- Iklan -
Rencana

Dakwaan Johari Abdul Ghani dangkal dan tidak bertanggungjawab

Adun Seberang Jaya mendakwa perbahasan Johari Abdul mengelirukan dan tidak berasaskan fakta dan data yang tepat.

Dr Afif Bahardin
3 minit bacaan
Kongsi
Malaysia di tempat keempat di antara 17  ekonomi dalam penilaian yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai  pusat pengilangan; meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara di Asia  seperti China, Jepun, Vietnam dan India.
Malaysia di tempat keempat di antara 17  ekonomi dalam penilaian yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai  pusat pengilangan; meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara di Asia  seperti China, Jepun, Vietnam dan India.

Menjawab pertuduhan dan kecaman Johari Abdul Ghani, pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di dalam ucapan  perbahasan beliau semalam, ternyata hujah yang dikemukakan adalah mengelirukan dan tidak berasaskan fakta dan data yang tepat tentang  prestasi pelaburan asing negara. 

Menurut laporan The United Nations Commission on Trade and Development  (Unctad), aliran pelaburan langsung asing (FDI) antarabangsa telah  mencatatkan penurunan sebanyak 42 peratus iaitu daripada AS$1.5 trillion pada 2019 kepada AS$859 billion pada 2020. Namun, prestasi pelaburan asing negara perlu melihat kepada keupayaan negara menarik FDI dari sudut  gross FDI inflows di mana menampakkan peningkatan sejumlah 5.8 peratus  kepada RM 108.3 billion pada Januari – September 2020, meskipun negara  mendepani cabaran persekitaran ekonomi global yang sangat mencabar  berikutan penularan wabak pandemik Covid-19. 

Peningkatan prestasi pelaburan langsung asing ini merupakan cerminan kepada 4,599 projek pelaburan berimpak tinggi yang telah diluluskan dalam  sektor perkilangan dan perkhidmatan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM164 billion pada tahun 2020.

Beliau telah memetik angka-angka dan statistik yang dilihat tidak menyeluruh dan “selective” dengan niat untuk memperkecilkan usaha dan langkah-langkah  yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional khususnya menerusi  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dipimpin oleh Mohamed Azmin Ali dalam usaha mencerdaskan semula aktiviti  perdagangan dan pelaburan negara bagi memperkukuhkan prestasi ekonomi  negara. 

Sekali lagi dakwaan beliau bahawa negara tidak mempunyai “competitive  advantage” dengan negara-negara serantau adalah bersandarkan fakta yang  tidak jelas dan selektif bagi mengaburi usaha Kerajaan dalam  memperkukuhkan ekosistem pelaburan negara. DHL Global Competitiveness  Index (GCI) 2020 telah meletakkan Malaysia di tangga kedua di antara  negara-negara Asia Pasifik dan keenam belas (16) dari 169 negara untuk  hubungan perdagangan.

Kajian bersama oleh KPMG dan The Manufacturing  Institute di AS yang bertajuk ‘Cost of Manufacturing Operations around the  Globe’ juga meletakkan Malaysia di tempat keempat (ke-4) di antara 17  ekonomi dalam penilaian yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai  pusat pengilangan; meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara di Asia  seperti China, Jepun, Vietnam dan India. Tambahan pula, Malaysia berada  pada kedudukan ke-12 dalam senarai Doing Business 2020 Bank Dunia dan  ke-27 dalam Daya Saing Dunia IMD 2020. 

Penarafan kedudukan ini oleh badan-badan antarabangsa membuktikan  bahawa Langkah-langkah yang sedang dijalankan berada di landasan yang  tepat untuk meningkatkan lagi daya saing Malaysia bagi mempromosikan  pelaburan dan mempercepat pembangunan ekonomi negara. 

Selaku bekas menteri kewangan II dan ahli Parlimen yang ditolak dalam pilihan raya lalu kerana skandal 1MDB, beliau harus lebih tahu tentang  situasi kini yang dihadapi oleh negara dalam mendepani krisis ekonomi global  yang kian mencabar. Beliau tidak harus menipu diri sendiri dan sepatutnya  keluar daripada tempurung untuk melihat dan mendalami visi strategik kerajaan dalam memajukan agenda pembangunan ekonomi negara pada  masa hadapan.

Aspirasi kerajaan Perikatan Nasional adalah memastikan negara Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, “high-income nation” dalam  tempoh 5 tahun mendatang. Usaha ini menuntut kebijaksanaan pentadbiran  negara pada hari ini untuk bersikap selektif dalam memastikan projek-projek  pelaburan asing ke dalam Malaysia adalah berimpak dan bernilai tinggi dan  merangkumi elemen berteknologi tinggi sejajar dengan transformasi digital  dan revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang pada akhirnya akan mewujudkan  peluang-peluang pekerjaan baharu yang berkualiti untuk ditawarkan kepada  rakyat.  

Apakah beliau mahu negara kita menjadi “dumping ground” akibat menerima  segala bentuk projek pelaburan asing yang tidak berkualiti dan bermanfaat  kepada agenda pembangunan ekonomi negara? Adakah kita mahu  berterusan bergantung kepada kemahiran tenaga buruh asing untuk  mempelopori dalam projek-projek pelaburan yang tidak berimpak tinggi  seperti mana yang berlaku di bawah pentadbiran Barisan Nasional terdahulu. 

Saya menasihatkan kepada beliau untuk tidak meneruskan amalan dan tabiat  beliau dari dulu yang terus mahu berbohong dan mengelirukan rakyat dengan  berkongsi fakta-fakta separa benar dan menidakkan segala usaha dan ikhtiar  Kerajaan bagi mencerdaskan semula prestasi pelaburan dan ekosistem  ekonomi negara dalam mendepani cabaran ekonomi global dan krisis  pandemik Covid-19.

Afif Bahardin adalah Adun Seberang Jaya yang juga merupakan timbalan pengerusi Biro Penerangan Bersatu

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.