Sunday, October 24, 2021

Ketidaksiuman di media sosial

Banyak pengguna media sosial kurang bertimbang rasa ketika menulis, dan apabila terlanjur dan diviralkan, barulah hendak tercungap-cungap meminta maaf.

Other News

Di alam realiti, rakyat Malaysia boleh hidup aman damai bersama.

Kita boleh saling menghormati, saling membantu, saling bertoleransi, saling memahami dan saling berhemah ketika berdepan.

Tapi di alam media sosial, etika rakyat Malaysia hilang.

Ramai pengguna media sosial kurang bertimbang rasa ketika menulis, dan apabila terlanjur dan diviralkan, barulah hendak tercungap-cungap meminta maaf.

Perkara yang menjadi tumpuan di media sosial ialah perkara yang mencungkil kesilapan orang, aktiviti mempersendakan orang sebagai hiburan, menimbulkan konspirasi serta mengkritik ikut emosi.

Segala topik akan timbul pertikaian.

Contohnya, kedatangan vaksin yang boleh membenarkan Malaysia bergerak keluar daripada Covid-19 dicemuh mereka yang anti vaksin kononnya ada tipu muslihat di dalam vaksin tersebut.

Tapi pada masa sama mereka terlupa mereka sedang memakai telefon pintar yang perantinya dikuasai ciptaan Barat – sama ada Android kepunyaan Google mahupun IoS kepunyaan Apple yang menyimpan segala jenis maklumat peribadi.

Ada juga yang mempertikaikan tindakan Ustaz Ebit Liew yang bertungkus lumus memberikan bantuan sana-sini, kononnya beliau sekadar ingin mendapatkan liputan.

Bukankah tindakan sengaja meletakkan komen mengkritik beliau lebih menepati istilah cuba mendapat liputan?

Ketika isu aplikasi Sugardaddy meletup, ramai yang cepat membelasah kerajaan kononnya tidak bertindak dengan cepat sambil terlupa bahawa kerajaan terdahulu hanya sekadar mampu memberi teguran dan menurunkan papan tanda.

Apabila ada portal berita dijatuhkan hukuman kerana membiarkan komen yang menghina mahkamah, ramai yang tampil menderma membantu membayar denda, dikatakan atas tindakan mempertahankan kebebasan bersuara.

Jika portal ini ialah Utusan Malaysia yang dahulu, apakah golongan yang sama itu turut akan bertindak sedemikian rupa atau mereka akan berkata padan muka?

Jika begitu, apakah mereka turut akan tampil memprotes pada setiap saman malu yang dikemukakan oleh mana-mana pihak terhadap individu lain atas nama kebebasan bersuara?

Hakikatnya, apa yang dipertahankan bukanlah kebebasan bersuara.

Ia sekadar mempertahankan apa yang disukai, apa yang tidak disukai.

Bukan itu sahaja, kefasihan berbahasa juga dipersendakan.

Cubalah mereka yang mempersendakan orang yang tidak fasih berbahasa orang putih, cuba berbahasa Melayu.

Mentah-mentah bahasa negara sendiri belum mampu bercakap dengan baik.

Budaya troll, mencari kesalahan, mempersendakan orang lain serta menimbulkan konspirasi sudah sebati dengan rakyat Malaysia di alam media sosial.

Budaya ini, maaf nak kata, sama seperti budaya politik negara – mereka bukan berlumba mencari siapa yang lebih baik, tapi sedang mencari siapa yang kurang buruk.

Diharapkan rakyat Malaysia dapat mencari semula nilai dan budaya Malaysia di alam media sosial yang semakin dipenuhi tenaga negatif dan ketidaksiuman saban hari.

Kurangkan bercakap mengikut emosi kata orang tua-tua di alam realiti.

Barangkali kita kena kurangkan menulis berdasarkan emosi di alam media sosial demi menjaga kesiuman bersama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles