Tuesday, April 20, 2021

Menangani pencemaran plastik di Malaysia

Kerajaan digesa untuk mengambil langkah segera untuk menangani masalah pencemaran plastik.

Other News

Hari ini dunia menyambut Hari Hak-hak Pengguna dan tema bagi tahun ini ialah “Menangani Pencemaran Plastik”.

Pencemaran plastik merupakan kesengsaraan kepada manusia. Di Malaysia masalah ini sangat serius. Pada 2020, kita menggunakan 148,000 tan metrik pembungkusan plastik untuk makanan. Penggunaan pembungkusan plastik per kapita tahunan kita ialah 16.78 kilogram. Penggunaan plastik kita telah meningkat tahun ke tahun walaupun wujud kempen untuk menghindari plastik sekali guna.

Situasi di sini menjadi lebih buruk dengan import sisa plastik dari negara maju. Data UN Comtrade menunjukkan bahawa Malaysia mengimport 333.5 juta kilogram sisa/skrap plastik pada 2019 dan ia tidak termasuk sejumlah besar yang diimport secara haram.

Memandangkan Malaysia menghasilkan sejumlah besar sisa plastik maka tidak masuk akal bagi pihak berkuasa untuk membenarkan pengimportan sisa plastik dari negara maju. Sementara ia mungkin menyumbang kepada keuntungan syarikat kitar semula, ia menyebabkan kesan sampingan yang amat serius terhadap kesihatan penduduk dan alam sekitar kita.

Sisa plastik mengandungi bahan kimia toksik yang boleh menjejaskan kesihatan kita dengan serius. Apabila kita memakan ikan, kita turut menelan partikel plastik ke dalam tubuh kerana 90% ikan mempunyai partikel plastik dalam perutnya. Kita memakan 70,000 partikel mikro plastik setiap tahun.

Bahan kimia toksik dalam plastik boleh menyebabkan penyakit serius seperti kerosakan buah pinggang, penyakit Alzheimer dan Parkinson, kanser, penyakit koronari dan lain-lain. Sesetengahnya hanya muncul beberapa tahun selepas pendedahan atau memakannya.

Apakah yang perlu dilakukan oleh pengguna untuk menangani masalah ini? Paling penting bagi pengguna ialah untuk mengurangkan penggunaan makanan dan barangan yang tidak penting. Ini akan menyumbang kepada pengurangan penggunaan plastik bagi pembungkusan. Jangan gunakan beg plastik apabila membeli-belah, gunakan alternatif mesra alam sekitar lain, contohnya beg kain, jut atau rami. Kurangkan sisa dengan guna semula dan kitar semula.

Pandemik Covid-19 telah membawa kepada peningkatan penggunaan plastik menjana lebih banyak sisa. Orang ramai membeli makanan dan barangan yang dibungkus dalam plastik dan dihantar kepada pengguna. Kita boleh mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dengan memasak dan makan di rumah. Kita juga tidak perlu membeli barangan yang tidak perlu secara dalam talian.

Kerajaan mestilah mengambil langkah segera untuk menangani masalah ini. Ia mesti mengenakan pengharaman sepenuhnya ke atas import sisa plastik dari negara lain. Kesihatan penduduk dan integriti alam sekitar kita hendaklah tidak dikorbankan demi keuntungan persendirian.

Pengeluar produk plastik mestilah dipertanggungjawabkan dari segi undang-undang untuk mengumpulkan kembali produk mereka selepas digunakan dan untuk kitar semula atau guna semula. Undang-undang kita juga mestilah dipinda untuk menyediakan hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang mencemarkan sungai, lautan, tanah dan atmosfera kita. Penguatkuasaan undang-undang mestilah ditambah baik dan amalan rasuah mestilah dihapuskan.

Perancangan kerajaan ke arah sifar plastik sekali guna mestilah dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan dan kemajuannya dipantau serta laporannya diterbitkan secara berkala.

Bagaimanapun, sasaran awal ialah penyedut minuman dan beg plastik. Kita mempunyai pelbagai produk plastik lain yang perlu ditangani contohnya bekas, cawan, peralatan makan, pembungkus plastik masih digunakan dan dibuang di tapak pelupusan sampah atau sungai atau berakhir sebagai sampah selepas digunakan sekali saja. Plastik jenis ini mempunyai garis masa sasaran yang berbeza. Kita tidak boleh menunggu sehingga saat itu. Kita mesti mengurangkan pencemaran plastik dengan mengelak plastik yang tidak perlu terutamanya plastik sekali guna dan berbahaya.

Industri produk plastik perlu mengutamakan kesihatan penduduk sebelum keuntungan dan mengambil langkah untuk mengurangkan pencemaran plastik. Mereka-bentuk semula produk, pembungkusan dan sistem penyampaian untuk menghapuskan penggunaan produk dan pembungkusan plastik sekali guna adalah penyelesaian yang kita ingini dalam menangani pencemaran plastik.

Pengeluar seharusnya memastikan bahawa aktiviti mereka tidak mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan kesejahteraan manusia. Patuhilah undang-undang dan jangan cuba untuk merasuah pegawai dan ahli politik.

Memerangi pencemaran plastik adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia bersama dengan Kerajaan.

Mohideen Abdul Kader adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles