- Iklan -
Rencana

Kerajaan perlu realisasi SDG, martabat wanita dalam semua bidang

Statisitik menunjukkan dalam aspek penguasaan politik, wanita mencatat skor terendah.

Suhakam
2 minit bacaan
Kongsi
Peranan wanita sangat besar dalam pembangunan negara.
Peranan wanita sangat besar dalam pembangunan negara.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memperingati Hari Wanita Antarabangsa 2021 yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun. Sejajar dengan
tema tahun ini, “Wanita dalam Kepemimpinan: Mencapai Masa Depan yang Saksama dalam Dunia Covid-19” dan dalam usaha ke arah pemulihan daripada pandemik Covid-19, Suhakam ingin menekankan peri pentingnya buat wanita pada masa ini untuk memiliki keterlibatan yang saksama dan menyeluruh dalam jawatan membuat keputusan di setiap aspek kehidupan.

Dalam hal ini, Suhakam mengambil maklum bahawa terdapat kemajuan yang ketara dalam pendidikan dan latihan, penyertaan tenaga kerja dan ekonomi, peningkatan taraf kesihatan dan perwakilan dalam kerajaan, ekonomi serta politik. Ini dapat dilihat melalui pelantikan lebih ramai wanita ke jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan sebagai Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) dalam syarikat tersenarai awam (PLCs). Terdapat juga peningkatan peranan wanita sebagai penggubal undang-undang, hakim, pegawai kanan dan jawatan tertinggi dalam sektor Kerajaan.

Walaupun terdapat peningkatan yang sedemikian, Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih, Malaysia, 2020 melaporkan bahawa dalam aspek penguasaan politik, wanita mencatat skor terendah dengan lapan negeri mencatatkan skor di bawah paras kesaksamaan nasional.

Pandemik Covid-19 telah memburukkan lagi ketidaksamaan dan halangan sistemik sedia ada terhadap keterlibatan dan kepemimpinan wanita. Kemunculan pandemik ini juga membawa halangan baharu di mana wanita rentan menjadi mangsa peningkatan keganasan rumah tangga, kehilangan pekerjaan, tidak dibayar gaji atau pengurangan gaji, kemiskinan dan ada antaranya mengalami kesukaran untuk menyediakan keperluan asas untuk keluarga di bawah jagaan mereka.

Berhubung ini, segenap lapisan masyarakat perlu bekerjasama ke arah memperkasakan wanita dalam mempertahankan hak mereka dan meningkatkan potensi kepimpinan mereka secara sepenuhnya dalam ketersediaan dan respon pandemik terutamanya dalam mengintegrasikan perspektif mereka dalam formulasi dan pelaksanaan dasar dan program pemulihan yang berkaitan.

Walaupun inisiatif-inisiatif yang sedang dijalankan oleh Kerajaan untuk memajukan hak asasi wanita harus dipuji dan telah mendatangkan kesan yang positif, masih terdapat jurang yang perlu ditangani bagi membolehkan wanita di negara ini mendapat peluang yang saksama dengan lelaki.

Suhakam menyeru agar Kerajaan dan semua pihak berkepentingan yang berkait untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), khususnya SDG 5, dengan meningkatkan usaha bagi memajukan kesaksamaan gender, menghapuskan segala bentuk diskriminasi dan keganasan terhadap wanita, dan mempromosi pemerkasaan wanita dalam semua bidang ke arah memastikan kehidupan yang berkualiti, bukan sahaja bagi mereka yang terpinggir, malah untuk semua wanita dan kanak-kanak perempuan di Malaysia.