Wednesday, April 21, 2021

Mengapa hanya golongan miskin perlu berkorban?

Katanya, nyawa amat berharga tetapi beliau fikir kita perlu tanya, siapakah yang menanggung kos ekonominya.

Other News

Dalam satu wawancara, ahli kuantum fizik, Carlo Rovelli berkata langkah berkurung di rumah yang berjaya menyelamatkan nyawa ramai orang dapat dilakukan dengan meningkatkan kemiskinan orang paling lemah dalam masyarakat.

Katanya, nyawa amat berharga tetapi beliau fikir kita perlu tanya, siapakah yang menanggung kos ekonominya.

Menurut beliau dalam keadaan ekonomi sekarang yang tidak saksama kos untuknya patut ditanggung oleh mereka yang mempunyai kekayaan.

Bukannya di bahu majoriti penduduk yang hanya memiliki sedikit wang.

Katanya, mengapa untuk menyelamatkan nyawa kita menambahkan kemiskinan golongan paling lemah dalam masyarakat?

Terdapat satu lapisan masyarakat yang mempunyai banyak harta tetapi kita tidak menyentuh mereka.

Ini kerana, menurut beliau, mereka amat berkuasa.

Rivelli bekerja di Perimeter Institute, Kanada.

Buku beliau mengenai fizik turut dijual di Malaysia dan terkenal dalam kalangan peminat sains popular.

Wawancara itu dilakukan pada Disember 2020 dan disiarkan dalam majalah Idler keluaran Mac 2021.

Walaupun ia dilakukan secara dalam talian, tetapi majalah itu hanya menyiarkan dalam bentuk cetakan.

Ini kerana Idler memperjuangkan gaya hidup santai dan tidak terikat dengan paksaan sebarang kemajuan teknologi terkini.

Apa yang disebut oleh Rivelli itu merujuk pada negara-negara Barat dalam menangani wabak Covid-19.

Ini termasuklah negaranya, Itali, negara tempat ia bekerja, Kanada dan United Kingdom negara di mana Idler diterbitkan.

Namun ia boleh dikaitkan dengan kebanyakan negara di dunia.

Cara negara-negara maju menghadapi wabak Covid-19 adalah dengan perintah berkurung di rumah iaitu “lockdown” seperti yang dinasihatkan oleh pertubuhan kesihatan sedunia (WHO).

Langkah itu berjaya membendung penularan virus itu.

Tetapi kesan ekonomi daripada langkah itu adalah berat.

Banyak industri lumpuh akibat daripadanya.

Walaupun pemilik dan pemegang saham syarikat-syarikat dalam industri itu terjejas tetapi paling teruk menanggung kesusahan adalah pekerja-pekerja yang hilang pendapatan.

Apa yang disebut sebagai negara maju itu adalah mereka mempunyai keupayaan dana besar untuk untuk kegunaan kerajaannya.

Selain itu, mereka mengamalkan sistem demokrasi dengan pentadbiran negara tersusun.

Tentunya kerajaan-kerajaan negara itu melakukan pelbagai cara untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh majoriti penduduk.

Kerajaan mereka perlu melakukan perkara ini kerana dalam sistem demokrasi, tuntutan rakyat wajar dipenuhi.

Ini kerana di Parlimen, kerajaan mereka dipersoalkan.

Jika melihat siaran langsung Parlimen British melalui televisyen Sky, dapat disaksikan bagaimana Perdana Menteri Boris Johnson terpaksa menjawab soalan yang dikemukakan wakil rakyat yang hadir dalam dewan, dan juga melalui dalam talian.

Sementara di Jerman, pilihan raya di peringkat negeri diadakan dengan parti Canselor Angela Merkel, Kesatuan Demokrasi Kristian (CDU) kalah di kawasan kubu kuatnya, antara lain disebabkan rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan menangani wabak Covid-19.

Belanda pula akan mengadakan pilihan raya umum.

Tahun lalu dapat disaksikan betapa kerajaan campuran Itali tumbang kerana ada parti yang menarik diri.

Di dunia, golongan kaya yang besar berada di negara-negara maju.

Dalam kalangan mereka ramai juga yang pemurah dan menjadi dermawan atau filantropis.

Mereka menubuhkan pelbagai yayasan derma, daripada menolong orang susah sampailah kepada menyelamatkan spesis haiwan.

Dalam keadaan pandemik ini, antara mereka turut membantu mengurangkan beban golongan yang hilang pendapatan.

