Tuesday, April 20, 2021

Minari: Kangkung di Amerika

Tidak mustahil Minari akan meraih satu atau dua Oscar iaitu sebagai satu mesej politik dan sosial Hollywood bahawa representasi Asia juga mustahak.

Other News

Minari dari bahasa Korea bermaksud seleri air.

Akan tetapi mungkin juga ia semacam kangkung untuk kita di sebelah Asia Tenggara.

Maka apabila minari digunakan sebagai judul, sekaligus lambang untuk sebuah filem, maka kita dengan segera mengetahui; mesej asalnya adalah untuk mengingatkan khalayak tentang ketahanan, dan tentang kebolehdayaan hidup meskipun berdepan rintangan.

Minari, sebuah filem Amerika dengan bahasa Korea kini mendapat perhatian ekoran tercalon untuk beberapa anugerah Oscar.

Minari antara lain dicalonkan bagi kategori pelakon lelaki terbaik menerusi Steven Yeun (terkenal dalam drama The Walking Dead) dan pelakon pembantu wanita menerusi Youn Yuh-jung.

Selain itu, Minari turut tercalon dalam kategori filem terbaik, pengarah dan lakon layar terbaik diwakili oleh Lee Isaac Chung.

Minari sudah pun memenangi gelar filem asing (bukan bahasa Inggeris) terbaik di Anugerah Golden Globe.

Ini adalah pertama kali, rakyat Amerika keturunan Asia diberi perhatian sedemikian rupa.

Sebelum ini mereka hanya selalu menjadi sendalan dalam banyak filem dan drama.

Ada kemungkinan riuh Parasite yang memenangi filem terbaik di Anugerah Oscar 2020 membuka jalan untuk Minari.

Mungkin juga kerana salah seorang eksekutif produsernya adalah Brad Pitt.

Sebetulnya Minari adalah sebuah filem Korea gaya biasa untuk kita yang sudah terbiasa menonton filem dan drama Korea, malah terdapat banyak lagi filem Korea yang jauh berbekas.

Akan tetapi apabila sebuah filem Korea, yakni dengan semua rencah filem Korea diletakkan dengan latar Amerika Syarikat, ia segera menyebabkan elitis seni di Hollywood (dan asalnya di Sundance) segera jatuh hati.

Ia mengisahkan sebuah keluarga Korea generasi pertama yang berpindah dari California ke hulu Arkansas.

Niat sang bapa, Jacob Yi adalah untuk berladang.

Dia membeli tanah 50 ekar (yang tidak dijelira oleh siapa pun) untuk ditanami sayur-sayuran yang akan menjadi lauk-pauk jeruk dan makanan orang Korea di Amerika (secara tepat Oklahoma).

Dia membawa sama dua orang anaknya, si kakak yang sudah diberi nama Amerika, Anne; dan adik lelakinya David yang kebetulan ada penyakit jantung berlubang.

Jacob mengimpikan sebuah cita-cita agar tidak perlu lagi bekerja menyelak buntut anak ayam untuk membezakan jantinanya.

Monica (lakonan Han Ye-ri) bukan tidak tahan dengan jalan dipilih suaminya, tetapi Monica berasa gerun akan masa depan yang tiada menentu.

Mereka bekerja keras dan membanting tulang siang malam.

Saat semuanya berubah apabila ibu Monica, Soon-ja (lakonan Youn Yuh-jung) diterbangkan dari Korea untuk menjaga anak-anak mereka.

Selain tidak disenangi David, Soon-ja mendadak menjadi beban apabila tidak memahami nilai Barat, mengakibatkan bangsal ladang Jacob terbakar, dan ditakdirkan jatuh sakit.

Filem ini tidak ada watak antagonis yang real.

Perbalahan antara Jacob dan Monica terasa tegang sekali.

Air mata yang lumrah dalam filem Korea ditampilkan dengan latar ladang Arkansas yang kasar.

Di satu ketika, keyakinan asal Jacob bahawa “ini adalah tanah terbaik di Amerika” demikian tergugat kerana dia gagal memahami atau menimbangi kearifan lokal masyarakat tani Barat yang ada cara tersendiri dalam menentukan sumber air, mahupun mendedikasi diri kepada agama.

Christina Oh sebagai penerbit bijak menggunakan rencah Korea, dia ikut menyelitkan Will Patton (si gila-gila dari Armageddon).

Apabila Jacob mengajar anaknya tentang peranan seorang lelaki (dan untuk mewajarkan pilihan yang dilakukannya iaitu masuk ke pedalaman Arkansas), dia menghujahkan anak ayam jantan tiada banyak gunanya.

Kalau tidak seperti ayam, lelaki harus berguna.

Di tengah puting beliung, terdapat perkelahian Jacob dan Monica; satu metonimi yang mengesankan.

Ia menunjukkan keributan.

Untuk dijadikan pedoman oleh keluarga tani yang ternyata konservatif ini, lukisan di tengah rumah (beroda) mereka terpapar Jesus yang menggembala kambing.

Di celah lubuk yang menjadi rahsia David, Anne dan neneknya; minari atau kangkung ditanam dan dibiarkan menjalar dan merebak subur.

Setiap momen yang boleh, formula Korea disogokkan.

Tentu emosi melankolia, dan bahasa kesat nenek yang suka mencarut dengan senda gurau zakar yang rosak (kerana cucunya kencing malam); atau David yang memperdayakan neneknya agar minum air kencing.

Lakonan yang begitu kuat sebagai Soon-ja oleh Youn Yuh-jung amat membayangi Steven Yeun itu sendiri.

Di saat neneknya bangun pagi terkencing di atas kasur dan menyedari dirinya dilanda strok (selepas di malam hari menenangkan cucunya mengenai syurga neraka), Soon-ja ikut mengakibatkan bangsal menantunya terbakar.

Padahal beberapa jam sebelum itu, Jacob baru saja beroleh satu janji niaga sulung untuk menjual sayuran ladangnya kepada sebuah kedai runcit Asia.

Demikian duka, dan rasa tidak berguna; Soon-ja cuba melarikan diri.

Beban lakonan yang diletakkan ke atas bahu Youn Yuh-jung dibawa dengan baik sekali memandangkan beliau memang seniwati Korea yang terkenal dan dihormati.

Malah tidak mustahil Glenn Close (dalam filem Hillbilly Elegy) akan dikecewakan sekali lagi, kali ini oleh orang asing yang datang entah dari mana.

Dalam masa yang mencabar buat masyarakat keturunan Asia di Amerika ekoran kebencian mendadak golongan ketuanan kulit putih terhadap mereka, Minari hadir mengingatkan bahawa orang Asia yang berhijrah ke Amerika juga punya sumbangan, dan peranan.

Bahkan mimpi Asia di Amerika juga sama penting seperti impian masyarakat lain.

Tidak mustahil Minari akan meraih satu atau dua Oscar iaitu sebagai satu mesej politik dan sosial Hollywood bahawa representasi Asia juga mustahak.

Filem Minari ini hanya sekitar dua juta dolar sahaja bajetnya.

Ia mengimpikan Oscar tidak dengan puteri entah dari gunung mana, juga tidak dengan naratif kelalut merong mahabangga.

Malaysia boleh menempah tiket ke gedung filem dunia itu dengan sederhana.

Kisah drama keluarga, atau rencah telenovela petang-petang yang ditambah baik.

Asalkan naratifnya jangan merapu, lojik, dan didokong oleh lakonan yang munasabah berkesan.

Akan tetapi itulah, pembikin filem kita. Suka mengada-ada sehingga tiada.

Minari mengutus mesej bahawa ia adalah satu tumbuhan yang berkebolehan, ia adalah sejenis sayur yang boleh hidup meskipun dlemparkan di paya kecil melawan musim dan cuaca.

Sayuran tomato terung yang tidak dapat diselamatkan oleh kebakaran bangsal itu rupanya tergantikan oleh kangkung atau minari yang serentak menjadi simbol orang Korea.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles