Saturday, October 16, 2021

Belajar sejarah di luar buku teks

Kalau dulu kita hanya ada maklumat dari buku teks, tetapi kini apa saja maklumat boleh diperolehi melalui alam maya.

Other News

Kes harian Covid-19 lepasi 7,500

3 killed, 7 injured in Bali quake

New cases hover at 7,500

91.4% dewasa lengkap divaksinasi

91.4% of adults fully vaccinated

Beberapa tahun lalu, dalam posting Facebook, saya menceritakan satu peristiwa di mana anggota Angkatan Wanita Sedar (Awas) menyertai satu perhimpunan dengan melakukannya secara bersemangat hingga mencabar ahli-ahli Angkatan Pemuda Insaf (API).

Peristiwa itu berlaku pada Februari 1947.

Perhimpunan itu untuk merayakan ulang tahun pertama penubuhan API yang diadakan di Kuala Kangsar.

Perayaan itu adalah untuk peringkat negeri Perak dan diadakan juga di beberapa negeri di Malaya.

Selain itu, ia juga bertujuan menunjukkan kekuatan Awas dan API kepada penjajah British.

Untuk menghalang kemeriahan perhimpunan itu, pihak British memberi pesanan kepada syarikat bas dan lori supaya tidak membawa peserta-peserta perhimpunan itu.

Peristiwa anggota Awas mencabar ahli API berlaku di Padang Rengas.

Tiada kenderaan yang mahu membawa mereka ke Kuala Kangsar.

Jarak Padang Rengas ke Kuala Kangsar adalah 12 kilometer.

Dengan bersemangat mereka menyatakan kesanggupan untuk berjalan kaki ke bandar itu.

Jika ahli API tidak sanggup, mereka patut bertukar pakaian dengan anggota Awas.

Tentulah pemuda API berasa tercabar dan mereka ramai-ramai berjalan kaki ke Kuala Kangsar dengan menyanyikan lagu-lagu perjuangan.

Awas adalah sayap wanita Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sementara API pula adalah sayap pemudanya.

PKMM yang merupakan parti politik Melayu pertama di negara ini ditubuhkan pada tahun 1945.

Umno ditubuhkan pada tahun 1946.

Awas dipimpin oleh Shamsiah Fakeh yang kemudian terkenal sebagai pemimpin kanan Parti Komunis Malaya (PKM).

API pula dipimpin oleh Ahmad Boestamam yang kemudian dikenali sebagai pengasas Parti Rakyat Malaya (PRM).

API menjadi pertubuhan politik pertama diharamkan oleh British, lebih awal daripada PKM.

Antara reaksi kepada posting saya ialah komen daripada seorang pembaca yang meragui kebenaran peristiwa itu dan menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengetahui mengenainya.

Reaksi itu tidak menghairankan.

Kebanyakan orang di negara ini tidak tahu mengenai Awas, API dan PKMM.

Mereka hanya membaca buku teks dan tidak menambah pengetahuan sejarah mereka.

Apa yang mereka kenal hanyalah Umno, MCA dan MIC.

Saya tahu mengenai peristiwa itu pada tahun 1973 ketika berada di tingkatan dua.

Ia datang dari buku Merintis Jalan ke Puncak oleh Ahmad Boestamam yang diterbitkan oleh Pustaka Kejora pada tahun 1972.

Buku itu sekarang sudah langka.

Kisah itu terkandung dalam Bab 11 di bawah tajuk “Tenaga Wanita dalam PKMM”.

Pada zaman itu, sumber maklumat amat terhad, lebih-lebih lagi kerana saya tinggal di kampung.

Maklumat sejarah hanya ada dalam buku teks.

Tentunya buku teks tidak banyak menceritakan mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan secara meluas.

Ia tidak menceritakan mengenai PKMM, apatah lagi tentang Awas dan API.

Radio dan akhbar arus perdana hanya menampilkan parti-parti Barisan Nasional (BN).

Kalau bagi mata pelajaran seperti matematik, sains dan geografi, maklumat dalam buku teks adalah lebih kurang serupa di seluruh dunia.

Tetapi bagi mata pelajaran sejarah, maklumat dalam buku teks setiap negara adalah berbeza.

Ia dipengaruhi oleh politik pihak yang berkuasa di negara masing-masing.

Pendidikan sejarah dijadikan alat untuk pembinaan negara bangsa masing-masing.

Maka ada yang ditonjolkan dan yang dipinggirkan, kesemuanya berkaitan dengan kehendak mereka yang ada kuasa.

