Friday, July 23, 2021

‘Bintang Tiga’ masuk kampung

Surah sahih ini ialah kisah satu malam bila kumpulan Cina Bintang Tiga sampai ke Sekolah Tengkek.

Other News

Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Disember 1941.

Tentera Jepun bergerak, bertempur dan berbasikal ke Selatan untuk menawan Singapura.

Dari satu mukim ke satu daerah, Jepun berjaya mengalahkan tentera Inggeris.

Tentera Inggeris bersama askar upahan dari negara tanah jajahan seperti India dan Afrika cuba bertahan melawan Jepun.

Tentera Inggeris meletupkan jambatan penghubung jalan sebagai taktik untuk melambatkan pergerakan tentera Jepun.

Berjaya melambatkan tetapi gagal untuk mengalahkan Jepun.

Hasilnya: Jepun mengambil lebih daripada satu bulan untuk berjaya mengalahkan kuasa kolonial Inggeris.

Seluruh Tanah Melayu menjadi tanah jajahan Jepun pada 31 Januari 1942. Jepun sampai ke Kampung Tengah berbulan-bulan kemudian.

Pusat pentadbiran Jepun untuk Negeri Sembilan pastilah di Seremban. Untuk Kampung Tengah di Kuala Pilah.

Di Kampung Tengah, Sekolah Tengkek dijadikan pusat penempatan tentera Jepun untuk mengawal kawasan pedalaman. Sekolah Tengkek ini juga menjadi kepok padi Jepun.

Cikgu Zaleha Sidek masih setia menjadi guru bersama guru besar Cikgu Bador.

Kini Sekolah Tengkek di bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran Jepun. Masuk tahun kedua di bawah kerajaan Jepun, Cikgu Zaleha sudah boleh mengajar bahasa Jepun kepada murid sekolah.

Mengikut surah emak aku, dia belajar dan memahami bahasa Jepun dalam masa enam bulan.

Emak aku belajar dengan tekun. Pada masa sama emak aku juga takut dengan tentera Jepun. Belajar dalam keadan takut.

“Mak raso dalam enam bulan Mak belajar… baru dapek.” Pencerahan dari perawi sahih.

Abah aku, Rais Manaf juga boleh bertutur dalam bahasa Jepun.

Ini kerana abah aku direkut oleh Jepun untuk menjadi pengawal kepok padi dan bahan makanan yang terkumpul di Sekolah Tengkek.

“Masa tu susah boto… Mak takut bila nampak askar Jopun tu… orang kampung lagi takut… makanan makin susah… padi tak jadi. Abah kau dah jadi pengawal Jopun…bukan ado gaji.”

Emak aku juga pernah bercerita tentang satu penyakit yang melanda orang kampung di musim Jepun.

Mengikut emak aku orang yang jatuh sakit kelihatan pucat, tembam dan sembab. Bila dicucuk peha atau lengan dengan jari, lekuk akan muncul.

“Sakit apa ni mak?”

“Beri-beri… sebab tak makan nasi ….kurang zat makanan .. ubat pun tak ado… masa itu demam kura pun banyak… ubat kuinin belum ada… yang ada bomoh menjampi air kelapa.”

Bila emak aku bercerita aku hanya merakam untuk dijadikan ingatan. Aku tidak dapat merasa apa-apa keperitan dalam suasana perang.

Aku cuba berkhayal melayari zaman Jepun yang dilalui oleh emak dan abah aku tapi gagal.

Perit telinga mendengar perit lagi badan yang dilanda perang. Aku masih tidak dapat gambarkan bagaimana tentera Jepun itu merayau-rayau dalam kampung aku.

Apakah ada tentera Jepun terkencing bawah pokok manggis depan rumah tok wan aku.

Berapa ramai orang kampung yang pernah dipaksa oleh Jepun memanjat pokok kelapa, apabila Jepun haus dahaga?

Aku tidak dapat juga menggambarkan basikal apa yang dinaiki oleh Jepun itu.

Apakah basikal Jepun itu sama seperti basikal Raleigh milik keluarga kami? Satu-satunya basikal yang terus digunakan oleh emak dan abah dari Kampung Tengah hingga ke Sekolah Tapak.

Hari ini bila aku melihat Sekolah Tengkek, aku cuba membayangkan rupa bentuk sekolah atas tanah yang beratap rumbia, berdinding papan dan berlantaikan simen.

Dari ingatan aku depan pintu masuk ke sekolah ada pokok ciku. Pokok ini besar dan rendang. Pasti pokok ini ada sejak zaman Jepun.

“Malam tu … entah pasal apa abah kau tak pergi berkawal.” Emak aku memulakan surah.

“Nasib baik betul… malam itu lebih 10 orang Cina datang… hari dah malam… Jepun masa itu tak ada… semua balik ke Pilah.”

“Cina apo datang Mak?” soal aku. “Cino Bintang Tiga.”

“Bintang tiga ini apa mak?” Aku tak sabar nak tahu.

“Chapiau dia ada gambar tiga bintang.”

“Chapiau ni apa mak?”

“Topi.. topi hijau tiga bucu .. tengah-tengah ada gambar tiga bintang merah.”

Aku mendengar surah sahih Bintang Tiga ini dari mulut emak aku sendiri.

Surah sahih ini ialah kisah satu malam bila kumpulan Cina Bintang Tiga sampai ke Sekolah Tengkek.

“Cina ni ada bawak senapang…. kemudian Cina ni mengumpulkan orang kampung.. mana yang dekat sempat datang ke sekolah awal…. Yang jauh kena panggil datang. .. rumah kita jauh. Mak dan abah tak tahu hal. Malam tu, abah tak berkawal.”

“Cino ini panggil orang kampung… nak bagi tahu orang kampung hal Jepun… nak mengajar orang kampung cara nak melawan askar Jepun.”

Menurut Mak aku apabila pasukan Bintang Tiga ini sampai ke kawasan sekolah, seorang kepala Bintang Tiga ini memanggil Usop yang berkawal malam itu.

Si Usop ini didudukkan atas kerusi dalam sekolah.

Kerusi agak tinggi agar orang kampung semua nampak. Kemudian Cina Bintang Tiga mengikat Usop.

“Ini cara nak mengikat Jepun… Cino tu mengajar orang kampung…Usop jadi contoh…. Usop jadi Jepun.” Emak aku meneruskan ceritanya.

“Lepas mengikat Usop …Cino ni juga mencari Abas… tapi Abas tak ada di rumah… tak jumpa Abas… Abas ni agak kaya di Kampung Tengkek.”

Emak menyambung cerita.

“Cina dengan senapang masuk ke rumah mencari Abas… tak jumpa… tapi Abas bukan hilang… dia nampak semua yang berlaku. Rumah Abas tak jauh dari sekolah. Bila sahaja Abas terdengar Bintang Tinga sampai… dia lari dan terus memanjat pokok jambu batu di belakang rumah… dari puncak pokok ini dia menengok apa yang berlaku di Sekolah Tengkek.”

“Pasal apa Cina nak cari Abas mak?” Aku makin tak sabar nak tahu apa seterusnya berlaku.

Emak aku menggeleng kepala. Emak aku cuba mengingati apa yang dia dengar berlaku pada malam itu.

“Kemudian ketua Bintang Tiga bagi tahu, kalau nak buka tali ikat Usop… kena bayar sekati emas.”

Aku terperanjat bila emak aku sampai ke babak ini.

Dengan pantas aku bertanya: “Bayar dengan emas…. pasal apa mak? Sapa ada emas banyak itu?”

“Kakak Usop meraung.. manangis… malam tu juga.. sedara mara Usop mengumpul gelang tangan, gelang kaki, gelinyar, cincin, rantai, loket. Orang kampung mana yang ada sedekah juga. Semua takut… Bintang Tiga ni ada senapang.”

Ketika ayat ini disampaikan oleh perawi Zaleha Sidek kepada Hishamuddin Rais, aku tidak faham siapa dan apa dia Bintang Tiga.

Kenapa Cina ini ada senjata. Aku tidak tahu dari mana Cina ini datang.

“Dari mana Cina ni datang.. dari Padang Lebar ke?”

“Dari hulu hutan … bukan dari Padang Lebar… dari arah Guntur kampung sakai … dari Ulu Guntur..”

“Tak cukup dengan emas, sedara Usop bawa seekor lembu jantan… bagi pada Cina Bintang Tiga…”

Suara emak aku menjadi sayu bila surah ini sampai ke detik ini.

Aku sendiri pun dapat merasakan betapa sedihnya sedara mara Usop pada malam itu.

Dia hanya pengawal kepok padi Jepun. Usop orang kampung yang dipaksa oleh Jepun.

Usop dijadikan orang tebusan oleh Bintang Tiga.

“Syukurlaaa… Abah kau tak mengawal malam itu.” Emak aku menarik nafas panjang mengingatkan kembali babak ini.

“Usop bebas laaa lepas tu?” Aku mahu emak aku menyambung cerita.

“Tali pengikat Usop dibuka…bila dah dapat emas dan lembu.. kemudian semua orang kampung disuruh pulang.”

Emak aku berhenti sebentar. Aku lihat linangan air mata, bila emak aku sampai ke babak ini.

“Tiba-tiba ketua Bintang Tiga beri arahan… padi Jepun semua dibakar. Tiga empat orang Cina mula mencucuh api pada padi … Sekolah Tengkek dibakar pada malam tu.”

Aku terperanjat bila sampai ke babak ini dan terus bertanya. “Buku dan meja mak kena bakar sekali?”

