- Iklan -
Kolum

Apabila parti politik sudah tidak lagi bermakna

Bagaimanakah seorang pemimpin dapat menggembleng sokongan tanpa melalui pertubuhan seperti parti politik?

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Selepas berlaku Revolusi Islam Iran pada tahun 1979, maka Republik Islam Iran ditubuhkan.

Perlembagaan digubal dan sistem demokrasi mengikut acuan nilai-nilai revolusi itu diwujudkan.

Pada awalnya, mereka bercadang supaya dibenarkan penubuhan parti-parti politik untuk menyertai pilihan raya seperti di negara-negara demokratik lain.

Maka sebuah parti utama bagi mendokong cita-cita revolusi ialah Parti Republik Islam, Islamic Republican Party dirancang sebagai pertubuhan dominan yang akan memimpin Iran untuk masa panjang.

Tetapi pemimpin utama Iran, Ayatollah Khomeini mengarahkan supaya sistem politik Iran tidak menggunakan sistem parti politik. Maka parti itu dibubarkan.

Sekitar tahun-tahun yang sama, era yang dikatakan zaman kebangkitan Islam, Sudan muncul sebagai negara Sunni yang berusaha untuk menubuhkan sebuah Republik Islam.

Ia berlaku ekoran kerjasama antara Presiden Jaafar Numeiry dan pemimpin Ikhwanul Muslimin, Hassan Turabi.

Pada tahun-tahun kemudian, penulis menerima satu risalah dari Kedutaan Republik Sudan di Kuala Lumpur yang memaparkan sistem pemerintahan demokratik untuk negara itu, dari pedesaan sampailah ke pusat, semuanya tanpa parti politik.

Lebih awal lagi, iaitu pada tahun 1976, Libya di bawah Muammar Gaddafi menerbitkan Buku Hijau yang merupakan asas ideologi kepada sistem politik negara. Di dalamnya ia turut memansuhkan parti politik.

Tahun lalu, selepas berlakunya Langkah Sheraton, Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri interim mencadangkan dua perkara.

Pertama, kerajaan perpaduan.

Kedua, penubuhan kerajaan tanpa mengira parti politik.

Maksudnya, seorang ahli Parlimen bertindak memberi sokongan kepada sesuatu penubuhan kerajaan dari keputusan dirinya sendiri, dan bukannya mewakili mana-mana parti politik.

Walaupun usaha Mahathir itu gagal tetapi beliau menzahirkan sentimennya terhadap parti politik.

Ini kerana parti politik menghalang ahli Parlimen bertindak bebas untuk menyokong mana-mana calon perdana menteri yang bermutu.

Kesetiaan terhadap parti mengakibatkan penubuhan kerajaan yang baik terhalang.

Tetapi tentulah ahli Parlimen perlu setia pada partinya.

Ini kerana mereka bertanding atas tiket parti.

Mereka juga berkempen dengan menggunakan dana dan jentera parti.

Penyokong pun mengundi bukan kerana sosok ahli Parlimen itu semata-mata tetapi juga disebabkan ideologi, manifesto, perjuangan dan wibawa parti berkenaan.

Namun apabila melihat begitu banyak ahli Parlimen yang melompat, maka kesetiaan terhadap parti sudah hilang.

Ia seolah-olah parti sudah menjadi tidak bermakna.

Penyokong biasa yang beralih parti adalah suatu yang lumrah. Manusia berubah. Pastinya apabila fahaman berubah, mereka berpindah parti. Itu bukan melompat namanya.

Apa yang dikatakan melompat adalah mereka yang menjadi wakil rakyat.

Sama ada mereka merupakan ahli Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

Jadi apabila mereka berubah parti, maka kedudukan kerusi di dewan pun kena berpindah.

Maka ia berupa lompatan ke kerusi lain.

Sebab itu, ia disebut sebagai melompat. Tetapi ahli biasa yang berubah parti tidaklah dikatakan melompat.

Lompat-melompat yang berlaku selepas pilihan raya tahun 2018 adalah paling besar dalam sejarah Malaysia.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH), beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional melompat keluar menjadi wakil bebas.

Mereka kemudian menyertai Bersatu dan PH.

Tetapi lompatan terbesar berlaku pada tahun 2020.

Ahli-ahli Parlimen PKR melompat keluar.

Mereka kemudian menyertai Bersatu.

Sementara Bersatu sendiri keluar dari PH.

Mereka membentuk Perikatan Nasional (PN).

Ini membawa kepada beberapa ahli Parlimen Bersatu termasuk Mahathir keluar parti untuk menubuhkan Pejuang.

Tetapi yang keluar Bersatu tidak semua mahu sertai Pejuang.

Ada yang mahu tubuh parti Muda, ada yang menyertai PKR.

Tetapi akhirnya Pejuang dan Muda juga tidak dapat ditubuhkan.

