Sunday, October 24, 2021

Anak-anak matahari Majid Majidi

Sun Children, sudah meraih perhatian di Barat, dan mungkin tercalon untuk Oscar tahun ini.

Other News

Antara karya besar Majid Majidi, karyawan filem Iran tersohor ialah The Father (1996), Children of Heaven (1997) dan Color of Paradise (1999).

Ketiga-tiganya diingati ramai memandangkan ia menampilkan bintang kanak-kanak dengan naratif mudah disulami, serta syot mengesan dan membekas.

Children of Heaven misalnya meraih pencalonan di Anugerah Oscar pada tahun 1999.

Ia adalah filem pertama Iran yang berjaya merebut hati Hollywood.

Pada tahun 2015, setelah beberapa tahun mengerjakannya, Majid menghasilkan filem epik besar Muhammad: The Messenger of God dengan dana negara.

Ia mengenai hayat Rasulullah ketika kanak-kanak.

Setelah filem itu, Majid agak tenggelam.

Yang timbul dari Iran malah adalah Asghar Farhadi dengan A Separation (2011) dan The Salesman (2016), yang kedua-duanya lekat dengan Oscar.

Kali ini Majid, muncul lagi dengan Sun Children (2020).

Ia sudah meraih perhatian di Barat, dan mungkin tercalon untuk Oscar tahun ini, meskipun nampaknya terlepas pandang oleh Golden Globe.

Sun Children memberi kelainan pada sentuhan Majid.

Pertamanya, walaupun masih mendapatkan khidmat kanak-kanak; Majid dapat dikatakan tidak lagi “bermain di zon selamat”.

Beliau sudah lebih berani mengkritik dan meneropong isu sosial secara lebih menyengat dalam Sun Children.

Filem ini menyorot nasib buruh kanak-kanak di Iran yang menjadi gejala sosial.

Di sebalik lapis-lapis plot itu, Majid menyengat perihal kepolisian yang tidak adil, nasib anak-anak pelarian khususnya orang Hazara dari Afghanistan di Iran, dan pendidikan yang tercicir dalam kalangan anak-anak jalanan ini.

Lebih bersengaja ialah masalah penagihan dan pengedaran dadah yang demikian sengit di Republik Islam itu.

Kedua, Sun Children tidak lagi menggunakan latar desa, tetapi latar kota yang penuh nestapa tetapi sarat puitika.

Makanya latar Tehran Selatan yang kumuh dan tidak biasa terlihatkan oleh pelancong dan orang luar menjadi tatapan.

Ketiga, plot jenis anti plot Majid Majidi kini menjadi sedikit lebih rencam di mana ada sub-plot yang lebih berselirat, yang pasti menggiurkan penonton wayang dunia.

Ia cubaan Majid yang canggih.

Sun Children dibuka dengan adegan empat orang kanak-kanak sedang merancang berbuat jahat.

Imej bergerak kereta-kereta mewah yang diparkir di sebuah pusat membeli-belah di utara Tehran, dan anak-anak yang kemudian berkejaran.

Kamera seterusnya menyorot Ali Zamani meloncat naik tren MRT menuju ke selatan, dan bertemu Zahra, seorang Hazara penjual bunga (kakak Abal Fadzl, temannya).

Di atas gerabak dia menghadiahkan sepit rambut yang nampaknya akan menjadi petaka buat Zahra kelak.

Filem kemudian bergerak pantas – sesuatu yang agak berlainan dari kebiasaan Majid – dengan gambaran buruh kanak-kanak yang bekerja keras.

Juga latar hidup Ali yang ibunya terikat di wad psikiatri.

Naratif utamanya adalah Ali dan tiga orang rakannya “diupah” (baca: diperdaya) untuk mendapatkan harta karun yang tertanam di bawah sebuah sekolah dana badan bukan kerajaan (NGO) untuk anak-anak pelarian dan buruh kanak-kanak.

Ali menyanggupi kerana dia dijanjikan kamar, diberikan telefon bimbit, dan tergambar harapan untuk ibunya pulih.

Pada mulanya anak-anak ini dinafikan hak mereka untuk bersekolah, tetapi setelah bertelagah; hati guru cair dan mereka dibenarkan belajar di situ.

Pun, di waktu rehat, mereka mulai beroperasi mengorek kamar bawah tanah yang menghubungkan parit di bawah jalan umum di luar perkarangan sekolah.

Majid tidak lagi mendera dengan permainan kamera yang lambat dan syot artistiknya yang terkenal itu tetapi sudah melajukan rentak ceritanya dengan suspen tersulam setiap kali anak-anak itu turun ke bawah untuk mengorek harta karun.

Pun sesekali imej merpati dilepaskan terbang, anak-anak mandi dalam pancuran dan ruang stesen keretapi yang macet diabadikan dalam filem ini.