“Buku habis… padi meletup-letup macam nak buat emping…. Bau padi terbakar sampai ke rumah kita… Nampak asap mencanak naik ke langit…tapi mak tak tahu apa yang terbakar…. nampak asap.”

Sekolah emak aku terbakar ini menjadi detik sejarah yang hitam dalam ingatan dia.

Ini kerana Sekolah Tengkek ini ada khutub khanah – ada banyak buku terkumpul ini, oleh guru besar sosok yang cintakan ilmu.

“Lepas sekolah dibakar Cina tu bergerak menuju ke hutan… bila Cina dah tak ada, orang kampung datang keluar … gotong-royong ambil air di perigi ..padamkan api… dalam sejam orang kampung dengar bunyi tembakan. Mak agak lembu seekor tu kena tembak … ambil daging.”

“Semua sekolah dibakar?”

“Sebelah… orang kampung sempat padamkan yang lain. Esoknya mak nengok sekolah mak terbakar. Mak nangis….pagi tu bila mak sampai asap ada lagi.”

Surah dan ayat-ayat zaman Jepun ini aku pungut di zaman Inggeris berkuasa kembali.

Perawi sahih aku ialah emak aku sendiri yang sekolahnya dibakar Bintang Tiga.

Kisah-kisah Jepun dan Bintang Tiga ini aku dengar ketika aku belum masuk sekolah.

Dalam tahun 1958, emak aku pindah dari Sekolah Umum Kuala Klawang B ke Sekolah Umum Batu Serambai Ulu Klawang.

Aku baru masuk darjah dua. Ketika itu guru besar ialah Cikgu Harith.

Sekolah papan bertiang dan bertangga batu ini tidak ada bilik.

Bilik darjah dipisahkan oleh skrin yang boleh dialih-alih untuk dijadikan bilik.

Ada sebuah almari yang juga dijadikan tembok bilik. Almari berkunci ini berhampiran meja guru besar. Almari ini penuh dengan buku cerita.

Emak aku yang tinggal dalam berek sekolah diberi kunci sekolah, termasuk kunci almari buku ini.

Aku mengambil kesempatan.

Setiap hari cuti sekolah aku dengan abang aku, Anuar akan masuk ke sekolah dan membuka almari buku ini.

Kami akan membaca buku. Kemudian kami berborak bertukar cerita. Abang aku baca buku lain daripada apa yang aku baca.

Dengan cara ini kami cepat dapat tahu buku mana yang seronok dan wajib dibaca.

Di Sekolah Umum Batu Serambai ini aku dapat membaca buku “Nyawa Di Hujung Pedang” yang ditulis Ahmad Murad Nasaruddin.

Buku ini dicetak lepas Jepun kalah pada tahun 1946. Masa aku membaca buku ini, aku berada dalam darjah tiga.

Satu lagi buku yang amat menarik untuk aku ialah “Leftnan Nor Pahlawan Gerila” tulisan Aziz Zakaria (1959).

Untuk pertama kalinya aku berkenalan dengan perkataan gerila. Dalam darjah tiga aku tak tahu pun apa makna perkataan gerila ini.

Yang menarik aku ialah kumpulan Force 136 melawan Jepun.

Kisah Leftanan Nor dengan payung terjun ini menjadikan aku berangan-angan untuk mencuba memakai payung terjun.

Akhirnya aku berjaya mencuba.

Aku terjun memakai kain sarung dari pokok kelepong tepi sungai.

Aku terjun menjunam masuk ke dalam sungai di tepi surau Lebai Johari di Kampung Batu Serambai.

Kemudian aku dengar filem “Sarjan Hassan” dengan P Ramlee sebagi hero.

Filem ini keluar pada tahun 1958. Tapi aku tidak dapat melihat filem ini kerana Panggung Ruby Theater di pekan kampung aku Kuala Klawang tidak menayangkan filem keluaran Shaw Brothers.

Panggung Ruby di Kuala Klawang hanya menayangkan filem Melayu terbitan Cathay Keris.

Aku hanya mendengar dan membaca nama Sarjan Hasan, nama P Ramlee dan nama Salleh Kamil melalui akhbar Utusan Melayu.

Pada tahun 1965 baru aku dapat menonton Sarjan Hasan apabila sebuah panggung kayu dibuka di pekan kecil Petaling.

Buku cerita zaman Jepun yang aku baca ini mengsahihkan lagi surah-surah yang aku dengar dari emak aku.

Cerita Sarjan Hasan ini memberikan aku gambaran tentang keganasan tentera Jepun.

Omar Rojek yang menjadi kepala Kempetai Jepun membawa watak Jepun yang menakutkan.

Kini giliran aku pula membongkar dan merakamkan kembali apa yang berlaku kepada keluarga aku – satu keluarga Melayu di sebuah kampung pedalaman.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Nona Singapura

Sabtu dan naik haji

Lagi kisah budak kerbau

Budak kerbau