- Iklan -
Rencana

Zahid Hamidi caca merba

Ucapan Zahid Hamidi selaku presiden Umno yang dilihat mewakili pimpinan Umno 'kluster mahkamah' tidak memiliki hala tuju.

Mohd Ashraf Mustaqim
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno, Zahid Hamidi bersama Timbalan, Mohamad Hassan selepas menaikkan bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Presiden Umno, Zahid Hamidi bersama Timbalan, Mohamad Hassan selepas menaikkan bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ahmad Zahid Hamidi kata Umno perlu jajaran baru. Tapi tak mahu bekerjasama dengan Bersatu. Dalam pada Umno telah dibawa ‘sikit-sikit’ mula berkhalwat dan ‘ringan-ringan’ bersama DAP dan Anwar Ibrahim.

Namun si Presiden Umno yang mempunyai 87 kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa jelas bersifat bacul untuk mengakui hubungan haram beliau dengan Anwar Ibrahim, dikatakannya “No DAP, No Anwar” dengan terpancar riak dalam keterpaksaan.

Ucapan Zahid Hamidi selaku Presiden Umno yang mewakili pimpinan Umno “kluster mahkamah” jelas tak ada hala tuju! Umum maklum penolakan ke atas Bersatu yang dipelopori Zahid dan Najib Razak adalah kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak mahu melayan permintaan untuk campur tangan dalam urusan mahkamah melibatkan kedua tertuduh ini.

Lantas mereka mencipta naratif bahawa Bersatu telah menerima kemasukan ‘orang Umno’ untuk dijadikan alasan penolakan ke atas Bersatu. Saat awal sokongan ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tanpa syarat melainkan secara ‘en bloc’. Kluster mahkamah tipu lagi!

Nah! Sedang Bersatu yang menyahut secara bersama seruan pengukuhan hala tuju orang Melayu atas nama Perpaduan Ummah, Umno kluster mahkamah-lah yang menjadi tunjang pemberontakan atas kepentingan peribadi dan hanya beromongan kosong saban hari, saat tutur bicara dalam kalangan mereka yang melaungkan penyatuan Melayu dan hala tuju bangsa ternyata hipokrasi semata.

Buktinya pada Perhimpunan Agung Umno, inti ucapan dasar presiden adalah menjurus kepada perpecahan dan ugutan, malah tidak sedikitpun membincangkan hala tuju atau agenda bangsa Melayu, berbeza dengan Perhimpunan Agung Bersatu yang banyak membincangkan soal penyatuan dan hala tuju orang Melayu.

Umno di bawah Zahid dan kluster mahkamah bukan lagi menunjukkan ciri sebuah parti yang membela bangsa, melainkan pemecah bangsa dan gila kuasa! Merosakkan kesatuan Melayu, dan cubaan menggagalkan agenda pemerkasaan sosio-ekonomi Melayu dan Masyarakat Malaysia yang diusahakan kerajaan Perikatan Nasional menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Maka diseru segala gerombolan berperangai ‘pak angguk’ seperti sebahagian perwakilan yang meraikan sorak sorai ucapan presiden Umno yang serba haru biru.

Perwakilan Pemuda Umno yang bertempik berteriak tanda sokongan saat Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi memperlekeh, merendah-rendahkan dan cuba memperburuk rakan penyatuan ummah dari PAS. Lagi bukti hipokrasi pimpinan Umno pro kluster mahkamah.

Sedang ramai dalam kalangan pimpinan dan akar umbi Umno yang jelas dan sepakat perihal penyatuan parti Melayu. Naratif yang turut dimulakan sendiri melalui PAS dan Umno atas nama ummah.

Tetapi ternyata ia adalah cubaan menyelamatkan diri kerana salah laku dan mengkhianati gagasan besar selepas ditunjangi Zahid dan konco kluster mahkamahnya.

Persoalannya, kalau No DAP, No Anwar (konon) & No Bersatu (dan PAS), gamaknya inilah masa Umno jalan sendiri sebagai satu-satunya parti abang kepada segala abang, tok ayah kepada segala tok ayah.

Dah ‘terrer’ sangat bertanding sajalah 222 kerusi parlimen biarpun berkali-kali Bersatu sua tangan untuk buka ruang atau kembali ke meja rundingan. Keangkuhan yang dipelopori kluster mahkamah pasti akan membawa Umno kepada kehancuran.

Mohd Ashraf Mustaqim adalah ketua penerangan Armada

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.