Dalam masa yang sama ditunjukkan masalah yang dihadapi sekolah di mana berdepan dengan masalah ditutup kerana kekurangan dana.

Sekolah ini malah terpaksa menganjurkan pesta hiburan untuk mengutip derma orang ramai, satu gambaran kegagalan sistem pendidikan di Iran.

Kita dapat melihat wajah sayu sang guru besar melihat kerusi-kerusi yang kosong.

Salah seorang guru di situ, Rafie (lakonan Javad Ezati) menjadi sosok bapa untuk anak-anak ini.

Sebagai guru, kerjanya bukan sahaja mendidik tetapi juga menumbuhkan anak-anak ini dalam persekitaran yang paling kasar dan payah.

Maka satu saat dia tetap perlu bertembung dengan sistem yang tidak adil.

Ketika dia berusaha menebus Zahra, kakak Abal Fadzl yang ditahan kerana menjaja bunga dalam tren, Rafie diberitahu polis; “Kau melakukan kerja kau; aku melakukan kerja aku.”

Penulis bersama Majid Majidi, karyawan filem Iran tersohor.

Tetapi Rafie mengambil keputusan di luar duga dengan “menanduk” polis tersebut (dengan kepala) setelah mendapati Zahra diaibkan semata-mata kerana mengenakan pin rambut.

Terdapat banyak adegan yang membekas dalam filem ini.

Misalnya apabila Zahra dijamin, kita tertanya apa isunya yang menyebabkan Rafie sampai tergamak merisikokan kerjaya gurunya dengan mencederakan polis di balai?

Kita kemudian tergamam melihat Zahra di rumah, dalam kamarnya yang gelap, menanggalkan tudung dan mendapatinya sudah dibotakkan.

Adegan Mamad yang terpaksa meninggalkan sekolah untuk menjadi buruh kanak-kanak bekerja dengan pengedar dadah sangat memilukan.

Lebih dahsyat ialah adegan Ali Zamani, 12 tahun, di dalam parit mengorek harta karun sambil menangis kepenatan di bawah cahaya lampu suluh dan lampu samar telefon bimbit.

Tentu sahaja, Majid akan menyuguhkan babak puitis untuk dikenangi khalayak.

Apabila Ali membunyikan loceng di sekolahnya yang sudah ditutup kerana tiada lagi dana, gema loceng menerobos ke kamar-kamar lengang dan kelas sunyi sungguh begitu mengguris kalbu bagai selumbar.

Meskipun berani mengkritik secara lebih berjujur, Majid nampaknya sudah mempunyai kekebalan tertentu yang membolehkan beliau dapat menghindari gangguan “establishment”.

Ini mungkin hasil filem Muhammad yang diterima secara hangat oleh kelas agamawan di Iran.

Malah filem Sun Children ini sendiri meraih Crystal Simorgh sebagai filem terbaik di Anugerah Fajr ke 38 di Tehran (sebelum pandemik berleluasa).

Untuk nota, Majid Majidi adalah kelas pengarah yang berbeza dengan Asghar Farhadi yang jauh lebih muda.

Beliau memang dilahirkan dalam kelas menengah dan produk Institute of Dramatic Art di Tehran.

Majid mulai terlibat dalam teater sejak berusia 14 tahun, dan selepas Revolusi ikut berlakon dengan pembikin filem kontroversi Iran, Mohsen Makhmalbaf iaitu dalam Boycott (1986) sebagai pengamal Komunis dan dengan Ali-Asghar Shadorvan menerusi filem Teer Baran (1986).

Mutakhir ini, Majid bagaimanapun lebih dianggap dekat dengan establishment.

Akan tetapi, untuk pengkritik filem; meskipun karyawan muda Iran seperti Asghar Farhadi jauh dikenali di Barat, Majid sudah dan terwarta dianggap suara sinema Iran.

Malah Majid dilihat selaku bendera sinema Iran itu sendiri.

Justeru, Sun Children yang tampil menggigit di sana sini menimbulkan keterujaan untuk ramai.

Tambah-tambah lakonan dalam Sun Children kelasan, yang untuk mana-mana penggemar filem akan melihat Hollywood itu enteng jika dibandingkan dengan bakat di Iran.

Anak yang memegang watak Ali Zamani iaitu Ruhollah Zamani misalnya meraih anugerah pelakon muda terbaik di Pesta Filem Venice ke-77, langsung beroleh Anugerah Marcello Mastroianni.

Harus diingat Ruhollah adalah seorang buruh kanak-kanak yang diambil oleh Majid, dilatih sebagai pelakon dan diletakkan di hadapan kamera.

Lakonannya sama sekali tidak kekok dan menjadi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles