- Iklan -
Rencana

Jangan hanya sokong mahkamah ketika keputusan berpihak kepada kita

Janganlah apabila sesuatu penghakiman itu tidak mengikut selera kita, kita kata mahkamah tidak adil.

Mohamad Siddiq Azani
3 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan berdiri di hadapan Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman, Putrajaya semalam, selepas portal berita itu didapati bersalah kerana menghina mahkamah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan berdiri di hadapan Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman, Putrajaya semalam, selepas portal berita itu didapati bersalah kerana menghina mahkamah. Gambar: Bernama

Pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak berkenaan hukuman yang diterima oleh Malaysiakini akibat komen pembacanya.

Tidak dinafikan bahawa keputusan mahkamah yang pertama seumpamanya di Malaysia itu mengundang reaksi pelbagai, ada yang menyokong dan ada yang tidak bersetuju dengannya.

“The High Courts are already acquitting criminals without any trial. The country has gone to the dogs;”

“Hey Chief Justice Tengku Maimun Tuan Mat – Berapa JUTA sudah sapu – 46 kes corruption – satu kali Hapus!!! Tak Malu dan Tak Takut Allah Ke? Neraka Macam Mana? Tak Takut Jugak? Lagi – Bayar balik sedikit wang sapu – lepas jugak. APA JUSTICE ini??? Penipu Rakyat ke? Sama sama sapu wang Rakyat ke???”

Ini antara komen-komen yang dipetik oleh Peguam Negara Idrus Harun dalam permohonan menghina mahkamah ke atas Malaysiakini.

Komen-komen ini disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini pada 9 Jun 2020.

Agak malang apabila ketua hakim negara diheret ke kancah fitnah paling besar sedangkan beliau tidak langsung mempunyai peranan dalam pertuduhan atau penarikan balik pertuduhan yang diputuskan oleh peguam negara.

Soal wajar atau tidak wajar, biarlah rakyat dengan pandangan mereka sendiri.

Namun, ini adalah undang-undang tertinggi yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dan perlu dihormati oleh semua pihak.

Janganlah apabila sesuatu penghakiman itu tidak mengikut selera kita, kita kata mahkamah tidak adil.

Apabila penghakiman itu menepati kehendak kita, kita kata mahkamah itu adil.

Bagaimanapun apa yang menarik untuk dinilai daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Malaysiakini semalam adalah Mahkamah Persekutuan membezakan antara media sosial dan portal berita dari sudut pengawalan penerbitannya.

Mahkamah dalam kenyataan ringkas semalam menyatakan;

“[19] In Re: Prashant Bushan & Anor, Suo Motu Contempt Petition (Crl) No. 1 of 2020, a lawyer was found guilty of contempt for tweeting contemptuous remarks but not the Twitter account. The Twitter account was found not guilty because the nature of Twitter account is that there is no control whatsoever on what is posted. We do not agree that Malaysiakini is similar to Twitter Account. Malaysiakini has full control on what is publishable and what is not.”

Kunci utama dalam kes Malaysiakini adalah kawalan terhadap penerbitan komen pembaca.

Perlu juga diberi perhatian bahawa peguam negara tidak merujuk kepada komen yang dibuat di media sosial seperti Facebook/Twitter Malaysiakini, tetapi khusus kepada komen yang dihantar ke laman sesawang portal mereka sahaja iaitu di www.malaysiakini.com yang mana mereka mempunyai kawalan terhadapnya.

Mahkamah seterusnya menyatakan;

“In other words, the First Respondent designs and controls its online platform in the way it chooses. It has full control of what is publishable and what is not. In doing so it must carry with it, the risks that follow from allowing the way its platform operates. Malaysiakini cannot be heard to say that its filter system failed to filter offensive comments, when in fact it deliberately chooses to only filter foul language but not offensive substance. Though we remained perplexed how these comments even passed its filter looking at the language of the impugned comments.”

Sekiranya anda mempunyai kawalan terhadap sesuatu, anda bertanggungjawab terhadap sesuatu itu. Apa yang perlu dilakukan oleh portal media selepas ini adalah untuk memastikan komen ditapis terlebih dahulu (enable comment moderation) sebelum ia dapat dipaparkan di dalam web portal mereka.

Ini bukan sahaja terpakai kepada portal berita, tetapi semua platform media seperti laman sesawang dan blog peribadi yang dikendalikan dan dikawal penerbitan kandungannya itu.

Saya fikir keputusan ini harus dijadikan pengajaran buat semua pihak, akan kebertanggungjawaban kita sebagai pengguna media mahupun pemain media.

Kemampuan Malaysiakini meraih derma untuk membayar denda tersebut dalam tempoh kurang dari lima jam juga menunjukkan bahawa kebebasan media masih belum mati di Malaysia.

Badan Kehakiman bukan kalis kritikan, ia masih boleh dikritik. Tetapi bukan dihina. Ini juga pernah dinyatakan sendiri oleh mantan ketua hakim negara, Arifin Zakaria pada 9 Julai 2012.

“Memberi pandangan ini adalah bagus dan ini boleh membantu kita ‘develop’ undang-undang kita. Anda juga boleh menulis tetapi jangan sampai menghina mahkamah umpamanya.”

“Saya minta kritik yang betul dan bukannya secara emosi. Jangan kata oh kita ini bodoh, ‘stupid judgement’. Bagi tahu mana stupid…Saya sebagai judge tidak boleh mempertahankan diri kerana saya hanya boleh bercakap melalui penghakiman sahaja. Saya tidak boleh menjawab atau berdebat,”

Mantan ketua hakim negara Md Raus Sharif juga pernah mengucapkan yang sama pada 13 Januari 2018,

“Saya sedar bahawa hakim tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan harus terbuka kepada kritikan. Namun, kritikan yang keras dan tidak berasas mengancam asas kedaulatan undang-undang dan melemahkan badan kehakiman dalam melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perlembagaan,”

Kritikan perlu dibezakan dari fitnah tidak berasas yang mampu melemahkan badan kehakiman sekaligus meruntuhkan persepsi keyakinan rakyat terhadap kemampuannya untuk mengadili.

Sekiranya barah ini tidak dihentikan dengan segera, negara akan musnah akibat fitnah terhadap badan kehakiman jika rakyat mahu ikut selera mereka dalam setiap keputusan yang mahkamah adili.

Mohamad Siddiq Azani merupakan pengerusi Biro Undang-Undang Armada Bersatu Malaysia.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.