepun tu minta maaf… dah salah tangkap… Aman bukan Cina …tapi Aman dah dibawa ke Seremban… lepas kena tangkap di Panggung Ruby… dia terus diangkut dengan lori ke Seremban.”

Air mata aku menitis setiap kali surah ini hadir dalam ingatan aku.

“Esoknya tok kau pergi ke Seremban ….masa itu bukan ada kereta… naik kereta lembu… sehari suntuk baru sampai… cari Aman di Seremban… tiga empat hari tok kau mencari di Seremban… Jepun kata dah hantar ke Kuala Lumpur.”

Di saat ini aku senyap tidak bersuara. Aku hanya berupaya mendengar nafas sedih aku sendiri.

“Wan Timah kau menangis… Mak Chu Busu.. masa tu dah masuk umur empat tahun menangis .. dio hilang abang…Pak Cik Jala kau pun sedih sama…. Pak Teh Ramli kaulah sedara kita yang akhir melihat Aman…. Pak Teh kau paling sedih… abah dan mak tak tahu semua ni… kito semua di Kampung Tengah… lepas Jepun kalah baru tahu semua cerita.”

“Dia hilang ke mana mak.. pasal apa tok tak jumpa…” Aku bertanya lagi.

“Kemudian ada keluar cerita.. ramai orang ditangkap Jepun… dibawa ke Siam… buat jalan kereta api ke Burma… orang panggil Kereta Api Maut… Pak Aman kau dibawa ke sana oleh Jepun.”

“Lepas perang abis … dia tak pulang ke… mak?”

Mak aku senyap tidak menjawab. Mata emak aku memandang jauh. Mungkin mengingat semula hari di mana dia ternampak pemuda Cina yang dianggapnya tukang rumah.

Hari ini kata-kata Pak Tunggal pada abah aku “anak perempuan Abang Andak tu… biar saya beri nama” sentiasa dalam ingatan keluarga Rais Manaf.

Epilog:

British datang mentadbir Tanah Melayu sekali lagi sesudah Jepun kalah perang.

Nama-nama mereka yang hilang di zaman Jepun diselidik.

Nama Aman bin Manaf adalah antara ratusan nama yang tercatit hilang dan tidak ditemui.

Pentadbiran Inggeris memberi surat watikah kepada keluarga Manaf di atas kehilangan Aman bin Manaf.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Selamat berlayar

Nona Singapura

Sabtu dan naik haji

Lagi kisah budak kerbau