Maka tidak hairanlah, anak-anak Malaysia hanya mengenal Umno sebagai parti yang berjuang mendapatkan kemerdekaan negara.

Mereka juga hanya tahu bahawa Tunku Abdul Rahman adalah Bapa Kemerdekaan.

Pada tahun-tahun 1970-an, saya sering membongkar majalah-majalah lama bertulisan jawi di kampung untuk mencari maklumat sejarah.

Saya menemui dua terbitan edisi khas berbentuk majalah yang diedarkankan pada tahun 1958 untuk merayakan ulang tahun pertama kemerdekaan Malaya.

Salah satu daripadanya diterbitkan oleh majalah Hiboran, satu lagi oleh akhbar Utusan Melayu.

Tetapi kedua-duanya memaparkan gambar empat tokoh pemimpin perjuangan kemerdekaan tanah air.

Selain daripada Tunku Abdul Rahman, tiga tokoh yang juga dipaparkan pada kulit terbitan itu ialah Dato’ Onn Bin Jaafar, Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam.

Maknanya perjuangan kemerdekaan bukan hanya berkisar pada Tunku dan Umno.

Pada satu hari di gerai buku stesen bas, ada dijual buku bertajuk Merintis Jalan ke Puncak itu.

Ia menceritakan detik-detik penubuhan PKMM dan perjuangan kemerdekaan golongan kiri.

Sebelum itu, kandungan buku ini pernah disiar secara bersiri oleh Berita Minggu.

Buku itu menyedarkan saya bahawa perjuangan kemerdekaan Malaya bukan berkisar pada Umno saja.

Sebelum Umno, ada Kesatuan Melayu Muda (KMM), PKMM dan Hizbul Muslimin.

Ada tokoh-tokoh lain yang turut memperjuangkan kemerdekaan seperti Ibrahim Yaakob, Burhanuddin Helmy dan Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako.

Kepentingan buku itu terserlah apabila pada tahun 1979, Ohio University Press menterjemahkannya dengan tajuk “Carving the path to the summit” dan menerbitkannya dengan kulit keras.

Maklumat mengenai perjuangan orang bukan Umno banyak dipaparkan melalui majalah Dewan Sastera yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ia juga menerbitkan memoir Ahmad Boestamam.

Penerbit UKM juga menerbitkan buku-buku mengenai Ahmad Boestamam dan pemimpin-pemimpin golongan kiri yang lain termasuk Shamsiah Fakeh.

Penerbit UTHM atau Universiti Tun Hussein Onn ada juga menerbitkan buku mengenai API.

Sejarah pada asasnya adalah fakta.

Sememangnya terdapat pelbagai tafsiran oleh ahli sejarah.

Tetapi ia bukan soal hendak mengagungkan sesiapa.

Rasa ingin tahu terhadap perkara lepas tidak bermakna menyokong sesuatu fahaman atau tindakan orang yang hidup masa lalu.

Tetapi tentulah kita hendak mengambil iktibar dari sejarah.

Bagaimanapun bagi mereka yang tidak minat sejarah, semua itu tidak ada erti.

Ada antara mereka hanya melihat sejarah dari sudut kaca mata perkauman.

Ia hanya dijadikan bahan kempen politik semata-mata.

Tetapi buku teks sekarang tidak seperti dahulu.

Buku teks sekarang jauh lebih tipis, kurang teks dan banyak gambar dan grafik.

Maklumatnya pendek dan ringkas supaya pelajar tidak jemu serta mudah menjawab soalan peperiksaan.

Zaman sudah berubah.

Para pelajar mudah mendapat maklumat.

Sembunyikanlah apa saja daripada buku teks.

Kalau dulu kita hanya ada maklumat dari buku teks, tetapi kini apa saja maklumat boleh diperolehi melalui alam maya.

Umno berkuasa sejak tahun 1957 hinggalah 2018.

Dalam 60 tahun itu, tentulah ia mencorak negara ini, bidang pendidikan yang di dalamnya terdapat pembikinan buku teks.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya memerintah 22 bulan terpaksa bekerja dengan perkhidmatan awam yang kuat dipengaruhi dasar-dasar Umno selama ini walaupun secara rasmi semua pihak berusaha untuk bertindak profesional.

Ada benarnya kenyataan bekas menteri pendidikan kerajaan PH, Maszlee Malik bahawa beliau tidak campur tangan terhadap pembikinan buku teks.

Ia ditulis secara profesional oleh mereka yang pakar sejarah.

Kecenderungan politik seseorang kepada Umno adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, asalkan ia tidak menjejaskan profesionalisme kerja seseorang.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles