- Iklan -
Kolum

Apabila Jepun masuk Malaya

Ini cerita dari mulut ke mulut. Cerita dari sana cerita dari sini.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku membuka kisah Jepun ini bukan bermakna aku sendiri mengalami zaman Jepun.

Tidak.

Aku dilahirkan pada zaman penjajahan Inggeris.

Kisah-kisah Jepun ini aku dengar dari emak dan dari apa yang aku dengar – borak-borak dan sembang kedai kopi ketika aku membesar.

Kisah-kisah ini aku dengar lama dahulu. Aku simpan sebagai khazanah ingatan.

Maka sampai masanya aku buka surah-surah itu untuk kita sama-sama berkongsi cerita.

Ini cerita dari mulut ke mulut. Cerita dari sana cerita dari sini.

Dari telinga ke telinga. Dari telinga ke ingatan. Dari ingatan ke komputer.

Kisah-kisah ini sahih. Kisah ini menjadi sebahagian daripada pembentukan nilai dan keperibadian aku.

Aku ini sebenarnya adalah daripada jumlah semua hitungan kisah-kisah ini.

Aku dibesarkan dengan kisah-kisah ini.

Aku juga ada mendengar kisah Nenek Kebayan, Sang Kelembai, Ikan Kaloi, Gergasi atau Anak Buloh Betong. Tanpa kisah-kisah ini, aku tidak akan menjadi aku.

Kisah dan surah ini mendidik aku untuk menjadi aku.

Untuk berani berkelana sebatang kara.

Untuk menjadi sebutir kelapa yang hanyut dari hulu sungai ke lautan yang maha luas hingga terdampar menjadikan aku sebuah pulau.

Emak aku bercerita ketika menjadi guru di Seri Menanti dan kemudian Sekolah Tengkek, dia selalu pergi ke Kuala Pilah.

Setiap bulan untuk mengambil duit gaji dari Pejabat Tuan DO. Di Kuala Pilah ada sebuah kedai pinggan mangkuk Jepun.

Emak aku selalu berkisah tentang membeli pinggan mangkuk tembikar yang amat murah dari kedai Jepun itu.

Mengikut surah emak aku warga Pilah, warga Padang Lebar semua tahu tentang kedai Jepun itu.

Ketika aku mendengar emak bercerita, aku tidak tahu apa makna kedai Jepun itu.

Tidak juga faham kenapa keluarga Jepun ini amat baik dengan Cikgu Zaleha binti Sidek hingga diajak bertandang ke rumah untuk bergambar.

Bila aku dewasa maka aku sedar. Sebenarnya kedai Jepun ini adalah sebahagian daripada perancangan strategi Jepun untuk menawan Tanah Melayu.

Ini perancangan berjangka lama.

Hari ini kita mengetahui bahawa kumpulan tentera Jepun sudah lama mengatur dan menyusun perancangan untuk menakluki negeri-negeri di kepulauan Melayu.

Kedai pinggan mangkuk Jepun hanyalah muka depan untuk pejabat risik-merisik dan tempat mengumpul maklumat.

Di belakang kedai tembikar ini ialah jaringan agen Jepun yang bertugas mengumpul dan membaca suasana dan cuaca politik Tanah Melayu.

Jaringan risikan yang dipasang di serata Kepulauan Melayu ini dikepalai oleh lembaga yang dikenali dengan nama Kempeitai.

Lembaga mata-mata tentera ini ditubuhkan dalam tahun 1881 di bawah kementerian dalam negeri Jepun. Lembaga ini dihapuskan bila Jepun kalah pada tahun 1945.

Pasukan Schutzstaffel – SS – untuk Adolf Hitler (1889-1945) di Berlin.

Pasukan Kempeitai adalah untuk Jeneral Tojo (1884-1948) di Tokyo.

Kedai pinggan mangkuk Jepun ini kalau tidak menjadi pusat risikan, busuk-busuk pun pasti ada peranan lain.

Dalam istilah CIA – lembaga risikan Amerika atau KGB -lembaga risikan Rusia – kedai pinggan mangkuk ini boleh menjadi “listening post” – tempat mendengar labun.

Melalui kedai-kedai pinggan mangkuk ini, Jepun tahu tentang sentimen Melayu terhadap pendatang China di Tanah Melayu.

Jepun tahu sikap feudal Melayu.

Jepun tahu siapa pejuang nasionalis Melayu. Siapa pemimpin politik Melayu. Siapa pemimpin Parti Komunis Malaya. Apa peranan pendatang China di Tanah Melayu.

Labun-laun kosong ini amat penting untuk risikan. Labun akan didengar oleh semua ke telinga lintah Jepun yang dipasang.

Apa peranan dan sikap pendatang China di Tanah Melayu ini amat-amat penting untuk strategi Jepun.

Sebelum Jepun masuk ke Tanah Melayu, bala tentera imperial Jepun masuk menyerang Tanah Besar China pada 7 Julai 1937. China menjadi musuh utama Jepun sebelum pecah Perang Dunia Kedua.

Justeru kerana itu semua maklumat risikan dan labun harian wajib dikumpul, dihantar dari Kuala Pilah ke Tokyo untuk dianalisa oleh Jeneral Tojo.

Pada 7 Disember 1941 tentera udara Jepun menyerang Pearl Harbor di Hawaii.

Serangan terhadap Amerika ini hanya alasan untuk jadi sebab penyebab Amerika masuk perang.

Semua dirancang. Malah Amerika sendiri sudah lama tahu akan projek “Pearl Harbor”.

Amerika sengaja mendorong Jepun untuk menyerang.

Kumpulan pemilik industri senjata Amerika mahu rakyat menyokong presiden untuk bersama masuk ke dalam kancah perang Dunia Kedua. Ketika Pearl Harbor dibom oleh Jepun, Eropah sedang berperang dengan Hitler. Dasar Amerika ketika itu masih berkecuali.

Justeru serangan Jepun ke Pearl Harbor ini di “ah lan wah sahlan” kan oleh tuan pemilik industri senjata. Kecil Proton Saga, treler Volvo ditunggukan.

Tuan pemilik industri senjata Amerika mengibar “bunga manggar” menyambut serangan Jepun terhadap Pearl Harbor.

Justeru esoknya pada 8 Disember hanya sehari sesudah Pearl Harbor dibom, tentera Jepun mendarat ke Patani Selatan Siam dan di Kota Bharu.

Jepun masuk ke Tanah Melayu melalui Kelantan negeri di wilayah Pantai Timur.

Jepun sudah kenal punat mana yang wajib ditekan. Punat mana yang jangan diusik, dan punat mana tentera Inggeris lemah.

Pada 10 Disember kapal terbang pengebom Jepun berjaya menenggelamkan dua kapal perang Inggeris – HMS Prince of Wales dan HMS Repulse yang berlabuh di pesisiran laut Pahang. Senjata laut Inggeris tewas.

Daripada kisah yang aku dengar, askar Jepun berbasikal dari Utara Tanah Melayu ke Selatan hingga ke Singapura.

Tentera Inggeris mendapat pukulan teruk dari askar Jepun. Hampir satu bulan pertempuran berlaku.

Pada 31 Januari 1942, Inggeris mengundur dan mengaku kalah.

Ketika Jepun mengasak tentera kolonial Inggeris, emak aku masih lagi menjadi cikgu di Sekolah Tengkek.

Guru Besar Sekolah Tengkek ketika ia itu ialah Cikgu Bador.

Cikgu Bador ini berkahwin dengan Zabedah binti Ibrahim sepupu kepada kepada emak aku.

Ibrahim ini ialah abang kepada Tok Wan aku, Rahmah binti Kecik.

Cikgu Bador guru besar Sekolah Tengkek ini seorang ilmuan. Dia tidak mahu sekolah ditutup. Untuk dia perang masih belum sampai ke Tengkek. Sekolah berjalan seperti biasa.

Jepun agak lambat sampai ke Kampung Tengkek. Kampung kami kampung pedalaman yang amat jauh di hulu.

Tapi daripada risik lembaga Kempeitai – Jepun tahu betapa pentingnya wilayah pedalaman ini.

“Pagi tu… emak macam biasa datang mengajar… tiba-tiba emak nampak askar Jopun datang naik basikal…mula-mula sorang muncul … kemudian berdua.. lopeh tu ramai…. kemudian ramai lagi datang… sekolah dah riuh… Jopun sampai… Jopun sampai.”

Ini surah emak aku kali pertama melihat Jepun sampai ke kampung kami.

“Emak memandang keluar tingkap … la laa.. nampak sorang Jopun tu.. berdiri topi batang kelapo.. laaa…dio bukak butang seluar … dio koncing berdiri… tak sogan pada orang.”

Ini gambaran pertama untuk aku tentang Jepun. Jepun kencing berdiri di tepi pokok kelapa di depan Sekolah Tengkek. Imej ini aku bawa sepanjang hidup aku. Setiap kali aku terkencing berdiri di tepi pokok kelapa aku akan teringat akan surah emak aku ini.

“Lopeh tu… Jopun datang masuk sekolah… ketua Jopun jumpo Cikgu Bador.”

Semenjak petang itu Jepun bertapak di kampung kami. Sekolah Tengkek dijadikan Pejabat Besar askar Jepun. Kempeitai pun sampai sama. Lebih dari 20 orang tentera Jepun kini menginap di Sekolah Tengkek.

Ketika ini abah aku belum lagi direkrut oleh Inggeris. Kami ada tanah sawah. Kehidupan tidak lumayan tapi tidak susah.

Padi dan tanaman sayuran mencukupi. Makanan anak beranak tidak putus. Hidup kampung tidak memerlukan ringgit dan sen.

Wilayah kampung aku dari Majau ke Keru, ke Kampung Tengah, ke Tengek adalah hamparan tanah sawah yang subur. Sawah ini diairi oleh Batang Muar yang lalu berhadapan dengan tanah pusaka keluaga kami.

Seingat aku tanah sawah ini puluhan tahun diteroka – lama sebelum Jepun sampai.

Setiap keluarga memiliki tiga atau empat ekar tanah. Dua ekar untuk getah dan dusun buah-buahan. Setengah ekar untuk kawasan rumah dan dua atau tiga jenjang tanah sawah.

Rumah dan kampung ini disusun mengikut aliran Batang Muar.

Dalam masyarakat sawah orang kampung bekerja gotong royong membersihkan laluan air, anak sungai, pembetung atau “bonda”.

Semua dilakukan berseraya – bersama-sama. Budaya gotong royong dalam masyarakat Melayu ini yang lahir dari membuat sawah.

Sawah padi hanya boleh diusahakan jika semua orang kampung sebulat suara. Membetul permatang air, membersihkan laluan air dan menetapkan bila mula turun ke sawah.

Semuanya diatur oleh adat lembaga. Ini hukum hakam dan peraturan yang tidak bertulis tetapi diterima pakai oleh semua.

Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat,

Ada sama dimakan,
Tak ada sama dicari,

Ke darat sama didaki,
Ke lurah sama dituruni,

Hati gajah sama dilapah,
Hati kuman sama di cecah.

Adat Perpatih yang kuat ini mengikat anggota kampung untuk sesama bergotong royong.

Di kampung aku gotong royong ini dipanggil seraya.

Orang Kampung aku mengerjakan tanah sawah setahun sekali.

Semusim enam bulan – daripada menyemai hingga gemal padi naik ke kepuk.

Sebelum turun ke sawah orang kampung akan berkumpul. Tok Empat akan memanggil orang kampung. Ketika aku membesar aku sendiri pernah melihat Tok Empat Itam meniup tengtuang memanggil orang kampung.

Tengtuang ini dibuat daripada tanduk lembu atau kerbau sebagai alat pembesar suara – seperti megaphone.

Bunyi tiupan tengtuang seperti bunyi trompet.

Tok Empat Itam ini pak sedara aku, jadi aku dapat memerhatikan bagaimana orang kampung berkumpul di halaman rumahnya.

Pertama orang kampung mengagak-agak bila hujan akan turun. Hujan turun ini kunci ke sawah.

Dari hujan turun ini orang kampung merancang bila nak membersihkan tali air. Bila nak membetulkan anak sungai.

Bila nak mengempang Batang Muar agar air masuk ke pembetung. Bila mula menyemai dan bila mula menanam.

Ada kerja perlu bergotong royong. Ada kerja perlu dilakukan di sawah sendiri. Aku perhatikan semua sudah tahu tugas masing-masing.

Tok Empat Itam tak banyak berceramah. Perkara ke sawah ini mereka sudah lakukan berulang kali.

Ke sawah wajib seirama. Tidak boleh ada yang dulu ada yang kemudian. Air lalu perlu dikongsi sama.

Kalau bersawah sendirian ada ramai musuh berkumpul. Kalau satu daerah sama ke sawah musuh seperti burung, belalang dan tikus tidak berkumpul ramai. Musuh padi terpencar-pencar. Musuh sama dikongsi.

Ada rezeki burung,
Ada rezeki belalang,
Ada rezeki tikus,
Ada sama dirasa,
Tak ada sama dicari.

Dalam masyarakat sawah padi sikap aku untuk aku tidak wujud.

Sikap individualistik ditenggelamkan oleh sikap kekitaan. Kita dan kami didahulukan dari ese, doyan, den atau aku.

Sawah melahirkan pembudayaan Melayu. Sawah melahirkan budi bahasa dan sikap sopan santun Melayu. Hilang sawah maka hilanglah sifat Melayu jati. Hilang sawah maka lupuslah sikap gotong royong bekerjasama yang terjalin dalam budaya Melayu.

Daripada perhatian aku di sini terbukti kebenaran teori dan ajaran Karl Marx. Membuat itu akan mewujudkan budaya. Bila dirosakkan pembuatan ini maka masyarakat runtuh-rantah.

Ini yang dilakukan oleh Jepun.

Tentera yang bermukim di Sekolah Tengkek memerlukan makanan. Tentera Jepun mula masuk kampung mengambil beras, ayam, itik, pisang dan kelapa. Mereka perlu makanan.

Sekolah Tengkek kini dijadikan pusat mengumpul bahan makanan. Sebahagian sekolah dijadikan kepuk padi.

Padi yang dirampas dari orang kampung dikumpulkan sebagai garis pertahanan Jepun.

“Sekolah tutup kejap… lepas itu emak kena panggil oleh Jepun… sekolah dibukak.” Emak aku menyambung cerita.

“Sojar Jepun mengajar cikgu. Mula mula menyanyi… kemudian bercakap… orang kampung pun dikumpul. Abah kau datang juga.”

“Emak mula kenal huruf Jepun… Emak takut betul dengan sojar Jepun tu… semua orang kampung takut… dalam takut takut ini, emak dapat belajar bahasa Jepun… ramai orang kampung di paksa belajar.”

Sekolah Tengkek dibuka semula. Cikgu Bador menjadi guru besar. Emak aku salah seorang guru Sekolah Tengkek di zaman Jepun.

“Orang kampung yang lain baut apa emak? Cuba emak nyanyi lagu Jepun tu?” Aku bertanya nak tahu apa yang terjadi seterusnya.