Di Perak, ada ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah menyertai Bersatu.

Kemudian ada Adun Amanah di Selangor dan Johor yang menjadi bebas untuk menyertai PKR.

Amanah baru ditubuhkan pada tahun 2015.

Sebelum itu, ada antara Adun itu adalah anggota PAS bertahun-tahun lamanya.

Kebanyakan orang yang berada dalam Bersatu pula dahulunya adalah ahli Umno untuk bertahun-tahun lamanya.

Dengan melihat keadaan ini, tentu dirasakan sudah kehilangan rasa kesetiaan pada parti.

Pada satu ketika dulu, menyertai sesebuah parti politik merupakan suatu langkah yang besar dalam hidup seseorang.

Parti politik menjadi suatu yang sakral serta berkaitan dengan ideologi, emosi dan identiti seseorang.

Selalunya parti berkaitan adalah pertubuhan lama yang bersejarah.

Maka ahli-ahli sanggup berkorban dan kesetiaan pada parti tidak dapat dipersoalkan.

Parti-parti sakral ini adalah seperti Umno dan PAS.

Parti kiri serperti Parti Rakyat juga pernah memperoleh kesetiaan besar daripada ahli-ahinya.

Tetapi kini kesetiaan pada parti kian luntur dan hilang.

Keadaan ini berlaku kerana gelagat pemimpin parti yang mengecewakan ahli-ahlinya.

Pemimpin-pemimpin yang tidak beintegriti dan tidak beretika menjadikan parti hanya menjadi alat bagi mereka menikmati kekuasaan.

Idealisme parti pula hanya diketengahkan bagi memancing sokongan, dan tidak lebih daripada itu.

Setelah berkuasa, idealisme itu tidak direalisasikan.

Akhirnya parti itu sudah tidak ada makna lagi bagi para penyokongnya walaupun ia bersejarah dan pernah berjasa kepada rakyat dan negara.

Bagi para penyokong, parti politik merupakan wahana atau jentera bagi mencapai idealisme tertentu.

Apabila fikiran sudah berubah, maka adalah wajar untuk berpindah parti.

Tetapi apa yang berlaku dalam perkembangan politik sekarang ialah wakil rakyat berkenaan melompat bukan kerana berubah fahaman atau idealisme tetapi disebabkan ganjaran jawatan.

Itulah persepsi dari para penyokong walaupun sebenarnya ada faktor lain.

Mahathir sendiri tidak begitu komited terhadap konsep parti politik.

Perkara ini kelihatan apabila pada tahun 1987, Umno diisytiharkan haram.

Beliau menubuhkan Umno Baru yang perlembagaannya dan ahlinya berbeza daripada Umno asal.

Apabila Umno dapat dipulihkan dengan penyertaan ahli-ahli Parti Melayu Semangat 46, ia tetap tidak sama dengan Umno asal.

Kemudian pada tahun 2016, beliau meninggalkan Umno untuk menubuhkan Bersatu.

Parti ini dirancang untuk menggantikan Umno.

Setelah gagal, beliau menubuhkan Pejuang.

Maka dapat dilihat, parti politik hanyalah alat. Apabila ia rosak, ia harus diganti.

Apa yang penting ialah pemimpin dan asas perjuangan.

Sebab itu mungkin beliau tidak keberatan untuk mencadangkan supaya wakil rakyat mengundi untuk memberi sokongan terhadap calon perdana menteri atas sifat diri mereka dan bukannya terikat pada parti.

Tetapi secara praktikalnya, politik adalah kerja kolektif.

Bagaimanakah seorang pemimpin dapat menggembleng sokongan tanpa melalui pertubuhan seperti parti politik?

Begitu juga, bagaimanakah para penyokong dapat mengatur usaha tanpa parti politik?

Dalam kajian sains politik, peranan parti politik dalam sistem moden sering dibincangkan.

Perdebatan mengenai keperluan dan kelemahan kedudukan parti politik dalam sistem demokrasi masih terus menarik para penyelidik.

Tetapi akhirnya, kejayaan dan keberkesanan parti bergantung pada orang yang terlibat dengannya.

Bukan saja pemimpin, aktivis dan ahlinya tetapi juga para penyokong yang memberi undi dan berkempen melalui media sosial.

Untuk itu, perlu ada perasaan emosi dan kesetiaan terhadap parti, terlepas dari soal ganjaran dan habuan.

Jika tidak. sememangnya parti berkenaan tidak cukup berwibawa untuk meraih kesetiaan daripada para penyokongnya.

Ataupun mungkin semua parti politik di negara ini tidak cukup berwibawa untuk diberikan kesetiaan.

Tetapi perjuangan bagi agama, bangsa dan tanah air memerlukan parti politik yang berwibawa dan layak untuk dicurahkan kesetiaan.