Tetapi umumnya mereka tidak suka kenaikan cukai terhadap pendapatan dan harta mereka.

Bagi mereka, pada sebahagiannya, mengenakan cukai terhadap harta mereka adalah seolah-olah seperti merampas hak milik mereka.

Golongan ini pula, melalui kedudukan dan harta mereka mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat dan kerajaan.

Maka adalah sukar bagi kerajaan untuk menaikkan cukai terhadap mereka lebih-lebih lagi apabila ahli-ahli politik juga sebahagiannya datang daripada golongan ini.

Pada masa ini pula di Eropah, parti-parti yang popular adalah dari kalangan aliran kanan yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan tidak akan mahu menaikkan cukai terhadap golongan kaya.

Dalam mana-mana masyarakat, umumnya ia berbentuk piramid dengan golongan kaya, yang bilangannya kecil berada di puncak, dengan golongan sederhana berada di tengah-tengah, dan penduduk miskin berada di bawah.

Banyak kemudahan dan bantuan diberikan kepada golongan miskin tetapi dana yang dimiliki oleh kerajaan tetap tidak pernah mencukupi.

Ditambah pula dengan ketirisan sistem birokrasi, lebih-lebih lagi kalau berlaku korupsi.

Kos pula terus meningkat terutamanya dalam perkhidmatan kesihatan.

Sememangnya kemiskinan tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.

Sistem bebas dan terbuka dalam demokrasi memberi peluang untuk kejayaan, tetapi pada waktu sama membuka ruang bagi kegagalan.

Cumanya jurang miskin kaya wajar dirapatkan bukan saja untuk mengelak pemberontakan dan krisis sosial tetapi ia merupakan suatu nilai keadilan yang wajar dilaksanakan untuk bersifat perikemanusiaan.

Apa yang dipersoalkan oleh Rivelli ialah wabak Covid-19 ini memberi kesan pada semua anggota masyarakat, tidak kira sama ada mereka kaya, sederhana dan miskin.

Tetapi apabila dilakukan langkah membendungnya iaitu melalui perintah berkurung di rumah, yang menanggung kos paling besar ialah golongan miskin.

Ini kerana mereka hilang pendapatan.

Daripada pekerja di kafe dan restoran, kedai-kedai, hotel sampailah kepada syarikat pengangkutan dan penerbangan.

Tentu ada orang kata; “Nasiblah jadi orang miskin. Sistem sudah macam itu.”

Tetapi sistem ini adalah rekaan manusia.

Mengapa perlu orang miskin menanggung kos lebih besar berbanding dengan orang kaya?

Semua manusia sama saja.

Bezanya nasib hidup masing-masing.

Golongan kaya seperti kebanyakannya dari zaman silam boleh saja tidak memandang atau memikirkan mengenai nasib orang miskin.

Terpulang pada mereka.

Begitu juga, golongan miskin boleh saja menerima nasib mereka dengan hati terbuka.

Mereka berusaha apa yang boleh untuk hidup dalam sistem yang ada.

Seperti pada zaman silam di mana golongan hamba menerima saja nasib sampai ke akhir hayat.

Tetapi sejarah menunjukkan manusia akan menolak ketidakadilan.

Akhirnya orang tidak mahu menjadi hamba.

Sistem boleh diubah.

Ada anggota golongan kaya dan sederhana yang turut menjunjung prinsip keadilan.

Mereka turut membela golongan miskin.

Maka lahirlah sistem demokrasi yang ada sekarang serta gerakan aliran kiri untuk membela golongan miskin.

Maka dalam menghadapi wabak Covid-19 yang sudah memasuki peringkat vaksinasi, beban kos ekonomi sewajarnya ditanggung oleh semua golongan, sama ada kaya, sederhana dan miskin.

Biarlah apabila golongan miskin hilang pendapatan, mereka tidaklah terlalu terbeban kerana ada bantuan yang datangnya dari dana yang diambil dari golongan kaya.

Dalam pada itu, bantuan sekali sekala tidak akan dapat menggantikan kehilangan pekerjaan.

Ini kerana apabila seseorang itu hilang pekerjaan, mereka akan mengalami tekanan kerana masa depan yang sudah tidak terjamin.

Selain itu,perasaan harga diri juga turut hilang.

Inilah juga apa yang dihadapi oleh semua mereka yang hilang pekerjaan di seluruh dunia sebagai kesan sampingan dari langkah membendung wabak Covid-19.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles