- Iklan -
Kolum

Faham-faham sahajalah keputusan PAU

Fokus ucapan berkisar kepada nostalgia kononnya Umno masih "abang besar" dalam politik Malaysia.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Perhimpunan Agong Umno (PAU) berakhir dengan kesudahan yang tidak berkesudahan.

Fokus ucapan berkisar kepada nostalgia kononnya Umno masih “abang besar” dalam politik Malaysia.

Umno tidak lagi berada di persimpangan jalan. Ia kini tiba di penghujung jalan.

Di depannya ada sungai, dan di sebelah sungai adanya bayang-bayang PKR yang turut menuntut kerusi perdana menteri.

Di belakangnya ada jambatan yang dibina bersama PAS yang tersambung dengan Bersatu.

Jambatan ini selamat untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tetapi semasa PAU, Umno memberikan bayangan bahawa jambatan ini ingin dibakarnya serta-merta.

Umno membuat keputusan Barisan Nasional (BN) akan bertanding bersendirian.

Umno turut menuntut PAS untuk menyatakan pendirian, sama ada memilihnya atau Bersatu.

Umno tetap memutuskan hubungan dengan Bersatu dan tidak mengizinkan PAS berkawan dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.

Sebenarnya PAS sudah berulang kali membuat keputusan untuk bersama Umno.

Umno sahaja yang belum membuat keputusan mahu bersama PAS atau tidak.

PAS tidak meletakkan syarat mahupun memberi kata dua kepada Umno meskipun timbul surat menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

Tetapi Umno ingin mencampuri urusan PAS untuk berkawan dengan pihak lain.

Begitulah ego abang besar yang ditunjukkan.

Semasa PAU, ada mana-mana pimpinan yang berbicara mengenai soal strategi untuk menang PRU15?

Yang diutarakan ialah Umno mahu memutuskan hubungan dengan Bersatu dan juga PAS, sekiranya parti Islam itu terus bersama Perikatan Nasional (PN).

Yang tidak dibicarakan ialah bagaimana strategi ini menguntungkan Umno dan BN.

Mampukah BN memenangi 112 kerusi tanpa parti-parti komponen di Sarawak dan Sabah? Mampukah Umno menang 80 kerusi berdepan tiga penjuru dengan PN dan Pakatan Harapan(PH)?

Mampukan MCA dan MIC membawa undi untuk memenangkan BN?

Jawapan semuanya ada di depan mata.

Umno menggelarkan dirinya sebagai parti induk.

Tetapi strategi bertanding bersendirian menjauhkan mereka daripada kerusi perdana menteri ataupun menjadi parti terbesar di dalam kerajaan.

Apakah semua tindakan ini adalah untuk memenuhi harapan beberapa orang kepentingan agar jajaran politik baru dapat dibentuk selepas PRU15?

Mengapa persoalan ini penting?

Ini kerana hanya dengan itu, tawar-menawar dapat dijalankan ketika pembentukan kerajaan selepas PRU15 termasuklah jumlah kerusi Kabinet, portfolio menteri dan mungkin juga permintaan untuk pengampunan Diraja.

Yang pasti, bukan demi rakyat, ataupun Umno mahupun BN.

Jadi, semua ini demi siapa?

Faham-faham sahajalah.