- Iklan -
Rencana

Apa kerajaan buat semasa darurat?

Sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, beberapa tindakan telah diambil oleh kerajaan termasuk penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.

Marzuki Mohamad
5 minit bacaan
Kongsi
Perdana menteri telah menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk membantu agensi-agensi penguatkuasaan yang lain. Gambar: Bernama
Perdana menteri telah menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk membantu agensi-agensi penguatkuasaan yang lain. Gambar: Bernama

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, dalam kenyataannya beberapa hari lalu mendakwa pengisytiharan darurat oleh Agong adalah tidak sah dan zalim.

Saya tidak ingin mengulas perihal sama ada darurat yang diisytiharkan adalah sah atau tidak.

Pada masa ini terdapat beberapa pihak yang membawa kes ini ke mahkamah.

Biarlah mahkamah yang membuat keputusan.

Saya lebih berminat untuk mengulas keadaan di negara kita semasa darurat dilaksanakan.

Adakah ia zalim?

Kita lihat satu persatu.

Sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, beberapa tindakan diambil oleh kerajaan untuk menangani pandemik dengan lebih berkesan. Antaranya:

1. Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat dibentuk untuk menyelaras pengurusan darurat di negara ini.

Antara fungsi utama jawatankuasa ini ialah memantau isu-isu berkaitan penguatkuasaan darurat dan meneliti cadangan pindaan undang-undang tertentu untuk meningkatkan kecekapan pengurusan darurat dan kawalan pandemik Covid-19.

2. Kementerian kesihatan berunding dengan hospital-hospital swasta supaya hospital swasta juga turut menerima pesakit Covid-19.

Sehingga kini, hospital-hospital swasta bersetuju untuk menyediakan lebih 1,300 katil termasuk katil wad ICU bagi tujuan merawat pesakit Covid-19.

3. Kerajaan sedang menyediakan tempat-tempat yang mencukupi untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Selain 605 buah fasiliti sedia ada di bawah kementerian kesihatan, kerajaan memerlukan tambahan sebanyak 500 buah fasiliti awam dan swasta untuk dijadikan PPV.

Ketersediaan PPV yang mencukupi, termasuk di kawasan-kawasan pedalaman, adalah penting untuk memastikan vaksin dapat diberikan secara percuma kepada sekurang-kurangnya 25.6 juta orang atau 80% rakyat menjelang Februari 2022.

Sehingga bulan Ogos tahun ini, seramai 9.9 juta orang dijangka menerima suntikan vaksin.

4. Perdana menteri menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu polis dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam tugasan membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menjadi antara punca penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Dengan penurunan kuasa ini, anggota tentera boleh membuat tangkapan ke atas Pati, iaitu sesuatu yang mereka tidak boleh lakukan sebelum ini.

Anggota tentera juga mempunyai kuasa polis dalam menjalankan tugasan sekatan jalan raya dan lain-lain operasi mencegah wabak Covid-19.

5. Kerajaan juga mengambil alih secara sementara kem-kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kem Wawasan untuk dijadikan pusat tahanan sementara dan penjara sementara.

Tindakan ini dibuat untuk mengurangkan kesesakan di penjara dan depoh tahanan Pati yang sebelum ini menjadi punca utama penularan Covid-19 dalam kalangan penghuni.

Hasil tindakan ini, kes-kes jangkitan di penjara dan depoh tahanan dapat dikawal.

6. Jawatankuasa Bebas Khas Darurat juga telah dibentuk untuk menasihati Agong mengenai penerusan darurat atau penamatannya.

Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen Pembangkang.

Adakah tindakan-tindakan ini zalim? Saya percaya anda tahu jawapannya.

Cuma, ramai yang bertanya adakah tindakan-tindakan ini berkesan?

Jawapan saya begini. Kita lihat apa yang berlaku.

Sejak dua minggu lalu, kes-kes harian Covid-19 mula menunjukkan penurunan.

Kes harian tertinggi dicatatkan pada 29 Januari 2021 iaitu 5,725 kes.

Mutakhir ini jumlah kes harian adalah sekitar 2,000 hingga 3,000 kes dengan negeri Selangor masih mencatatkan lebih 1,000 kes sehari.

Negeri Sabah yang dahulu mencatat kes harian empat angka, mutakhir ini menurun hingga ke dua angka.

Ya, masih terlalu awal untuk kita mengatakan kita sudah menang dalam melawan gelombang ketiga Covid-19.

Belum lagi.

Kes-kes yang dicatatkan masih belum stabil.

Adakala naik, adakala turun.

Tetapi trend semasa memberikan gambaran bahawa tindakan-tindakan yang sedang diambil oleh kerajaan berpotensi untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.

Selain angka-angka Covid-19, kita juga perlu lihat aspek ekonomi.

Sama ada kita sedar atau tidak, Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini memberikan lebih banyak kelonggaran kepada sektor-sektor ekonomi untuk beroperasi.

Ini untuk memastikan kehidupan ekonomi rakyat tidak terjejas dengan teruk dan kesan ke atas ekonomi negara adalah minima.

Negara kita dianggar kerugian RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0 dilaksanakan.

Pada masa ini, walaupun hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, negara kita dianggarkan masih lagi mengalami kerugian sekitar RM300 juta sehari kerana pergerakan rakyat masih terhad dan kadar penggunaan (consumption) rakyat masih rendah.

Mereka yang bergiat dalam sektor informal dan berpendapatan rendah adalah antara yang paling terkesan dengan situasi ini.

Justeru, dalam menghadapi situasi ekonomi yang agak sukar pada masa ini, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.

Ini termasuk bayaran tunai one-off Bantuan Prihatin Nasional dengan jumlah keseluruhan RM18.4 bilion yang diterima secara langsung oleh individu yang layak.

Ini adalah bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara – melebihi peruntukan tahunan untuk BRIM dan BSH – yang pernah disediakan oleh kerajaan.

Menyedari perusahaan kecil sederhana (PKS) mikro adalah antara kumpulan yang paling terkesan dengan pandemik ini, kerajaan telah menyalurkan RM2.7 bilion kepada 900,000 PKS mikro di negara ini.

Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Sudah tentulah peruntukan sebesar ini menambah beban kewangan kerajaan.

Tetapi apakan daya.

Inilah hakikat yang perlu kita hadapi dalam mengurus ekonomi semasa pandemik.

Kita perlu seimbangkan antara tuntutan kesihatan dan keperluan ekonomi.

Saya percaya banyak negara lain juga menghadapi situasi yang sama.

Pendekatan berimbang yang diambil oleh Kerajaan pada masa ini memperlihatkan kesan ke atas ekonomi negara yang agak terkawal dan pada masa yang sama kadar kematian akibat Covid-19 kekal rendah iaitu 0.3%.

Walaupun kita berasa amat sedih dengan setiap nyawa yang hilang akibat wabak ini, Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan kadar kematian yang terendah di dunia.

Untuk Malaysia terus mara ke hadapan, kita mesti fokus kepada pengurusan pandemik dan ekonomi negara.

Inilah yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini.

Ketepikan dahulu soal politik.

Saya dapat lihat perdana menteri mengambil pendekatan yang inklusif, kolektif dan apolitical (tidak berpolitik) dalam mengurus pandemik.

Menteri besar dan ketua menteri, termasuk dari negeri-negeri yang bukan ditadbir oleh Perikatan Nasional, dijemput untuk turut serta dalam Sidang Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19.

Menteri-menteri besar dan ketua menteri bebas memberi pandangan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memperbaiki keadaan di negeri masing-masing, isu-isu berbangkit yang memerlukan penyelesaian segera dan bentuk-bentuk bantuan yang diperlukan oleh negeri-negeri.

Sepanjang pemerhatian saya, tiada perbezaan layanan diberikan terhadap negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional dan bukan Perikatan Nasional.

Semuanya diberikan layanan sama rata baik dalam memberikan pandangan dan mengemukakan permohonan bagi pihak negeri.

Semua menteri besar dan ketua menteri juga memberikan pandangan secara profesional.

Keputusan yang dibuat langsung tidak mengambil kira faktor politik, tetapi fokus kepada penyelesaian masalah demi kepentingan rakyat.

Apabila keputusan dibuat, ia adalah keputusan kolektif.

Inilah yang diperlukan pada masa ini. Buat kerja untuk rakyat. Bukan bermain politik.

Insya-Allah, dengan ketibaan vaksin pada 21 Februari in dan “roll out” pelan imunisasi kebangsaan dilaksanakan di seluruh negara, kita akan dapat mengawal dan membendung penularan Covid-19 dengan lebih baik.

Apabila jangkitan Covid-19 telah dapat dikawal, rakyat akan lebih bebas bergerak dan sektor-sektor ekonomi akan kembali beroperasi dengan lebih rancak.

Saya percaya, jika semua perancangan berjalan dengan lancar, kita akan mula melihat kesan yang lebih positif ke atas kesihatan rakyat dan ekonomi negara seawal suku ketiga tahun ini.

Insya-Allah, ada sinar di hujung terowong buat rakyat Malaysia.

Sementara itu, istiqamahlah. “Keep calm, stay safe”.

Marzuki Mohamad merupakan ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.